Monday, February 23, 2009

Malaysia Masih Perlukan ISA

DARI kiri Faiz, Ismail dan Zabidi membicarakan mengenai ISA pada Majlis Bicara Tokoh di Kuantan, semalam


KUANTAN: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikekalkan kerana ia bukan hukuman tidak berperikemanusiaan seperti digembar-gemburkan pelbagai pihak, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Katanya, akta itu juga bukan menahan individu tertentu berlandaskan fahaman politik, sebaliknya lebih kepada pendekatan melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam. Beliau berkata, ISA masih diperlukan dan kekal relevan biarpun kewujudan asalnya mengekang ancaman komunis kerana negara masih terdedah ancaman lain mengikut perkembangan semasa.



"Desakan sesetengah pihak untuk memansuhkan ISA dianggap tindakan undur ke belakang kerana akta ini berjaya mengekang pelbagai ancaman terhadap negara. "Biarpun ancaman komunis sudah berakhir, kita masih memerlukan ISA bagi menangani ancaman keselamatan kumpulan pengganas atau militan, pelampau agama atau yang boleh menggugat ketenteraman awam sehingga menjejaskan ekonomi. "Banyak negara yang mempunyai undang-undang pencegahan seumpama ISA, malah memperkukuhkan undang-undang sedia ada bagi menangani ancaman negara," katanya pada Majlis Bicara Tokoh bertajuk 'Adakah ISA Satu Bentuk Penganiayaan?', anjuran Pertubuhan Penggerak Generasi Muda Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri, di sini, kelmarin.


Ismail turut menjadi seorang daripada tiga panel membicarakan isu ISA. Dua lagi panel jemputan ialah bekas tahanan ISA, Zabidi Mohamed yang juga bekas penasihat Undang-undang Al-Arqam dan bekas bendahari kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) Faiz Abu Bakar Bafana. Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Sementara itu, Zabidi yang juga bekas Majistret dan peguam bagi kumpulan militan Al-Maunah berkongsi pengalamannya ketika ditahan di Kem Kamunting, Taiping, Perak selama dua tahun bermula 1994.


"Tindakan saya dan ahli Al-Arqam menyalurkan maklumat negara kepada negara lain merosakkan imej negara dan membahayakan rakyat," katanya. Beliau berkata, ISA sememangnya penting untuk menghentikan ketegangan kaum dan ancaman lain.

Sumber: Utusan Malaysia

**********************************************

Tulip Desa

Tulip berpandangan semua rakyat marhaen mempunyai pandangan masing-masing terhadap ISA. Pada hemat Tulip, ISA masih relevan untuk dilaksanakan di Malaysia kerana telah terbukti dapat menangani isu militan, pelampau agama dan anasir luar sejak merdeka sama ada secara sedar atau tidak. ISA merupakan undang-undang pencegahan yang digunakan bagi mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awan dan keamanan yang dahulunya digunakan untuk mengekang pengganas komunis.Justeru itu, Tulip merasakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau undang-undang pencegahan wajar dimantapkan lagi demi keselamatan dan kedaulatan tanah air tercinta.



No comments: