Monday, July 13, 2009

24 jam sehari tidak cukup

Najib Tun Razak diwawancara oleh Sayed Munawar Sayed Mustar pada rancangan Khas - 100 Hari Pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung oleh TV1 RTM, malam tadi. - UTUSAN/Halim Khalid


Sumber: Utusan Malaysia, 13 Julai 2009

KUALA LUMPUR 12 Julai - Kesibukan Datuk Seri Najib Tun Razak berkhidmat untuk rakyat menyebabkan beliau merasakan tempoh 24 jam sehari tidak mencukupi untuknya.

Perdana Menteri berkata, beliau sangat sibuk kerana sepanjang 100 hari mentadbir negara ini, terdapat pelbagai ujian yang perlu dihadapinya khususnya bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

''Jadi Perdana Menteri ini lain, kerana saya rasakan 24 jam itu tidak cukup. Saya beritahu isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) masa siang kini adalah lebih panjang dan masa malam juga makin singkat.

''Masa untuk tidur juga sudah kurang kerana banyak program dan ini tidak pernah saya alami sebelum jadi Perdana Menteri," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara eksklusif sempena 100 Hari Pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.

Menurut Najib, masa terluang ketika di rumah juga digunakan untuk berfikir mengenai langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah rakyat.

''Ramai yang tidak faham kerana ingat apabila Perdana Menteri berada di rumah dia free. Duduk rumah bukan bererti bersantai kerana kalau tidak berfikir saya akan baca buku atau (sediakan) ucapan esok. Tengok fail atau tandatangan sijil yang saya tidak dapat lakukan di pejabat," jelasnya.

Menyentuh tentang gagasan 1Malaysia, beliau menjelaskan, tumpuannya kini adalah untuk mendapat sokongan daripada kumpulan yang faham dan menerima pendekatan itu serta kumpulan yang tidak berapa faham tetapi yakin kepada kerajaan.

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Najib juga sempat berpesan kepada semua rakyat supaya menganggap apa yang telah dilakukannya dalam tempoh 100 hari hanya sebagai satu titik permulaan.

''Saya telah bina asas permulaan dan saya memohon supaya rakyat akan bersama-sama kerajaan dalam perjalanan selanjutnya ke arah negara Malaysia yang semakin berjaya, hubungan kaum semakin mantap dan imej kerajaan semakin positif.

''Ini adalah bagi membolehkan saya memperkenalkan pembaharuan dan meneruskan kesinambungan pemimpin sebelum ini,'' ujarnya.




No comments: