Thursday, November 27, 2008

BABI Tetap Menjadi Pilihan Pakatan Rakyat


Pakatan Rakyat menang besar dalam pilihan raya ke-12 apabila dapat merampas 5 negeri daripada Barisan Nasional. Kemenangan ini mungkin disebabkan rakyat termakan gula-gula Pakatan Rakyat yang menawarkan pelbagai insentif sekiranya mengundi mereka. Tetapi jangkaan itu meleset, sehingga kini tidak sampai 50% janji mereka dilaksanakan. Pelaksanaannya cenderung untuk mengaburi mata rakyat dan Barisan Nasional yang acapkali mengkritik pemerintahan mereka yang berperanan sebagai pembangkang.
Sudah 8 bulan Pakatan Rakyat memerintah di 5 buah negeri tetapi tiada tanda-tanda nasib orang Melayu dibela. Yang menjadi kebanggaan mereka adalah projek mega penternakan babi di Selangor yang sekarang sudah menular ke Kedah. Pakatan Rakyat tidak serik ‘diserang’ wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) pada tahun 1999. Hal ini telah banyak membawa kesusahan dan keperitan hidup seharian rakyat khususnya di sekitar kawasan yang dilanda wabak ini.
Tidak cukupkah bekalan daging babi di negeri Selangor, Kedah dan rakyat Malaysia yang makan babi sehinggakan Kerajaan Selangor dan Kedah begitu komitmen dengan usaha tersebut, sekalipun dibantah keras? Apakah peranan PAS dalam hal ini? Ternyata PAS hanya mampu berdiam diri seperti tikus takutkan kucing, walaupun keputusan tersebut mendapat bantahan Orang Melayu di negeri tersebut. Nampaknya DAP mendominasi Pakatan Rakyat dari segi pentadbiran negeri dan membuat keputusan. PKR dan PAS hanya sebagai pak turut dan sebagai jurucakap kepada DAP sahaja. Sungguh memalukan, PAS sebagai parti yang memperjuangkan agama Islam.

Wednesday, November 26, 2008

Yoga Haram Bagi Umat Islam

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan keputusan fatwa mengharamkan senaman yoga dan meminta agar umat Islam berhenti daripada mengamalkannya kerana bertentangan dengan hukum syarak. Pengharaman ini dilaksanakan bagi mengelakkan orang Islam tersasar jauh daripada ajaran agama Islam. Senaman Yoga berasal daripada masyarakat Hindu yang menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan.

Sehubungan itu, Tulip merasakan adalah wajar umat Islam di negara ini menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan sebarang persoalan serta dengan hati terbuka. Umat Islam perlu berwaspada terhadap sebarang kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan kerana dikhuatiri akan memesong dan menghakis akidah seseorang. Kepada masyarakat bukan Islam, pengharaman yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bukan bertujuan untuk menghina dan mencerca agama lain tetapi sebagai panduan kepada umat Islam. Masyarakat bukan Islam bebas mengamalkannya tanpa sebarang masalah.

Tulip juga mengharapkan pihak pembangkang tidak mempolemik isu tersebut sebagai menghormati peranan Majlis Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan mengikut lunas yang sah dan diiktiraf oleh undang-undang untuk meningkatkan syiar Islam. Kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Negeri amatlah penting agar keputusan ini dapat diwartakan secepat mungkin. Menteri Penerangan, YB Dato' Ahmad Shabery Cheek turut menyatakan kesediaannya mempelawa pihak JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memperjelaskan isu tersebut kepada rakyat melalui saluran RTM dan Jabatan Penerangan. Menurut beliau, sudah menjadi amalan Kementerian Penerangan menyediakan instrumen dalam memberikan penjelasan kepada rakyat marhaen terhadap dasar atau isu supaya dapat merungkai kekeliruan rakyat.



Tuesday, November 25, 2008

Si Penipu Besar Terus Menipu Rakyat


Dengarnya Ketua Pembangkang DSAI akan mengadakan kempen besar-besaran untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Inilah dia sikap bermuka-muka DSAI. Semasa menjadi TPM, beliau begitu mempertahankan ISA dengan menyatakan ia sebagai satu langkah Kerajaan untuk mengawal keselamatan negara. Tetapi sekarang pelbagai kritikan dan hentaman ditujukan kepada Kerajaan dengan niat untuk menjatuhkan Kerajaan sekaligus mengukuhkan kedudukan politik beliau. Beliau mendakwa ISA zalim dan sebagainya. Ada juga golongan pembangkang yang menyatakan ISA ketinggalan zaman. Tetapi bagi Tulip, akta ini sudah berkembang dan prosedur berubah berbanding peringkat awal. Yang paling penting, ISA ini perlu diteruskan selaras dengan objektif utamanya sebagai undang-undang pencegahan untuk mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awam dan keamanan.

Thursday, November 20, 2008

ANWAR TIPU KAUM INDIA

DULU MAIN TENIS SAMA, SEKARANG BERPISAH DAN MEMBAWA HALUAN MASING MASING. DI MANA JANJI DUIT SEJUTA SEORANG UNTUK ORANG ORANG INDIA...TIPU BELAKA.

Sumber: Http://www.masterdedah.com



Wednesday, November 19, 2008

Penurunan Harga Minyak Tidak Memberi Kesan Pada Harga Barangan


Oleh: Tulip Desa

Harga minyak telah mengalami penurunan harga sebanyak lima kali sehingga ke paras RM2.00/liter tetapi harga barangan masih tidak turun-turun. Itulah keluhan daripada pengguna yang kesal dengan sikap peniaga yang engkar dengan saranan Kerajaan supaya menurunkan harga barangan. Inilah masalahnya apabila peniaga, pemborong dan pengusaha tidak mahu menurunkan produk mereka walaupun kos operasi telah menurun berikutan penurunan harga bahan bakar. Yang menjadi mangsa akhirnya adalah pengguna.

Tulip tidak menyalahkan Kerajaan berlaku keadaan sedemikian kerana keadaan harga yang selain daripada barang-barang kawalan memang tidak boleh ditentukan oleh Kerajaan. Sehubungan itu, KPDNHEP meminta kerjasama peniaga untuk melestarikan kempen penurunan harga barangan sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka. Walaupun penrunan harga minyak melegakan pengguna tetapi pada masa yang sama pengguna diminta supaya berjimat cermat dan berbelanja berhemah kerana penurunan itu tidak memberi kesan kepada harga barangan lain.

Kraftangan Tempatan Berjaya Menembusi Pasaran Antarabangsa

Oleh: Tulip Desa

Kraftangan Malaysia telah melaksanakan pelbagai program untuk mempromosikan produk kraf tempatan di luar negara. Dalam usaha melestarikannya, Kraftangan Malaysia telah mengambil beberapa pendekatan dengan menyertai pameran perdagangan utama di beberapa negara seperti United Kingdom, Hong Kong dan Singapura. Skim Insentif Galakan Dagangan telah diperkenalkan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti United Arab Emirates (UAE).

Kraftangan Malaysia juga menyertai pameran pengguna atau consumer fare di mana pengusaha berpeluang menjual terus kepada pengguna yang melawat pameran. Pameran seumpama ini turut menarik minat pedagang daripada luar bagi mendapatkan produk baru. Program yang dilaksanakan tidak tertumpu kepada kebudayaan dan keseniaan tetapi keutamaan diberikan kepada penjualan produk kraf daripada batik, logam, kayu dan kraf orang asli. Jadi, tidak hairanlah hasil produk kraf semakin dikenali di persada dunia. Ini terbukti dengan peningkatan jualannya iaitu sebanyak RM218,000.00 pada tahun 2006, dan pada tahun 2007 meningkat menjadi RM294,000.00 dan pada tahun 2008, hasil penjualan ialah RM398,000.00. Tulip berharap Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan nilai industri kraftangan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Monday, November 17, 2008

RM 2.5 Bilion Telah Dibayar Kepada Pemilik Kenderaan


17/11/2008 2:16pm

KUALA LUMPUR, 17 Nov. — Sejumlah RM2.5 bilion rebat tunai telah dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian dengan bilangan kenderaan kira-kira 5.66 juta bagi tempoh 14 Jun sehingga 31 Okt lepas.Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM316.1 juta merupakan rebat tunai kepada 2.11 juta pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc.

“Sementara RM2.028 bilion adalah rebat tunai kepada 3.24 juta pemilik kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2000cc.“Bakinya sebanyak RM192 juta merupakan rebat tunai kepada hampir 0.31 juta pemilik jip dan pikap persendirian berkapasiti enjin sehingga 2500cc di Semenanjung dan sehingga 3000cc di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.Sementara itu, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebanyak 51 buah sekolah menengah dan rendah baru akan dibina di Sabah bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata ia melibatkan 14 buah sekolah rendah, 35 sekolah menengah harian, sebuah sekolah sukan dan sebuah sekolah teknik.“Kementerian juga melaksanakan 78 projek pembekalan elektrik luar bandar.Siling bagi kesemua projek ini ialah RM1.451 bilion,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan).

Beliau berkata bagi bajet mengurus pula, peruntukan yang telah disalurkan bagi kerja penyelenggaraan sekolah, asrama dan institusi pelajaran yang lain dalam tempoh 2006 hingga 2008 adalah berjumlah RM174 juta.“Peruntukan yang besar yang diluluskan untuk penyelenggaraan institusi pelajaran di Sabah ini adalah berikutan keadaan fizikal bangunan yang sememangnya kita ketahui agak uzur dan memerlukan banyak penyelenggaraan dan baik pulih,” katanya.— BERNAMA
****************************
Tulip Desa

Satu penjelasan yang baik daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha. Penjelasan tersebut diharap dapat merungkai persoalan yang dikemukakan oleh MP Indera Mahkota. Tulip tidak hairan jika pembangkang sering mempertikaikan tindakan Kerajaan untuk membantu rakyat. Pembangkang memang gemar mengkritik daripada memberi idea yang dapat membantu membangunkan negara.

Mekanisma Memantapkan Ekonomi Negara

Oleh: Tulip Desa

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan supaya negara tidak terus dihimpit dengan masalah kemelesetan ekonomi. Langkah yang diambil ini diharapkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara. Antaranya, Kerajaan telah menyediakan satu skim di mana IKS di sektor pembinaan diberi bantuan supaya cash flow mereka berada di dalam keadaan stabil bagi mengelakkan daripada kerugian dan masalah gulung tikar.

Kerajaan turut mengumumkan potongan caruman pekerja KWSP sebanyak 3% bertujuan menambahkan perbelanjaan negara. Dengan pertambahan sebanyak 4.8 billion setahun ke dalam poket pekerja dapat menggalakkan mereka untuk terus berbelanja sekaligus meningkatkan kuasa beli mereka. Pihak Bank juga, masih terus memberikan pinjaman, dan ini memberikan gambaran bahawa sistem perbankan di negara kita masih kukuh dan tidak mengalami credit crunch. Justeru itu, langkah-langkah tersebut meyakinkan bahawa ekonomi negara kita akan terus berkembang.

Majlis penetapan gaji: Pekerja Swasta Berpeluang Menikmati Gaji Tinggi

Oleh: Tulip Desa

Kerajaan prihatin dengan nasib rakyat yang mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan. Pekerja sektor swasta juga tidak terkecuali tergolong dalam kategori ini. Dianggarkan lebih kurang 2 juta pekerja sektor swasta menerima gaji lebih kurang RM500.
Sehubungan itu, beberapa pendekatan telah diambil untuk membantu pekerja sektor swasta untuk tidak terus dibelenggu kemiskinan.Walaupun kaedah untuk menentukan gaji di pihak swasta adalah berdasarkan kuasa pasaran perjanjian kolektif tetapi ada satu mekanisma iaitu Majlis Penetapan Gaji yang senantiasa diubahsuai mengikut pembaharuan dan permintaan. Bagi mereka yang bekerja di sektor swasta, kementerian telah menyedari terdapat segelintir mereka tidak menerima pendapatan yang lumayan. Menyedari hakikat ini, Kementerian Sumber Manusia telah memohon dan membawa kepada kabinet dan kabinet telah meluluskan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan untuk mengkaji perlu atau tidak MPG ini ditubuhkan dan ia akan memperakukan serta akan dibincangkan pada Majlis Penetapan Gaji.

Tuesday, November 11, 2008

Malaysia Kekurangan Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi

Kerajaan menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia ekoran daripada sikap rakyat Malaysia yang kurang berminat untuk menceburi bidang berkemahiran tinggi. Oleh itu, peluang ini diambil oleh pekerja asing yang dilihat memonopoli bidang tersebut. Tulip merasakan Kerajaan perlu merangka dasar, strategi dan perancangan supaya tidak lagi berdepan dengan masalah tersebut.
Permasalahan ini telah dijawab oleh Menteri Sumber Manusia dalam sidang dewan pagi ini, bahawa Kementerian Sumber Manusia telah merangka dasar serta merancang pelbagai usaha dan strategi bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia. Dasar Kerajaan ialah untuk membangunkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, dilengkapi dengan nilai dan sikap positif bagi membolehkan industri di Malaysia berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kerajaan telah membangunkan Pelan Induk Latihan Dan Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia 2008-2020. Pelan ini bertindak sebagai asas dan hala tuju kepada penggalakan aktiviti pembangunan dan penyediaan program kemahiran kepada belia di negara ini. Perancangan dan pelan tindakan bagi melaksanakan strategi tersebut meliputi usaha-usaha memperkukuhkan kerjasama di antara agensi latihan dan industri, memperkukuhkan maklumat pasaran sumber manusia mahir, memperluaskan kapasiti latihan, mempertingkatkan dan memperluaskan program pembangunan latihan peringkat tinggi dan memperkenalkan program keusahawanan.
Sehingga kini, Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah KSM telah meluluskan 70 buah pusat bertauliah bagi menawarkan sejumlah 173 program latihan di tahap 4 (Diploma Kemahiran Malaysia) atau tahap 5 (Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia) bagi mengatasi masalah tersebut.

Akademi Badminton Akan Ditubuhkan - Najib

11/11/2008 12:47pmKUALA LUMPUR 11 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Akademi Badminton yang akan menjadi pusat kecemerlangan bagi sukan berkenaan.

Sumber: Utusan Malaysia

****************************
Tulip Desa
Tulip sangat bersetuju dengan cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri terhadap cadangan membina beliau untuk memulihkan kembali imej sukan badminton yang semakin pudar. Diharapkan penubuhan akademi ini akan melahirkan jaguh-jaguh badminton yang akan mengharumkan nama negara di persada dunia seperti di zaman 'anak-anak Datuk Sidek'.

Roti canai, teh tarik turun 10 sen

KUALA LUMPUR: Dua persatuan pengusaha restoran yang mempunyai 4,500 ahli di seluruh negara bersetuju menurunkan harga roti canai dan teh tarik sebanyak 10 sen, manakala set hidangan nasi kandar dikurangkan 20 sen. Setakat ini, 200 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di Lembah Klang sudah menurunkan harga makanan dan minuman itu mulai semalam. Serentak itu, persatuan berkenaan melancarkan kempen menggalakkan ahlinya di seluruh negara menurunkan harga barangan makanan dan minuman itu.
Kempen itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad di Restoran Syed Bistro, Bangsar di sini, semalam. Presiden Presma, Jamarulkhan Kadir, berkata penurunan harga tiga menu itu dibuat bagi menyahut seruan kerajaan. “Ini tidak ada kaitan dengan penurunan harga minyak, sebaliknya lebih bersifat keprihatinan pengusaha,” katanya.

Timbalan Presiden Primas, T Muthusamy, pula berkata penurunan harga itu diharap dapat membantu mengurangkan beban orang ramai berikutan keadaan ekonomi tidak menentu.
Sumber: Utusan Malaysia
***********************
Tulip Desa
Nampaknya, pengusaha-pengusaha restoren telah menyahut seruan Kerajaan untuk menurunkan harga makanan dan minuman. Ini satu petanda baik yang menggambarkan keperihatinan dan tanggungjawab sosial pengusaha restoran dan peniaga. Ini merupakan berita gembira bagi rakyat marhaen yang mengharapkan pengusaha dan peniaga lain turut mengikut jejak langkah Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di Lembah Klang yang telah menurunkan harga minuman dan makanan bermula semalam.

Wednesday, November 5, 2008

Petrol RM1.92 Seliter Sebelum 31 Disember


PUTRAJAYA: Harga runcit petrol di negara ini mungkin turun kembali ke paras RM1.92 seliter menjelang akhir bulan atau selewat-lewatnya sebelum 31 Disember depan, berikutan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, tidak menolak kemungkinan itu berlaku, tetapi ia tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung sama ada kaedah baru penentuan harga minyak boleh dilaksanakan. Katanya, manfaat serta-merta daripada kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa ialah kemungkinan harga runcit minyak di pasaran mungkin dikurangkan sebanyak 26 sen lagi bagi setiap liter sebelum akhir bulan ini.
“Saya percaya, dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia kita mungkin melihat petrol dijual pada RM1.92 seliter semula menjelang akhir bulan ini atau selewat-lewatnya menjelang akhir tahun,” katanya kepada New Straits Times, di sini. Shahrir purata, harga minyak mentah di pasaran dunia kini sudah sampai ke paras kurang daripada AS$60 (RM211) setong. Kerajaan menaikkan harga runcit petrol sebanyak 78 sen seliter daripada RM1.92 kepada RM2.70 pada Jun lalu, selepas harga minyak melambung di pasaran dunia.

Sumber: Utusan Malaysia

**********************
Tulip Desa

Rakyat bakal menikmati harga lama petrol RM1.92 sebelum 31 Disember 2008 jika harga minyak kekal sehingga hujung tahun ini. Terima kasih Kerajaan Barisan Nasional yang faham dengan masalah rakyat. Barisan Nasional adalah Kerajaan Kebajikan yang senantiasa peka dan prihatin dalam membela nasib rakyat. Nampaknya pembangkang tidak terkata apa, jika cadangan ini menjadi kenyataan kerana mereka juga menikmati faedah yang diberikan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Sidang Dewan Ditangguh, Pembangkang Desak Bajet Baru

05/11/2008 12:38pm

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Persidangan Dewan Rakyat pagi ini ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang apabila kesemua ahli Parlimen pembangkang mendesak untuk mengemukakan Bajet 2009 yang baru kerana tidak berpuas hati dengan penggulungan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Usul itu dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang inginkan penjelasan mengenai Bajet 2009 yang diluluskan dan mendakwa ia tidak serupa dengan apa yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, September lalu. – Utusan

*********************************
Tulip Desa

MP Permatang Pauh cuba mempengaruhi MP pembangkang lain supaya menolak penggulungan Bajet 2009 dan mendesak Kerajaan untuk mengemukakan Bajet 2009 yang baru. Sikap DSAI yang suka bermuka-muka dan cuba menarik simpati ternyata berjaya menarik perhatian MP pembangkang lain. Apa nak jadi dengan DSAI ni, gemar menimbulkan provokasi dan bikin kecoh dalam sidang dewan. Kalau setiap kali datang ke sidang dewan untuk protes dan menyalahkan Kerajaan, sampai bila Pakatan Rapuh ini hendak membangunkan negeri di bawah pimpinannya. Sesungguhnya, rakyat tertunggu-tunggu pembaharuan yang bakal di bawa oleh Pakatan Rapuh ini.

Tindakan GGMM mempertahankan B. Melayu Wajar

Tulip menyokong tindakan Ahli Exco Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Nik Rizman Sapian memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung tindakan meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memasang papan tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan di Georgetown. Nampaknya bahasa kebangsaan tidak lagi dihormati oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila mahu menamakan jalan warisan di Pulau Pinang dalam bahasa Cina dan Tamil selain bahasa kebangsaan kita.
Setelah lebih lima puluh satu tahun merdeka perkara penting tentang penggunaan bahasa kebangsaan masih hendak dirungkai. Kerajaan Pulau Pinang seakan-akan mahu menafikan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia yang termaktub bahawa Bahasa Malaysia adalah sebagai bahasa rasmi negara.

Tulip rasa tidak masuk akal dengan alasan yang diberikan oleh Kerajaan Pulau Pinang yang menyatakan papan tanda tersebut untuk kegunaan pelancong. Adakah semua pelancong yang datang ke Malaysia berketurunan Cina dan India? Setahu Tulip pelancong yang datang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa. Selama ini sudah 51 tahun pelancong datang ke Malaysia dengan menggunakan papan tanda yang menggunakan bahasa kebangsaan tanpa sebarang masalah. Penduduk tempatan juga tidak mengalami masalah dengan papan tanda yang sediaada malah pelancong juga tidak pernah merungut kerana mereka tahu ia adalah bahasa rasmi.
Jelas menunjukkan Kerajaan Pulau Pinang sudah luntur dengan semangat nasionalisme dan gemar membangkitkan perkara yang remeh temeh daripada membantu rakyat. Tulip mengharapkan agar Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan semula cadangan tersebut kerana dikhuatiri akan membangkitkan kemarahan Orang Melayu dan sentimen perkauman. Syabas GGMM. Tindakan GGMM menggambarkan anak muda Melayu tidak akan berdiam diri apabila perlembagaan dan keistimewaan Orang Melayu diganggugugat.

Ahli Parlimen Pembangkang Keluar Dewan


Gambar: Http://pewarismelayu.blogspot.com


KUALA LUMPUR 4 Nov. – Semua ahli Parlimen pembangkang hari ini bertindak keluar daripada Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati kerana mereka tidak diberikan ruang untuk penjelasan dan berbahas ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menggulung perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan.
Wakil pembangkang mula membuat bantahan apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyatakan beliau mahu menghabiskan pembentangan langkah-langkah tambahan bagi Bajet 2009 sebelum memberi ruang untuk penjelasan.

Ekoran tindakan ahli Parlimen pembangkang yang seringkali bangun untuk membantah, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan ahli Parlimen agar mematuhi peraturan mesyuarat jika tidak beliau akan meminta mereka meninggalkan Dewan.

Beliau juga menjelaskan, Menteri Kewangan akan memberi ruang kepada ahli Dewan untuk mendapatkan penjelasan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan itu dan ahli Parlimen perlu bersabar seketika.
Chua Tian Chang (PKR-Batu) menjadi ahli Parlimen pertama yang diarah berbuat demikian selepas enggan mematuhi arahan Yang Dipertua untuk duduk dan tidak meneruskan bantahan.

Bagaimanapun keadaan itu berterusan sehingga mengganggu penggulungan Menteri Kewangan dan ketika Mohd. Azmin Ali (PKR-Gombak) mengemukakan bantahan, Yang Dipertua sekali lagi mengingatkan ahli Parlimen agar mematuhi peraturan.Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan teguran itu kemudiannya terus bangun beramai-ramai dan meninggalkan Dewan.
Sumber: Utusan Malaysia
**********************
Tulip Desa
Tindakan keluar dewan oleh MP-MP pembangkang menggambarkan sikap keanak-anakkan dan kedangkalan mereka. Seharusnya MP Pembangkang hormat dengan keputusan YAB Timbalan Perdana Menteri supaya beliau tidak diganggu ketika menyampaikan hujah pergulungan bajet 2009. Tidakkah MP pembangkang malu, sikap mereka diperhatikan oleh rakyat dan penduduk di seluruh dunia. Sikap biadap MP pembangkang memberikan imej yang tidak baik kepada Parlimen Malaysia di mata dunia. Tulip menyifatkan MP pembangkang suka menjaga koyak kain orang, koyak di kain sendiri tidak nampak. Hanya tahu membangkang sahaja, bukannya hendak bekerjasama dalam membangunkan dan memantapkan ekonomi negara. Aduhai, sungguh memalukan.