Tuesday, June 30, 2009

Datuk Seri Najib: Pemimpin pertama Malaysia di beri penghormatan oleh UNESCO

Tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana diberikan penghormatan untuk memberikan ucaptama pada Persidangan Pertubuhan Pelajaran, Sains Dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Dijangkakan majlis itu akan berlangsung pada 6 Oktober 2009 bertempat di ibu negara.

Ini merupakan detik sejarah negara apabila beliau adalah pemimpin pertama Malaysia yang diberi peluang untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pembukaan persidangan tersebut. Ini adalah satu penghormatan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib. Sudah pasti, ucaptama tersebut menjadi perhatian dunia. Tulip merasakan sudah tentu, seluruh rakyat Malaysia tidak sabar menantikan detik-detik itu. Sama-sama kita nantikan.

Tuesday, June 23, 2009

PR TOLAK KERAJAAN PERPADUAN

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) bersalaman dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kanan) sambil diperhatikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas sidang akhbar pada pertemuan antara Pemimpin Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.

Barisan Nasional tetap kukuh tanpa idea pembangkang: Najib

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) semalam menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada mesyuarat dua jam yang dihadiri pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen di sini, Pakatan Rakyat mendakwa idea itu cuma fitnah, tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat gabungan pembangkang.

Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan BN masih berupaya mentadbir negara dan tetap kukuh walaupun Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Kita tak ada masalah... maknanya kalau tak ada kerajaan perpaduan atau apa bentuk pun, kerajaan masih kukuh.

"Kita mampu melaksanakan agenda pembaharuan yang telah kita gariskan," katanya selepas menyampaikan ucap utama pada Persidangan Ketujuh Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia di Luar Negara di Putrajaya.

Pengerusi BN dan Presiden Umno itu juga berkata, tidak timbul soal kerajaan BN lemah dalam isu berkenaan kerana pelawaan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dibuat pembangkang terlebih dulu.

"Pas yang sebut perkara ini dan dia yang menggambarkan hasrat untuk mencapai kata sepakat dan istilah kerajaan perpaduan datang dari mereka sendiri, bukan daripada kita.

"Apabila mereka sebut (kerajaan perpaduan), kita sambut secara positif. Maknanya kita mempunyai sikap terbuka kalau sesuatu dibuat dengan tujuan mencari kebaikan dan kita masih tetap dengan pendirian sesuatu yang baik untuk negara perlu diusahakan bersama walaupun cadangan itu datang daripada parti pembangkang," katanya.

Ditanya sama ada penolakan idea kerajaan perpaduan itu merugikan orang Melayu, beliau berkata: "Saya tidak fikir, tetapi saya harap mereka (pembangkang) tidak keterlaluan dalam apa juga tindakan sama ada ada perbincangan atau tidak.

"Apa yang penting ialah kita menguruskan perbezaan pendapat dan kita ada perasaan terhadap negara dalam fikiran kita."

Ditanya sama ada Umno akan melayan lagi idea seperti itu pada masa depan, Najib berkata: "Siapa tahu perkara yang akan berlaku pada masa depan, segala-galanya boleh berlaku dalam politik."

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam kenyataan tiga perenggan yang dibacakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan semua parti dalam gabungan itu mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang akan datang.

Pada masa yang sama, Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan kepemimpinan BN bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan negara dan rakyat, seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pakatan Rakyat juga mahu perbincangan berkisar mengenai salahguna kuasa kepimpinan polis, membanteras rasuah, menjana urus tadbir yang baik serta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan segera pilihan raya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak. Kenyataan itu ditandatangani oleh Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presidennya, Dr Syed Hussin Ali, manakala antara pemimpin DAP yang hadir ialah Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Pemimpin Pas pula ialah dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang sebelum ini dibidas Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung isu kerajaan perpaduan bagaimanapun tidak hadir. Ahli Parlimen Bachok itu juga tidak kelihatan di Parlimen semalam.

