Malaysia tidak terkecuali merasai kemelut krisis kenaikan bahan api ekoran kesan ekonomi global yang tidak menentu. Kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 oleh Kerajaan pada 5 Jun 2008 menimbulkan pelbagai reaksi rakyat yang nyata kurang selesa dengan peningkatan tersebut. Seharusnya rakyat perlu faham bahawa harga petrol dikawal dan ditentukan oleh pasaran harga minyak mentah dunia. Kerajaan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga tanpa mengambil kira kebajikan rakyat sebaliknya terpaksa bergantung kepada kenaikan harga minyak di pasaran global.
Melalui pembacaan Tulip, sebanyak RM 33 billion dibelanjakan oleh Kerajaan untuk subsidi sehinggakan Kerajaan terpaksa mengambil pendekatan menstruktur semula subsidi bukan sahaja untuk mengurangkan bebanan tanggungan Kerajaan tetapi bagi membolehkan penjimatan sebanyak RM13.7 billion untuk diagihkan semula bagi kepentingan rakyat terutama dari segi penyediaan insfrastruktur di luar bandar. Penstukturan semula subsidi Kerajaan dilaksanakan bagi memastikan bantuan Kerajaan dapat diagihkan secara lebih adil terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana agar mereka tidak dibebani kesan kenaikan kos petrol dan makanan di peringkat terbuka. Mekanisme ini juga dilihat dapat menghalang ketirisan subsidi yang sebelum ini dinikmati oleh rakyat asing daripada Thailand dan Singapura.
Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan cuba mendidik rakyat supaya berjimat cermat, merancang perbelanjaan dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menangani krisis kenaikan harga minyak sehingga Kerajaan dapat menurunkan perbelanjaan defisit daripada 5% kepada 3%. YAB Perdana Menteri boleh terus membuat keputusan mengekalkan subsidi yang ada dan terpaksa menambah subsidi apabila harga minyak mentah dunia naik. Namun antara menjadi popular atau bertanggungjawab kepada negara, beliau terpaksa membuat keputusan menstrukturkan semula subsidi tersebut dan memilih untuk tidak popular.
Kerajaan tidak mahu pucuk pimpinan yang akan datang tiada wang untuk dibelanjakan kerana menanggung beban hutang yang banyak sehinggakan bank tidak sanggup lagi memberikan pinjaman kepada Kerajaan kerana tidak mampu membayar hutang. Ini terjadi di negara India dan Afrika di mana Kerajaan yang popular menggunakan seluruh hasil yang ada untuk memenuhi kehendak rakyat. Rakyat perlu faham, Malaysia tidak berada dalam senarai negara pengeluar minyak utama dunia berbanding dengan Arab Saudi yang mengeluarkan minyak sebanyak 10 juta tong sehari, Kuwait sebanyak 4 juta tong sehari, Iran dengan 5 juta tong, Britain dengan 2.5 juta tong sehari, begitu juga dengan Indonesia sebanyak 1 juta tong sehari. Negara kita hanya mengeluarkan 700 ribu tong sehari sedangkan penggunaannya adalah sebanyak 600 ribu tong sehari.
Arab Saudi meneroka minyak di tengah-tengah padang pasir yang tidak memerlukan kos yang tinggi di antara 5 hingga 6 dolar setong berbanding dengan Malaysia meneroka telaga minyak jauh daripada pantai sehingga ke ultra deep dengan menanggung kos yang tinggi antara 60 hingga 70 dolar setong memandangkan sumber minyak di persisiran pantai hampir habis. Jika Petronas tidak berusaha mencarigali minyak, generasi akan datang tidak kemana-mana. Petronas mengandaikan dalam tahun 2014, kita akan kehabisan minyak dan akan menjadi salah satu negara pengimport minyak. Negara Cina dan India telah membuat perjanjian dengan negara Kuwait, Qatar dan Arab Saudi untuk membeli minyak untuk jangkamasa 20 tahun dengan menawarkan harga yang tinggi di samping menawarkan saham dan syarikat mereka bagi menjamin bekalan minyak sentiasa diberikan.
Sehubungan itu, Kerajaan perlu mencari sumber alternatif bagi menggantikan pergantungan sepenuhnya terhadap petrol. Tulip berpendapat Kerajaan perlu membuka satu lembaran baru bagi projek biodiesel serta gas secara bersepadu bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan minyak dunia untuk jangka masa panjang.
No comments:
Post a Comment