Thursday, July 31, 2008

Minyak Subsidi Nelayan 'Bocor'

Oleh Shariza Abdullah

ALOR STAR 30 Julai - Dianggarkan antara tiga hingga lima peratus daripada kira- kira lima juta liter diesel dan petrol yang diperuntukkan kepada nelayan di negeri ini dalam tempoh sebulan 'bocor' akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir penerimanya.Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohd. Noor Had berkata, bahan bakar itu 'bocor' sama ada ia diseludup atau dijual kepada pihak lain oleh para nelayan yang memiliki kad e-diesel dan e-petrol bagi mencari keuntungan dengan jalan mudah.

"Bagaimanapun jumlah yang bocor itu masih kecil. Sistem pengisytiharan jumlah penangkapan ikan yang diperkenalkan telah banyak membantu kita mengesan kes-kes seumpama ini," katanya di sini semalam.Semalam, akibat kekurangan bekalan diesel subsidi menyebabkan nelayan-nelayan terkandas di jeti LKIM Kuala Perlis.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan menambah kuota diesel atau melaksanakan sistem pengagihan lebih baik. Mohd. Noor berkata, para nelayan seharusnya bersyukur kerana menikmati subsidi minyak dan perlu menggunakan sebaik-baiknya untuk turun ke laut."Kita memberi insentif untuk meringankan beban mereka, tetapi telah disalah guna hingga tindakan terpaksa diambil," katanya.

Beliau memberitahu, terdapat sejumlah 1,096 pemilik kad e-diesel di negeri ini manakala pemegang e-petrol pula sebanyak 1,128 orang. Bagaimanapun kata beliau, seramai 62 orang daripada jumlah pemilik kad e-diesel itu disenaraikan hitamkan kerana didapati menyeleweng kemudahan yang diberikan."Seramai 33 pemilik kad e-petrol pula disenarai hitamkan kerana menyeleweng yang mana kebanyakan mereka lazimnya dikesan mengambil minyak tetapi tidak konsisten turun ke laut," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 31 Julai 2008
----------------------------------------------------------------------------
Tulip
Kesal dengan sikap segelintir nelayan yang menyalahgunakan subsidi yang diberikan oleh Kerajaan sebagai jalan mudah untuk mengaut keuntungan. Tulip mencadangkan agar Kerajaan menarik balik kad e-diesel dan e-petrol serta menyenarai hitamkan nelayan tersebut daripada menerima sebarang subsidi daripada Kerajaan. Walaupun dasar baru pengeluaran lesen nelayan ini dapat mengurangkan ketirisan diesel yang membabitkan 500 juta setahun tetapi perlu ada kajian semula dan penambahbaikan agar kita dapat mencapai tahap ketirisan sifar.

Boleh Sertai Politik Tapi Masih Tertakluk AUKU

Oleh Haniza Hassan

JOHOR BAHRU 29 Julai - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia 21 tahun ke atas boleh menjadi ahli mana-mana parti politik, namun penglibatan mereka masih tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, semua rakyat yang berusia 21 tahun ke atas bebas untuk menjadi ahli dalam mana-mana parti politik."Mereka bebas menjadi ahli mana-mana parti politik, tetapi penglibatan mereka masih tertakluk kepada AUKU 1971.

"Adalah menjadi masalah sekiranya mereka (penuntut) ini menubuhkan cawangan atau bahagian parti berkenaan (di kampus) serta menjawat jawatan dalam parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan ke-47, di sini malam tadi.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pindaan AUKU yang memberi lebih kebebasan kepada penuntut dan kuasa autonomi kepada universiti selepas dibentang di Dewan Rakyat minggu lalu.

Seksyen 15 AUKU melarang pelajar menyertai persatuan, pertubuhan dan sebagainya kecuali diperuntukkan dalam Perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor universiti terbabit.
Selepas pindaan diluluskan, kesalahan di bawah akta itu bukan lagi perbuatan jenayah, malah penuntut juga diberi kelonggaran menganjurkan debat melibatkan pihak luar universiti.
Ka Siong berkata, sekiranya golongan ini dikongkong, mereka tetap akan memberontak dan memilih keputusan yang dibuat sebelum ini.Jelasnya, sekatan yang dimaksudkan di dalam pindaan itu bukan tertakluk kepada keanggotaan menjadi ahli sesebuah parti.

Mengulas penglibatan seorang guru yang ditahan ketika menyertai pertandingan ratu cantik 'mak nyah' di sebuah resort terkenal di pantai peranginan Tok Bali, Bachok, Kelantan pada 25 Julai lalu, Ka Siong berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap guru itu sekiranya dia dibuktikan bersalah menyertai kegiatan tersebut."Ia jelas melanggar etika kerja dan merupakan satu kegiatan yang tidak sihat," katanya.
Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya berkata, para pengetua memainkan peranan penting dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah.Menurutnya, jika pengetua gagal memainkan peranan sebagai pemimpin dan pengurus yang baik, maka sudah pasti segala yang dirancang akan menemui kegagalan."Pengetua selaku teras kepimpinan di sekolah hendaklah berupaya menggerakkan warga sekolah menjana segala sumber dengan baik daripada segi kewangan atau tenaga manusia yang ada bagi mencapai kecemerlangan," katanya
Sumber: Utusan Malaysia, 30 Julai 2008
-----------------------------------------------------------------------------------------
Tulip
Pindaan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka lembaran baru Kerajaan dalam mengamalkan dasar keterbukaan. Pembaharuan positif ini akan mewujudkan suasana demokrasi kepada para mahasiswa dalam menerima maklumat mengenai sesuatu isu. Tidak hanya menerima maklumat dan pandangan daripada sebelah pihak sahaja.
Rasanya para mahasiswa menerima berita ini dengan hati terbuka. Walaubagaimanapun, kebebasan yang diberi jangan disalahgunakan. Mahasiswa perlu menggunakan peluang yang ada dengan penuh profesional dan bijaksana. Dibimbangi, terlalu sibuk berpolitik sehingga ketinggalan pelajaran dan akhirnya kandas. Justeru itu, pandai-pandailah mengimbangi, diantara pelajaran dan berpolitik. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Tuesday, July 29, 2008

Singapura Tuntut Perairan Wilayah, EEZ Sekitar Pulau Batu Puteh

SINGAPURA 22 Julai – Singapura akan menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Putih, yang pada Mei lalu diputuskan diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan satu pertikaian hak milik dengan Malaysia. Menteri kanan republik itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah salah satu pihak yang menandatangani konvensyen berkenaan.
Penyelarasan perairan wilayah Singapura dan EEZ akan diumumkan apabila tiba masanya, kata Balaji ketika menjawab soalan di Parlimen semalam. Transkrip soalan dan jawapan itu dikeluarkan kepada media oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura. Balaji berkata, jika had perairan wilayah atau EEZ bertindih dengan tuntutan negara-negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara-negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.

ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Putih dan Malaysia bagi Batuan Tengah, manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana terumbu itu terletak. Malaysia telah menegaskan bahawa ia akan terus mencari bukti mengenai kes Batu Putih dengan pandangan untuk mendapatkan satu semakan penghakiman ICJ terhadap keputusan yang menyerahkan batuan itu kepada Singapura.

Merujuk kepada isu ini, Balaji berkata, di bawah statut ICJ, sesebuah pihak boleh memohon untuk satu kajian penghakiman ICJ jika “ia berdasarkan penemuan sesetengah fakta seperti ini menjadi satu faktor muktamad, yang pada hakikatnya semasa penghakiman diberikan tidak diketahui oleh Mahkamah itu dan juga kepada pihak yang menuntut semakan, sentiasa menyediakan bahawa kejahilan seperti itu bukan disebabkan kecuaian.”

Balaji berkata, dengan penyelesaian pertikaian itu melalui penghakiman pihak ketiga, kedua-dua negara telah menunjukkan hormat mereka terhadap undang-undang antarabangsa dan komitmen untuk menyelesaikan pertikaian itu dalam cara aman. Kes itu memberikan contoh mengenai penggunaan mekanisme penyelesaian pertikaian pihak ketiga dan boleh menjadi satu contoh untuk menyelesaikan pertikaian dua hala lain, tambah beliau.
– Bernama
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulip
Singapura seharusnya menerima dan menghormati keputusan ICJ. Dilihat tuntutan baru Singapura akan mengeruhkan kembali hubungan antara Singapura dan Malaysia. Jangan cuba mencabar kedaulatan Malaysia. Kesabaran ada batasnya.

Thursday, July 17, 2008

Debat Terbuka Membuktikan Kerajaan Telus

Syabas diucapkan kepada YB Dato' Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia yang begitu berani menyahut cabaran Agendadaily untuk berdebat dengan Presiden Pakatan Rakyat, Datuk Anwar Ibrahim berhubung tajuk "Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Harga MinyakTurun". Tulip cukup berbangga dan tabik spring dengan YB Dato' Shabery Cheek yang begitu bertanggungjawab dan ikhlas dalam memberi penjelasan berhubung isu tersebut sehingga sanggup memperjudikan jawatannya. Ini merupakan lembaran baru Kerajaan dalam mengamalkan konsep media terbuka di mana sebelum ini pembangkang sentiasa mendakwa media Kerajaan tidak telus dalam memberi penerangan.


Sepertimana yang diketahui Anwar Ibrahim cukup terkenal sebagai seorang yang hebat berdebat. Juga pemimpin politik yang cukup pandai berlakon sehinggakan lakonannya dapat meraih simpati dan mempengaruhi rakyat. Tulip juga ada mendengar komen daripada penyokong PKR yang menyatakan Ahmad Shabery menyerang peribadi Anwar. Itu bukan serangan peribadi tetapi untuk memberitahu dan menyedarkan rakyat bahawa Anwar suka berdolak-dalih dan sanggup berbuat apa sahaja asalkan agenda politiknya tercapai. Peristiwa berdemonstrasi di Baling yang dibongkar oleh YB Dato' Shabery Cheek membuktikan Anwar Ibrahim gemar berdemonstrasi dalam menyatakan ketidakpuasan hatinya. Dalam pendebatan tiada yang menang atau kalah. Yang penting penerangan yang diberikan dapat memecahkan kebuntuan dan kekeliruan rakyat berhubung isu tersebut. Walaubagaimanapun, terserah kepada rakyat untuk membuat penilaian masing-masing selepas mendengar hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pembahas tersebut.
Pada Tulip Anwar Ibrahim tidak menjelaskan cara bagaimana hendak menurunkan harga minyak sebaliknya lebih menjurus kepada dakwaan pengurusan Petronas yang menyebabkan berlakunya ketirisan atau kebocoran. Hanya penyokong yang taksub sentiasa tertarik dengan helahnya. Fakta yang diberikan agak lemah dan tidak meyakinkan. Apa yang diperkatakannya telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan dalam bentuk meringankan dan mengurangkan beban rakyat.

Monday, July 7, 2008

Pakatan Rakyat Malu Lagi

Pakatan Rakyat atau Pakatan Rapuh tidak habis-habis menimbulkan masalah. Mungkin ini salah satu cara untuk mereka mencari publisiti murahan untuk menarik perhatian rakyat. Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun anjuran Pakatan Rakyat ternyata gagal dan mencetuskan kontroversi. Dengarnya, kehadiran tidak mencapai sasaran penganjur apabila sejumlah 5,000 orang sahaja yang hadir menyertai perhimpunan tersebut. Sebelum ini penganjur meuar-uarkan bahawa seramai sejuta rakyat akan hadir tetapi nampaknya gagal mencapai matlamat kerana ia dihadiri oleh penyokong fanatik di kalangan pembangkang. Niat mereka untuk memprotes kenaikan harga minyak yang bertujuan untuk menghentam Kerajaan juga meleset apabila dicemari dengan insiden memalukan apabila seorang penyanyi jemputan bertindak liar membuka seluar di hadapan pengunjung yang hadir tatkala waktu solat maghrib sudah hampir.
Penyanyi utama kumpulan Karburetor Dung dikatakan bertindak membuka seluarnya dan membelakangkan dirinya ke arah hadirin sambil menjerit jilat berkali-kali ketika membawa lagu bertajuk 'Jilat'. Beliau diundang oleh pihak penganjur sebagai selingan antara ucapan para pemimpin pembangkang sebelum menunggu ucapan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengapakah penganjur membenarkan persembahan liar itu berlansung? Persembahan ini benar-benar menjatuhkan air muka penganjur Pakatan Rakyat yang begitu taksub sebelum ini hendak mengajar Barisan Nasional menurunkan harga minyak. Tulip merasa begitu malu dengan tindakan Pakatan Rakyat di mana salah satu parti terajunya memperjuangkan agama tetapi sanggup menghidangkan persembahan yang menjelekkan kepada rakyat.
Perhimpunan itu tiada istimewanya, hanya majlis menghentam kerajaan dan kepimpinan negara. Warga kota janganlah terikut-ikut dengan perhimpunan-perhimpunan seperti itu yang meninggalkan kesan yang tidak baik kepada imej negara. Sewajarnya, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan ditangani dengan mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat bukannya dengan perhimpunan dan demonstrasi jalanan yang dilihat sebagai gimik politik pembangkang. Janganlah asyik hendak mencari kesalahan orang lain, diri sendiri perlu diperbetulkan dahulu. Baru setahun jagung memerintah, ada hati hendak mengajar Barisan Nasional yang telah ternyata membawa kemajuan dan kemakmuran kepada bangsa dan negara.

