Tuesday, July 29, 2008

Singapura Tuntut Perairan Wilayah, EEZ Sekitar Pulau Batu Puteh

SINGAPURA 22 Julai – Singapura akan menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Putih, yang pada Mei lalu diputuskan diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan satu pertikaian hak milik dengan Malaysia. Menteri kanan republik itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah salah satu pihak yang menandatangani konvensyen berkenaan.
Penyelarasan perairan wilayah Singapura dan EEZ akan diumumkan apabila tiba masanya, kata Balaji ketika menjawab soalan di Parlimen semalam. Transkrip soalan dan jawapan itu dikeluarkan kepada media oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura. Balaji berkata, jika had perairan wilayah atau EEZ bertindih dengan tuntutan negara-negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara-negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.

ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Putih dan Malaysia bagi Batuan Tengah, manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana terumbu itu terletak. Malaysia telah menegaskan bahawa ia akan terus mencari bukti mengenai kes Batu Putih dengan pandangan untuk mendapatkan satu semakan penghakiman ICJ terhadap keputusan yang menyerahkan batuan itu kepada Singapura.

Merujuk kepada isu ini, Balaji berkata, di bawah statut ICJ, sesebuah pihak boleh memohon untuk satu kajian penghakiman ICJ jika “ia berdasarkan penemuan sesetengah fakta seperti ini menjadi satu faktor muktamad, yang pada hakikatnya semasa penghakiman diberikan tidak diketahui oleh Mahkamah itu dan juga kepada pihak yang menuntut semakan, sentiasa menyediakan bahawa kejahilan seperti itu bukan disebabkan kecuaian.”

Balaji berkata, dengan penyelesaian pertikaian itu melalui penghakiman pihak ketiga, kedua-dua negara telah menunjukkan hormat mereka terhadap undang-undang antarabangsa dan komitmen untuk menyelesaikan pertikaian itu dalam cara aman. Kes itu memberikan contoh mengenai penggunaan mekanisme penyelesaian pertikaian pihak ketiga dan boleh menjadi satu contoh untuk menyelesaikan pertikaian dua hala lain, tambah beliau.
– Bernama
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulip
Singapura seharusnya menerima dan menghormati keputusan ICJ. Dilihat tuntutan baru Singapura akan mengeruhkan kembali hubungan antara Singapura dan Malaysia. Jangan cuba mencabar kedaulatan Malaysia. Kesabaran ada batasnya.

No comments: