Tuesday, April 29, 2008

Keberkesanan Subsidi Diesel

Pengumuman Kerajaan berhubung subsidi diesel akan diberi secara tunai dan tiada sebarang penjualan diesel di stesen-stesen minyak menimbulkan pelbagai reaksi dan mencetuskan susana panik di kalangan pengguna. Dasar baru itu dijangka akan memberi kesan kepada beratus-ratus ribu kenderaan enjin diesel yang kini semakin popular berikutan harga bahan bakar itu lebih murah berbanding petrol. Kepada pengguna pengangkutan awam usah bimbang dengan perkara ini, kerana Kerajaan telah memberi jaminan bahawa penstukturan semula subsidi bahan bakar yang bakal dilaksanakan tidak akan menjejaskan sektor pengangkutan awam. Bagi Tulip dasar baru ini adalah langkah tepat Kerajaan bagi memastikan subsidi ini sampai kepada golongan sasaran. Kerana sebelum ini, subsidi diesel ini disalah guna dimana golongan yang berkereta mewah dan berkemampuan dilihat menerima faedah yang sama dengan golongan yang kurang berkemampuan.


Walaubagaimanapun, Tulip kesal dengan sikap segelintir pengguna khususnya nelayan yang mengambil kesempatan terhadap subsidi diesel yang diberikan Kerajaan dengan menyeludup subsidi diesel kepada nelayan asing. Dianggarkan subsidi diesel dan petrol pada tahun lepas hampir mencapai RM2 billion. Tetapi hasil tangkapan ikan merosot sehingga ke paras negatif. Justeru itu, langkah Kerajaan mengkaji semula samada untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada nelayan dilihat ada kewajarannya. Selain itu, LKIM perlu mengkaji semula kewajaran pemberian subsidi dan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai punca kemerosotan jumlah tangkapan ikan. Seharusnya perbelanjaan Kerajaan untuk memberi subsidi diesel kepada nelayan sepatutnya setimpal dengan pengeluaran hasil ikan negara tetapi keadaan sebaliknya berlaku. Dikatakan ada sesetengah nelayan yang mengambil minyak subsidi diesel sebanyak 2,000 liter dan mengambil semula dalam tempoh dua hari sedangkan enjin bot mereka berkapasiti 300 liter. Jelas menunjukkan wujud penyelewengan dan kebocoran subsidi. Mereka seakan-akan tidak serik kerana tiada tindakan undang-undang dilaksanakan hanya disenaraihitamkan oleh LKIM sekiranya nelayan tersebut disyaki terlibat.
Sehubungan itu, diharapkan pihak berkuasa seperti LKIM dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) lebih proaktif dalam memantau aktiviti nelayan yang diberi subsidi diesel. Jangan "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga"dimana disebabkan perbuatan segelintir nelayan, Kerajaan akan menghadkan pemberian subsidi diesel kepada nelayan. Renung-renungkanlah.


No comments: