Wednesday, April 23, 2008

Bila Babi Menjadi Isu

Nampaknya, belum reda isu pemberian bekalan air bersih dan isu levi oleh Kerajaan Negeri Selangor, timbul pula isu projek mega ternakan babi yang menelan belanja RM 100 juta. Dengarnya, Menteri Besar Selangor bersetuju dengan cadangan projek mega tersebut. Itulah hadiah dan pembaharuan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat kepada para penyokongnya. Lupakah mereka dengan virus JE dan virus nipah yang pernah menggemparkan negara sehingga banyak wang digunakan untuk memulihkan keadaan. Ini semua angkara ternakan babi sehinggakan industri pelancongan terjejas ketika itu. Bayangkan sebuah negara Islam memiliki ladang ternakan babi bersaiz mega. Tulip merasakan tidak wajar projek itu diteruskan kerana ia perlu mengambil kira sensitiviti agama dan sebagai sebuah Kerajaan yang ditadbir oleh orang Islam dan penduduknya majoritinya orang Islam, Kerajaan Negeri Selangor mesti mengharamkan projek tersebut untuk kebaikan semua.

Seingat Tulip, sebelum pilihan raya lepas dilihat Pakatan Rakyat ketika itu beria-ia membantah cadangan mendirikan ladang ternakan babi yang baru. Masa berkempen mereka dengan lantang menghentam dan menuduh BN menyokong projek ternakan babi yang baru dicadangkan itu. Tetapi setelah berjaya memerintah Kerajaan Negeri Selangor lain pula jadinya. Ia menjadi agenda kehadapan kerajaan baru untuk meluluskan projek mega ladang babi. Wahai Pakatan Rakyat, mana janji-janji manismu? Semasa menjadi pembangkang mereka membantah, tetapi semasa memerintah mereka menyokong pula.

Ini adalah kenyataan yang harus diterima oleh penyokong Pakatan Rakyat. Pada hemat Tulip, apa kata projek yang memakan belanja beratus juta ringgit ini ditukar kepada projek menternak haiwan peliharaan yang lebih baik seperti lembu, kerbau, kambing, ayam, itik dan ikan. Jadi, Tulip percaya ternakan haiwan pilihan lain akan lebih menguntungkan rakyat, negara dan kurang pencemaran alam sekitar. Malahan, lebihan daripada ternakan tersebut boleh diproses dan dieksport. Kita perlu mengambil contoh negara Singapura, yang majoriti penduduknya berbangsa Cina, mereka memilih mengimport daging babi untuk kegunaan mereka. Ia sudah tentu mengambil banyak pertimbangan, antaranya sudah pasti soal ancaman kepada alam sekitar.

Justeru itu, nasihat Tulip kepada penyokong Pakatan Rakyat supaya meneruskan usaha mereka untuk membantah kerajaan yang anda semua pilih sama seperti anda semua membantah kerajaan BN dahulu daripada terus menjadikan projek mega ternakan babi ini menjadi kenyataan.


1 comment:

Letting the time pass me by said...

tengok dulula apa nak jadi...

Kekadang orang nie tak peka, asalkan projek tu tak buat kat tempat diorang, lantak pi la....

Siapa yang pernah duduk dikawasan yang ade ternak babi tahula macamana ke-semerbak-an bau kandang lembu kaki pendek nie...