Anwar yang ditanya mengenai isu membabitkan Nasharuddin dan Nik Abdul Aziz, berkata tiada masalah berlaku antara kedua-dua pemimpin Pas itu.

Abdul Hadi pula berkata, pemimpin Umno sengaja mempermainkan isu kerajaan perpaduan seolah-olah menggambarkan Pas akan bersatu dengan Umno dan akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ditanya sama ada Pas membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan dengan Umno, beliau berkata, ia tidak akan diadakan jika Umno berterusan cuba melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, katanya, Pas bersedia berbincang berhubung isu yang mempunyai kepentingan bersama atas sifat negara demokrasi, tetapi mesti diberi hak sama dalam perbincangan itu.

Kit Siang pula berkata, kenyataan bersama DAP, PKR dan Pas sudah menjelaskan bahawa ketiga-tiga parti itu mempunyai komitmen antara satu sama lain untuk menunjukkan Pakatan Rakyat berbeza dengan BN.

Sumber: Berita Harian

Monday, June 22, 2009

'Kerajaan Perpaduan': Nik Aziz Flip-Flop

Hairan, melihat perubahan sikap Mursyidul Am PAS, Nik Aziz. Kebelakangan ini, tindakannya terlalu mengikut perasaan. Sikapnya berubah apabila anak didik kesayangannya Husam Musa kalah merebut jawatan Timbalan Presiden. Kemarahannya terhadap Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS jelas apabila Nasharuddin Mat Isa menyokong idea Haji Hadi berhubung pembentukan 'Kerajaan Perpaduan'.

Pelbagai kecaman yang dilontarkan termasuk meminta Nasharuddin keluar daripadaPAS dan menyertai UMNO dan menggelarkan Nasharuddin sebagai 'boneka UMNO'. Salahkan team ulama ini menyokong 'Kerajaan Perpaduan' yang dilihat dapat menyatupadukan Orang Melayu ? Tidakkah Nik Aziz merasa bangga dan gembira melihat Orang Islam di negara ini kuat dan bersatu-padu. Mengapakah perkara yang baik ini tidak disegerakan pelaksanaannya. Orang Melayu perlu sepakat dan kuat supaya digeruni oleh musuh yang ingin mengancam keselamatan dan kestabilan negara. Orang Melayu ibarat akar yang memegang pokok. Sekiranya akarnya lemah, maka pokok tersebut akan mati. Jika, Orang Melayu lemah dan berpecah-belah, bagaimana hendak melindungi kaum-kaum yang lain. 'Kerajaan Perpaduan' adalah idea yang bernas yang dapat memantapkan Orang Melayu dan juga perpaduan kaum di negara ini.

Tulip juga melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am menjurus kepada kepentingan politik daripada prinsip memperjuangkan agama. Dalam pada itu beliau juga didapati gemar membuat kenyataan yang flip-flop. Adakah segala kenyataan yang dikeluarkan adalah ikhlas daripada hatinya atau dipengaruhi oleh seseorang. Adakah beliau digunakan untuk mencapai hasrat seseorang? Tulip mengharapkan, para pemimpin PAS melihat kembali idea 'Kerajaan Perpaduan'. Jangan ditutup pintu perbincangan. Lihatlah untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Bukan untuk kepentingan politik dan kuasa. Renung-renungkanlah.





Tuesday, June 16, 2009

Brother Anwar Gadai Maruah Agama,Bangsa Dan Negara Untuk Jadi PM

Setelah lama menyepikan diri daripada sebarang kontroversi, Brother Anwar muncul lagi dengan beberapa kenyataan yang mengundang kemarahan rakyat khususnya Orang Melayu. Pandangan beliau yang menyokong Ching Peng kembali ke Malaysia menggambarkan beliau sanggup menjual maruah, agama, bangsa dan negara demi untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Setelah hilang sokongan daripada Orang Melayu, Brother Anwar dilihat semacam hilang arah. Sokongannya terhadap Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), jelas untuk kepentingan politiknya untuk meraih sokongan orang bukan Melayu khususnya kaum Cina.

