Keputusan Pilihan raya Ke-12 memperlihatkan BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen serta gagal mengekalkan Kerajaan Kedah, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Ternyata manifesto yang didendangkan oleh pembangkang dapat meraih keyakinan dan sokongan rakyat supaya mengundi mereka. Tempoh berkempen selama 13 hari yang diberikan oleh Kerajaan digunakan sepenuhnya oleh pembangkang untuk mempengaruhi minda rakyat dengan pelbagai manifesto sebagai gula-gula pilihan raya. Janji-janji yang diberikan pembangkang tidak munasabah dan diibaratkan sebagai gula-gula kapas yang rasanya sangat manis tetapi ringan dan kosong. Apa tidaknya, manifesto yang dilaungkan oleh Pakatan Rakyat seperti negara kebajikan dan pendidikan percuma telah lama diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Konsep pendidikan percuma yang diwujudkan oleh Kerajaan sememangnya dapat membantu meringankan beban kewangan ibu-bapa pelajar. Ditambah pula dengan pemansuhan yuran sekolah, yuran peperiksaan serta bantuan skim pinjaman buku teks yang bukan hanya dinikmati oleh golongan miskin tetapi juga mereka yang kaya. Kerajaan juga telah membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam pemberian subsidi petrol kepada rakyat sebagai langkah mengurangkan beban kewangan rakyat. Sayangnya, rakyat seakan lupa dan tidak menghargai pemberian yang diberikan oleh Kerajaan dek termakan janji-janji kosong pembangkang yang mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan selesa.
Selepas lebih sebulan Pilihan Raya Umum Ke-12 berlalu, seluruh penduduk di lima negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat masih menanti dengan penuh harapan agar manifesto yang diuar-uarkan sebelum pilihan raya dapat dilaksanakan. Nampaknya, tiada tanda-tanda mereka hendak menunaikan janji mereka, malah pelbagai alasan diberikan sehingga ada pimpinan tertinggi mereka mengeluarkan kenyataan bahawa pakatan pembangkang itu tidak pernah berjanji bila manifesto yang dicanangkan pada pilihan raya umum boleh dilaksanakan. Jelas menggambarkan mereka bukan berjuang untuk rakyat sebaliknya untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka.
Kita lihat di Pulau Pinang, DAP berjanji akan menghapuskan kutipan tol di Jambatan Pulau Pinang dan Tol Sungai Nyior, bonus sebanyak RM6,000 setahun kepada keluarga berpendapatan RM6,000 ke bawah serta akan menurunkan harga minyak. DAP menggunakan isu pemansuhan bayaran tol sebagai kempen pilihan raya dan berjanji akan menunaikan janji rakyat sehari selepas menerajui kerajaan negeri. Tetapi hasilnya, Kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng kini bagaikan dilemma kerana tiada satu usaha dilakukan untuk memansuhkan bayaran tol sehinggakan menimbulkan rasa gelisah kerana janji sudah dibuat tetapi bila hendak dilaksanakan. Begitu juga Negeri Selangor, PKR menawarkan janji yang indah sekiranya dipilih untuk memerintah Negeri Selangor dengan slogan, Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan. Sehingga kini, isu pengurangan caj bekalan air dengan memberikan 20 meter padu air secara percuma bermula April 2008 dan isu levi kepada majikan yang menggaji pekerja-pekerja asing masih belum selesai dan masih dalam peringkat perbincangan. Selama mana rakyat harus menunggu. Alangkah malangnya jika rakyat tertipu dengan helah pembangkang ketika berkempen kerana seperti mana yang kita ketahui mengubah semua perjanjian adalah sukar lebih-lebih lagi melibatkan kos yang tinggi. Ini menjadi iktibar kepada rakyat di lima negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment