Thursday, July 31, 2008

Boleh Sertai Politik Tapi Masih Tertakluk AUKU

Oleh Haniza Hassan

JOHOR BAHRU 29 Julai - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia 21 tahun ke atas boleh menjadi ahli mana-mana parti politik, namun penglibatan mereka masih tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, semua rakyat yang berusia 21 tahun ke atas bebas untuk menjadi ahli dalam mana-mana parti politik."Mereka bebas menjadi ahli mana-mana parti politik, tetapi penglibatan mereka masih tertakluk kepada AUKU 1971.

"Adalah menjadi masalah sekiranya mereka (penuntut) ini menubuhkan cawangan atau bahagian parti berkenaan (di kampus) serta menjawat jawatan dalam parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan ke-47, di sini malam tadi.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pindaan AUKU yang memberi lebih kebebasan kepada penuntut dan kuasa autonomi kepada universiti selepas dibentang di Dewan Rakyat minggu lalu.

Seksyen 15 AUKU melarang pelajar menyertai persatuan, pertubuhan dan sebagainya kecuali diperuntukkan dalam Perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor universiti terbabit.
Selepas pindaan diluluskan, kesalahan di bawah akta itu bukan lagi perbuatan jenayah, malah penuntut juga diberi kelonggaran menganjurkan debat melibatkan pihak luar universiti.
Ka Siong berkata, sekiranya golongan ini dikongkong, mereka tetap akan memberontak dan memilih keputusan yang dibuat sebelum ini.Jelasnya, sekatan yang dimaksudkan di dalam pindaan itu bukan tertakluk kepada keanggotaan menjadi ahli sesebuah parti.

Mengulas penglibatan seorang guru yang ditahan ketika menyertai pertandingan ratu cantik 'mak nyah' di sebuah resort terkenal di pantai peranginan Tok Bali, Bachok, Kelantan pada 25 Julai lalu, Ka Siong berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap guru itu sekiranya dia dibuktikan bersalah menyertai kegiatan tersebut."Ia jelas melanggar etika kerja dan merupakan satu kegiatan yang tidak sihat," katanya.
Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya berkata, para pengetua memainkan peranan penting dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah.Menurutnya, jika pengetua gagal memainkan peranan sebagai pemimpin dan pengurus yang baik, maka sudah pasti segala yang dirancang akan menemui kegagalan."Pengetua selaku teras kepimpinan di sekolah hendaklah berupaya menggerakkan warga sekolah menjana segala sumber dengan baik daripada segi kewangan atau tenaga manusia yang ada bagi mencapai kecemerlangan," katanya
Sumber: Utusan Malaysia, 30 Julai 2008
-----------------------------------------------------------------------------------------
Tulip
Pindaan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka lembaran baru Kerajaan dalam mengamalkan dasar keterbukaan. Pembaharuan positif ini akan mewujudkan suasana demokrasi kepada para mahasiswa dalam menerima maklumat mengenai sesuatu isu. Tidak hanya menerima maklumat dan pandangan daripada sebelah pihak sahaja.
Rasanya para mahasiswa menerima berita ini dengan hati terbuka. Walaubagaimanapun, kebebasan yang diberi jangan disalahgunakan. Mahasiswa perlu menggunakan peluang yang ada dengan penuh profesional dan bijaksana. Dibimbangi, terlalu sibuk berpolitik sehingga ketinggalan pelajaran dan akhirnya kandas. Justeru itu, pandai-pandailah mengimbangi, diantara pelajaran dan berpolitik. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

No comments: