Dunia kini berdepan dengan krisis makanan yang agak serius. Malaysia tidak terkecuali mula merasai kemelut kenaikan harga beras global, apabila harga beras di pasaran tempatan telah meningkat lebih 20 peratus. Tinjauan saya ke Hypermarket hinggalah ke supermarket, rata-rata pengguna memperkatakan isu kenaikan harga beras. Apa tidaknya, harga beras telah naik mencecah sehingga RM 22.00 untuk 10 kg. Nampaknya, selepas ini harga makanan yang berasaskan beras akan terus meningkat dan secara langsung mengundang kegusaran di kalangan pengguna. Apa yang difahamkan, harga beras dunia kini berada pada paras AS$1,000 (RM3,140) setan metrik berbanding AS$800 (RM2,512) setan metrik akhir tahun lalu. Kenaikan harga beras dunia ini disebabkan kekurangan bekalan apabila Vietnam, pengeksport kedua terbesar dunia menggantung eksport akibat pengeluaran padinya terjejas teruk kerana kemarau dan serangan serangga.
Pengumuman YAB Perdana Menteri untuk menyediakan stok penimbal makanan, pembukaan kawasan baru pertanian dan subsidi bagi pengeluaran makanan dilihat sebagai langkah bijak Kerajaan dalam menangani krisis makanan. Pada hemat saya, tindakan tersebut menunjukkan Kerajaan prihatin dengan kebimbangan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana mengenai isu tersebut. Langkah segera Kerajaan menubuhkan stok penimbal dijangkakan membolehkan negara menyediakan bekalan beras yang mencukupi bagi keperluan negara semasa menghadapi keadaan kecemasan. Saya turut menyokong tindakan Kerajaan membuka kawasan jelapang padi yang baru sebagai langkah jangka panjang untuk meningkatkan pengeluaran beras bagi menampung keperluan beras penduduk Malaysia yang semakin meningkat. Sehubungan itu, cadangan YAB Perdana Menteri menjadikan Sarawak sebagai negeri jelapang padi baru adalah langkah yang kehadapan. Sibuk dengan cadangan-cadangan baru, jangan dilupa, Kerajaan juga perlu serius dalam meningkatkan penguatkuasaan untuk mengelakkan kenaikan harga beras dan barang makanan lain, termasuk membanteras kegiatan menyorok barangan makanan dan penyeludupan.
Di samping itu, rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini secara bersama dengan mewujudkan alternatif agar penggunaan beras dapat dioptimumkan. Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap bermewah-mewah dalam pemakanan sehingga menyebabkan peningkatan kes obesiti di negara ini. Oleh itu, inilah saat yang paling sesuai untuk rakyat negara ini mengubah corak pemakanan dengan mengambil roti atau mee sebagai pengganti nasi bagi mengoptimumkan penggunaan beras. Rakyat akan menjalani kehidupan dengan lebih sihat seandainya dapat mengamalkan diet yang betul dan seimbang.
Monday, April 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Memang krisis harga barang semakin meruncing dan dasar-dasar kerajaan nampaknya gagal memberikan suatu penyelesaian yang meyakinkan terhadap isu ini...
Saya kurang yakin kerajaan yang ade dengan keupayaan dan pemikiran yang ade mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga ini...
Bukan sahaja barang makanan aje naik, semua barang naik... Bukan naik sikit-sikit, semua naik sampai 30%...
Nak kata isu nie melanda semua negara, Thailand kata ekonomi negara tersebut tak terjejas?
Saya pun sebenarnya risau dengan keadaan sekarang.. Almaklumla, kita bukan anak orang kaya, atau banyak harta... Kalau harga terus naik,susahla...
Post a Comment