Alasan Brother Anwar bahawa hubungan di antara Malaysia dan Cina semakin kukuh bukanlah sandaran untuk membenarkan Ching Peng pulang. Brother Anwar ini adalah Orang Melayu yang tidak sedar diri, tidak melihat sejarah di mana keganasan Ching Peng ini telah membunuh beribu-ribu rakyat yang tidak berdosa. Keperitan tempoh darurat selama 12 tahun, yang juga dialami oleh Brother Anwar nampaknya tidak memberi kesan kepada beliau.

Tulip sedih dengan sikap anak Melayu seperti Brother Anwar. Sewajarnya Brother Anwar ini dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana meniupkan api persengketaan yang mengundang suasana huru-hara. Sekiranya kezaliman komunis ini direnung dan dilihat kembali, mungkin tidak mengundang isu perkauman sepertimana yang dipolitikkan oleh pembangkang.

Monday, June 15, 2009

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini

Sumber: Berita Harian, 15 Jun 2009

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, yang mula bersidang hari ini akan bermesyuarat selama 10 hari dan menyaksikan pembentangan 10 rang undang-undang untuk bacaan kali kedua sebelum disusuli mesyuarat Dewan Negara antara 6 Julai hingga 14 Julai.

Pembentangan terbabit termasuk pindaan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan, Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan Rang Undang-Undang Orang-Orang Papa.

Bacaan kali kedua akta baru pula membabitkan Rang Undang-Undang Makanan Haiwan, Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Rang Undang-Undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) (Pengesahan).

Antara lain, perbahasan Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim dan Rang Undang-Undang Identifikasi DNA yang kini dalam peringkat jawatankuasa dijangka rancak ketika dibahaskan.

Mesyuarat kali ini turut menyaksikan kerusi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (BN-Kepala Batas) dipindah ke Blok E. Kerusi yang beliau duduki di Blok A pada sidang Mac lalu diambil alih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menerajui pucuk pimpinan negara mulai 3 April lalu manakala kerusi lama Najib diisi timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Abdullah pula kini duduk bersebelahan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting (BN-Kulai) dan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).


Monday, June 8, 2009

Arif Shah Setia Dengan BN, Tolak Tawaran Pembangkang

Pakatan Pembangkang masih tidak jemu memujuk Datuk Arif Shah Omar Shah, ADUN Seberang Jaya dengan pelbagai tawaran yang menarik supaya beliau keluar daripada BN dan menyertai pembangkang. Yang terbaru, beliau ditawarkan jawatan oleh kerajaan negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Masyarakat Penyanyang.

Beliau yang setia dengan Barisan Nasional, tidak memberikan sebarang jawapan, walaupun sudah beberapa kali menolak tawaran tersebut. Mengapakah pembangkang begitu beria-ria memujuk ADUN Seberang Jaya ini menyertai mereka? Adakah pembangkang khususnya PKR ketandusan calon dan pemimpin yang berwibawa dan berkarisma? Mungkin ADUN ini, mempunyai tarikan tersendiri yang suaranya didengari oleh pengundi Melayu di Pulau Pinang.

Syabas, Datuk Arif Shah yang begitu setia dengan UMNO. Inilah pemimpin yang wajar dicontohi. Pemimpin yang tidak memandang wang ringgit dan kuasa, walaupun peluang di depan mata. Pemimpin berhati rakyat, ikhlas bekerja untuk rakyat demi membantu rakyat supaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

'Terima 1Malaysia Secara Terbuka'

MUHYIDDIN mencuba masakan tradisional sambil diperhatikan Ahmadshah (dua dari kanan), Dayang Masuyah (kanan) serta Rais (tiga dari kanan) pada majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan peringkat kebangsaan di Padang Merdeka Kota Kinabalu, semalam.

Sumber: Berita Harian, 8 Jun 2009.

Muhyiddin mahu rakyat jadikan perpaduan kaum misi jangka panjang

KOTA KINABALU: Konsep 1Malaysia perlu dilihat sebagai perjalanan berterusan yang perlu ditempuhi bersama setiap rakyat negara ini dengan hati terbuka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 1Malaysia bukan sesuatu yang tegar, sebaliknya boleh dilentur untuk menyerap kepelbagaian dan keunikan budaya rakyatnya.

"Sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan adalah persinggahan awal kita sebelum meneruskan perjalanan panjang hingga tiba ke perhentian terakhir, iaitu 1Malaysia.

"Kita perlu bersatu dalam kepelbagaian dan marilah kita berdoa supaya perjalanan ini tiba ke destinasinya tanpa halangan," katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan peringkat kebangsaan di Padang Merdeka di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Walaupun kepemimpinan kerajaan sudah berubah, Muhyiddin berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum yang menjadi tradisi perlu diteruskan walaupun dilaksanakan secara sederhana dan lebih berhemah ekoran kegawatan ekonomi semasa yang melanda dunia.

"Kemeriahannya tetap dirasakan dan tidak menghalang rakyat meraikannya dengan penuh semangat kekeluargaan serta bersatu padu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan mengisytihar enam perayaan utama di negara ini, termasuk Tadau Kaamatan sebagai sambutan kebangsaan membuka ruang luas untuk rakyat Malaysia mengenali dengan lebih dekat budaya antara kaum.

Katanya, aspek kelangsungan menerusi sikap saling menghormati dan memahami itu adalah jaminan terhadap pengukuhan integrasi kaum, selaras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Di sinilah letaknya cabaran dalam usaha mengeratkan prinsip utama yang mendasari konsep 1Malaysia iaitu mewujudkan perasaan kebersamaan dan kekitaan.

"Saya yakin sambutan seperti Tadau Kaamatan dapat menjadi pemangkin bagi menyemai rasa itu di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya," katanya.

Pada majlis itu, beliau mengesyorkan diwujud perkampungan budaya untuk memaparkan keunikan setiap etnik di Sabah, sejajar matlamat mengetengahkan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia secara lebih meluas.

Kumpulan Ulama Kekal Menerajui PAS

Nasharuddin Mat Isa kekal sebagai Timbalan Presiden PAS


Nasharuddin Mat Isa kekal sebagai Timbalan Presiden PAS menewaskan dua calon iaitu Husam Musa dan Mohd Sabu dalam Muktamar PAS Yang Ke-55. Kumpulan ulama terus menerajui kepimpinan tertinggi PAS apabila jawatan presiden dan timbalan presiden kekal dipegang oleh mereka. Apa dah jadi dengan kumpulan Erdogan? Kempunan dan gigit jarilah . Selepas ini Husam Musa tidak memegang sebarang jawatan dalam PAS. Husam Musa, kena buat muka tak malulah, untuk dapatkan jawatan dalam PAS. Nampaknya, niat jahat kumpulan Erdogan untuk menjatuhkan kumpulan ulama tidak berjaya.

Bersyukur kepada Ilahi, kumpulan ulama kekal memimpin PAS yang bersetuju dengan muqabalah. Ini disuarakan dalam muktamar, bahawa pucuk pimpinan parti bertekad untuk mengamalkan konsep keterbukaan Islam terhadap mana-mana pihak dalam menegakkan syiar Islam. Ini merupakan cabaran yang berat bagi Presiden PAS untuk memberi kefahaman dan keyakinan kepada rakyat marhaen khususnya ahli PAS dan komponen Pakatan Campuran bahawa konsep ini membawa keuntungan bersama. Samada konsep baru yang dibawa oleh PAS ini berjaya. Sama-samalah kita saksikan.


Thursday, June 4, 2009

Isu Ching Peng: Hormati Keputusan Kerajaan

Pelbagai pandangan dan pendirian dilontarkan oleh rakyat marhaen mengenai rayuan bekas Ketua Komunis, Ching Peng untuk kembali ke Malaysia. Secara keseluruhannya, rakyat tidak bersetuju petualang negara ini menjejaki kaki walau seinci pun. Kepulangannya akan mengembalikan kenangan pahit yang terpahat di sanubari majoriti rakyat tentang kezaliman komunis. Bekas anggota polis dan mereka yang pernah terlibat dengan kekejaman komunis adalah yang menentang keras rayuan tersebut.

Rasa sedih apabila mendapati cubaan sesetengah pihak yang mendesak Kerajaan agar Ching Peng pulang ke Malaysia. Beberapa laman blog dan facebook diwujudkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba menerapkan ideologi komunisme kepada pelayar blog supaya menyokong hasrat mereka. Mereka berpandangan Ching Peng bukan lagi ancaman terhadap keselamatan negara.

Langkah Kerajaan tidak akan membenarkan bekas ketua komunis itu menetap di negara ini adalah satu keputusan yang harus dihormati oleh semua rakyat tanpa perlu mempertikaikannya. Cukuplah, jangan diungkit-ungkit lagi kisah Ching Peng. Segala perbahasan mengenainya haruslah dihentikan segera. Petualang negara ini tidak boleh diberi muka, begitu juga dengan penyokong-penyokongnya.Segala peluang yang diberikan akan membinasakan bangsa, agama dan negara. Kalau ikutkan hati Tulip yang marah, Ching Peng wajar dihadapkan ke muka pengadilan sebagai penjenayah perang dan dikenakan hukuman gantung. Ching Peng bukanlah wira yang perlu dibela.

Wednesday, June 3, 2009

Bangunkan Tenaga Nuklear, Jimatkan Kos Jana Tenaga

Malaysia berminat untuk membangunkan teknologi nuklear berskala kecil untuk menjana tenaga. Penggunaan teknologi yang dirintis oleh negara Korea ini dikatakan lebih selamat dan murah berbanding loji janakuasa yang menggunakan arang batu. Nampaknya, hasil pertemuan dua hala di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Korea Selatan membuahkan hasil, bukan setakat dapat mengintai peluang pelaburan tetapi dapat mempelajari teknologi baru yang menarik dan mempunyai potensi besar untuk diaplikasikan di negara kita.Dikatakan, Perdana Menteri juga amat tertarik dengan teknologi hijau yang digunapakai oleh republik tersebut. Tulip merasakan, teknologi ini wajar dilaksanakan di negara kita selaras dengan agenda Kerajaan untuk membawa teknologi hijau dengan menubuhkan kementerian baru. Diharapkan lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara dapat membuka peluang untuk menarik pelabur ke Malaysia di samping mempelajari perkara-perkara baru yang boleh menjana pendapatan negara dalam menempoh kemelut ekonomi dunia.

PKM bukan perjuangan tuntut kemerdekaan

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 JUN 2009 (SURAT PEMBACA)
KISAH kekejaman pengganas komunis dan perjuangan kerajaan yang memerintah menghapuskan aktiviti pengganas sejak zaman darurat (1948-1960) hingga ke tahun 1980-an masih mampu diingati oleh generasi era itu dengan terperinci dan masih sesegar darah pejuang yang disembelih hidup-hidup oleh pengganas yang buta hati. Bagi kami generasi yang lahir pada era 1970-an, kisah keganasan komunis di Sungai Siput, Perak yang membunuh pengurus ladang berbangsa Inggeris yang membawa kepada perisytiharan darurat selalu diceritakan oleh ibu yang tinggal di Estet Peng Soon, Sungai Siput ketika zaman sebelum merdeka. Kisah keganasan komunis ini bukanlah perkara dongeng. Mereka tidak boleh diizin menjejakkan kaki walaupun seinci pun di bumi Malaysia dan diharamkan nama mereka disebut langsung.
Walaupun ada ahli Parti Komunis Malaya (PKM) mendabik dada mengatakan mereka adalah pejuang kemerdekaan, tidak perlu kita bertegang leher atau bertekak mengatakan sebaliknya. Sejarah membuktikan siapa pejuang siapa petualang. Jangan ingat generasi baru buta sejarah, komunis dan keganasan pejuang buku kecil berwarna merah ini akan diingati selagi kita hidup.
Rakyat yang cintakan agama dan negara mesti menghalang sebarang usaha membawa pulang bekas pemimpin PKM kembali ke bumi yang pernah disimbah dengan darah anak watan. Di blog ideologi sesat yang dipelopori Karl Marx ini dikhabarkan wujud dengan perjuangan mengjustifikasikan gerakan komunis sebagai sebahagian perjuangan kemerdekaan. Kalau benar mengapa majoriti rakyat tidak senada dengan perjuangan sejak zaman Jepun di Malaya lagi.

Lebih menakutkan ada bekas anggota PKM ini mengatakan walaupun mereka adalah anggota komunis, mereka tetap kekal beragama Islam dan dibuktikan dengan pembinaan surau di kawasan penempatan semula mereka di sempadan Malaysia-Thailand. Kita sebagai rakyat yang cintakan keamanan tidak pernah menidakkan ideologi yang menjurus kepada kebaikan tetapi jika agama dan ideologi dicampuradukkan, adakah ia perjuangan yang sebenar-benar perjuangan.
Justeru, langkah mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin perlu difikirkan semula. Sesungguhnya komunis bukan saja mengancam nyawa kita, malah ia mengancam umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia. Bagi kami generasi muda, jasa pejuang yang terkorban di dalam peristiwa Bukit Kepong dan pengorbanan askar Melayu melawan komunis menjadi tonik perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara berdaulat pada masa depan. Pejuang yang menghapuskan komunis tidak memerlukan sangat gelaran Datuk, pingat atau wang ringgit untuk jasa mereka dibalas.

ABDUL RAZAK IDRIS,Banting, Selangor.

Tuesday, June 2, 2009

Ching Peng Petualang Negara

Ching Peng petualang negara


Keganasan yang dilakukan oleh Ching Peng
Generasi muda, tidak merasai keganasan yang dilakukan oleh Ching Peng. Mungkin mengetahui kisah kekejamannya melalui pembacaan dan juga cerita orang tua-tua. Bagi anggota keselamatan yang berada di zaman sebelum merdeka sudah tentu tidak boleh melupakan kekejaman Chin Peng yang telah meragut nyawa keluarga dan sahabat mereka. Sejumlah 1,444 orang anggota polis telah terkorban, manakala 1,883 lagi anggota polis telah cedera angkara PKM. 2,558 orang awam terbunuh dan 1,490 orang awam cedera akibat kekejaman komunis.
Desakan beberapa pihak tertentu termasuk pembangkang untuk membawa masuk Ching Peng, ibarat luka lama berdarah kembali. Bagi mereka yang terlibat dengan keganasan Ching Peng atau kehilangan orang yang tersayang bukan mudah melupakan insiden berdarah begitu sahaja. Tiada asas yang kukuh mengapa Ching Peng harus dibenarkan pulang ke tanah air kerana jenayah yang dilakukan meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat terdahulu terutama Orang Melayu.
Tulip merasakan Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang supaya setiap cubaan membawa masuk fahaman komunis dan cuba mempengaruhi rakyat akan dikenakan tindakan akta ISA atau OSA. Sudah jelas Ching Peng petualang negara yang tidak perlu di beri pengampunan. Membenarkan pemimpin utama komunis itu pulang merupakan satu penghinaan kepada semua yang terkorban mempertahankan tanah air.


Monday, June 1, 2009

Info: Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Kelantan

  • Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Manik Urai, Kelantan pada 6 Julai 2009. Hari pengundiannya dijalankan pada 14 Julai 2009
  • Proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai
  • Sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat pengundi yang melibatkan 27 saluran
  • Pengundian membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 adalah pemilih pos
  • Mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskini sehingga 22 Mei lalu
  • Majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu
  • Komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi adalah orang Melayu manakala Cina, 0.46 peratus dan India 0.23 peratus