Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja di sektor awam dan swasta dengan tema “Pekerja Inovatif, Negara Kompetatif”. Secara umumnya, kita menyambut cuti Hari Pekerja setiap tahun, pelbagai amanat dan ucapan yang diberikan oleh pemimpin tertinggi daripada peringkat institusi sehinggalah ke peringkat nasional dimana intipatinya adalah untuk memotivasikan manusia yang bernama pekerja.Namun begitu adakah Hari Pekerja digunakan sepenuhnya oleh kita untuk menilai sejauhmana sumbangan dan prestasi kita pada organisasi atau sekadar bercuti rehat dan meluangkan masa untuk bersama keluarga? Sekiranya persepsi ini yang berlegar di pemikiran pekerja Malaysia, maka impian Kerajaan untuk melihat kejayaan Misi Nasional akan gagal kerana untuk menggapainya setiap pekerja perlu bekerja keras, memperkayakan diri dengan sikap berminda kelas pertama serta berazam menjadi pekerja berinovatif dan kreatif. Apabila pakej yang lengkap ini dapat dipenuhi segala usaha Kerajaan untuk membangun serta memajukan negara ini mampu dicapai.
Menjadi lumrah setiap kali menjelangnya sambutan Hari Pekerja, pelbagai isu- isu berkaitan golongan ini akan disuarakan bertujuan menarik perhatian terutamanya daripada pihak majikan atau kerajaan. CUEPACS dengan enam tuntutannya dan MTUC pula dengan tuntutanya untuk melaksanakan gaji minimum RM900.00. Semua tuntutan ini perlu dikaji dan diperhalusi oleh Kerajaan supaya pelaksanaanya mengikut kemampuan Kerajaan dan tidak membebankan negara. Sehubungan itu, langkah Kerajaan untuk mengkaji tuntutan CUEPACS dan MTUC menggambarkan keprihatinan Kerajaan bagi memenuhi tuntutan pekerja Malaysia. Sudah tentu, penjawat awam tidak sabar menunggu pengumuman daripada YAB Perdana Menteri mengenai keputusan enam tuntutan CUEPACS pada 10 Mei ini. Pada Tulip jika sebahagian tuntutan dipenuhi sudah memadai. Jangan sampai asyik dengan tuntutan sehinggakan produktiviti kerja masih ditakuk lama. Tulip merasakan adalah lebih baik jika sambutan Hari Pekerja ditukar persepsinya supaya mampu menjadi batu loncatan ke arah melahirkan tenaga kerja yang bertaraf antarabangsa, tidak hanya memikirkan apakah bentuk tuntutan kepada kerajaan yang seterusnya.
Sehubungan itu, marilah kita menyahut seruan Kerajaan supaya semua pekerja di negara ini memberi komitmen yang tinggi ke arah merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Dalam era pekerjaan yang semakin mencabar sememangnya pekerja harus berkemahiran, berinovasi, berintegriti dan kreatif. Sementalahan, kita akan terus berjaya sekiranya terus berusaha dengan penuh iltizam untuk membangunkan negara kea rah menjadikan Malaysia yang makmur, progresif dan berdaya saing. Sekadar bertanya dan renungan, sebagai pekerja adakah kita sudah melengkapkan diri untuk berada ke arah itu?
No comments:
Post a Comment