Tuesday, July 1, 2008

Tahniah Halimah

MP Tenggara mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri dengan sikapnya yang tenang, bersedia dan cukup bersabar dalam membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-9 dan berserah kepada keadaan semasa yang dilihat semakin membimbangkan. Menurut MP Tenggara,YAB Perdana Menteri boleh membuat keputusan berdasarkan pendekatan mengikut sesedap rasa atau mengikut kehendak semasa. Tetapi untuk tidak menjadi popular, beliau memilih kepada memenuhi kehendak dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan. Dilihat Kajian Separuh Penggal di buat dengan penuh teliti. MP Tenggar berpandangan untuk merealisasikan pembasmian kemiskinan memerlukan langkah berani Kerajaan memecahkan tembok kementerian dan agensi yang dibelenggu dengan masalah birokrasi. Beliau turut mencadangkan agar satu agensi pemantauan diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berperanan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan RMK-9. Beliau turut berharap agar Projek Lebuhraya Segamat-Tangkak berjaya dilaksanakan bagi kemudahan rakyat Johor.

Krisis Ekonomi Dunia Penyebab Kenaikan Harga Minyak

MP Pasir Salak menjawab dakwaan pembangkang yang menyalahkan Kerajaan sebagai penyebab kepada kenaikan harga minyak dan menggambarkan ketidakmampuan Kerajaan menanganinya. MP Pasir Salak menyatakan bahawa kenaikan harga minyak berpunca daripada kenaikan harga minyak di peringkat global ekoran daripada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Seharusnya MP pembangkang lebih memahami dan mengetahui krisis kenaikan harga minyak memandangkan mereka terdiri daripada golongan terpelajar tetapi mereka mengambil peluang ini untuk menangguk di air keroh. Mereka sengaja mencipta alasan dan membuat pelbagai tohmahan dan fitnah untuk menghentam Kerajaan. Banyak jurnal yang dikeluarkan di peringkat antarabangsa menghuraikan dengan terperinci bahawa krisis ekonomi global penyebab kepada kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Memperkasa Perkhidmatan Pengangkutan Awam

MP Bachok mengkritik prestasi perkhidmatan pengangkutan awam yang dilihat merosot dan kurang memberangsangkan. Ekoran daripada kenaikan harga minyak, warga kota khususnya memilih menggunakan pengangkutan awam untuk ke destinasi tempat kerja. Beliau merasa kecewa dengan perkhidmatan komuter dan LRT yang tidak mengikut jadual sehingga menyebabkan kesesakan di terminal.

**************************************************************************************
Tulip Desa

Kerajaan akan merangka pelan induk pengangkutan sebagai panduan kepada pembangunan rangkaian infrastruktur yang lebih komprehensif serta mewujudkan pelbagai kaedah sistem pengangkutan pelbagai yang bersepadu. Menerusi pelan induk itu, lebih banyak terminal pengangkutan bersepadu akan dibangunkan, khasnya di bandar-bandar utama, dalam usaha meningkatkan integrasi antara pelbagai kaedah pengangkutan serta memperbaiki kecekapan rangkaian.
Pada masa yang sama, usaha akan diambil termasuk memperluas liputan sistem rel transit bandar dan membina lebih banyak terminal pengangkutan bersepadu serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi. Ini bertujuan untuk mencapai sasaran penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam pada nisbah 70:30 menjelang tahun 2010, khususnya di Lembah Klang. Dengan pelaksanaan pelan tersebut, tiada lagi kesesakan di terminal pengangkutan dan warga kota yang lewat ke pejabat.

MP Ipoh Timur Tidak Faham Peraturan Dewan Rakyat

MP Ipoh Timur berkelakuan tidak beradab dan kurang ajar apabila mendakwa Yang Dipertua tidak adil dan bersifat dendam apabila memberi peluang MP lain mengutarakan soalan. Adakah beliau masih tidak tahu peraturan dalam Dewan Rakyat setelah sekian lama berada di Parlimen yang diibaratkan sebagai rumah kedua. Seharusnya MP Ipoh Timur hormat dengan segala keputusan yang dibuat oleh Yang DiPertua. Tulip merasakan MP daripada kalangan pembangkang sering mempertikaikan dan mempersoalkan keputusan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Parlimen. Memang sudah menjadi kebiasaan kepada pembangkang suka memperbesarkan perkara yang kecil dan mencari kesalahan orang lain. Tidak tahulah samada mereka tidak faham atau buat-buat tidak faham. Rasanya berulang kali Yang DiPertua mengingatkan peraturan ketika berada di dalam dewan.Tulip juga bersetuju dengan cadangan MP Pasir Salak yang meminta Yang DiPertua mengambil tindakan atau minta MP pembangkang keluar daripada dewan sekiranya bersikap tidak 'semenggah' di dalam Dewan Rakyat.

Menghidupkan Kembali Program Rakan Muda

Peningkatan gaya hidup remaja masa kini menjadi salah satu punca kepada keruntuhan akhlak dan peningkatan jenayah. Sehubungan itu, MP Bera selaku Menteri Belia Dan Sukan telah menjelaskan bahawa kementerian tersebut telah merangka beberapa program untuk menghidupkan kembali semangat kesukarelawan, kejiranan dan integrasi yang dilihat semakin pudar dan tidak lagi diamalkan oleh generasi muda. Kementerian mengambil pendekatan menghidupkan kembali Program Rakan Muda bagi mendedahkan kepada generasi muda tentang kepentingan semangat kesukarelawan dan kejiranan di mana ramai di antara kita bersifat "keakuan"iaitu tidak mengambil kisah tentang orang lain.
Di samping itu, pihak Kementerian juga memperkenalkan beberapa program baru seperti Program Muda Wawasan Desa dan Program Integrasi Nasional yang dilihat dapat meningkatkan pemahaman generasi bandar mengenai tradisi penduduk luar bandar melalui program anak angkat yang melibatkan pelajar dan remaja daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Cadangan pelaksanaan program ini juga mendapat pujian daripada MP Titiwangsa yang mahu program ini mendapat impak yang positif dan dapat dimanafaat oleh golongan di semua peringkat.

Anwar Bersandiwara Lagi

Di dada akhbar terpampang berita kes liwat DSAI dengan pembantunya. Bagaimanapun, DSAI menafikannya dan mendakwa ia adalah pakatan Barisan Nasional untuk membunuh kariernya dan menyekat kebangkitan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. Nampaknya DSAI bersandiwara lagi apabila cubaanya untuk merasuah ahli BN Sabah untuk lompat parti tidak dilayan dan tidak menjadi. Tindakan DSAI menyembunyikan diri di Kedutaan Turki dengan alasan nyawanya terancam semata-mata mahu mengalih tumpuan rakyat untuk bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya. Alasan ini sama seperti beliau ditahan dahulu dengan pelbagai dakwaan seperti diracun melalui arsenik tetapi sehingga kini beliau kelihatan sihat dan bersemangat. Itu semua adalah taktik beliau untuk meraih simpati rakyat dan juga pihak antarabangsa.
Pelbagai kemungkinan boleh berlaku, mungkin ini semua adalah konspirasi beliau sendiri untuk menyatakan bahawa beliau teraniaya dan mantan Timbalan Perdana Menteri ini sanggup melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian masyarakat bahawa kononnya beliau sedang menerima ancaman di negara ini. Isu ini akan memberi imej yang tidak baik kepada negara. Kalau benarlah beliau melakukan perkara terkutuk ini, ia perlu didedahkan kepada umum bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang berlaku khususnya kepada rakyat.