Monday, August 11, 2008

Saudara Baru: Forum Sia-Sia

KUALA TERENGGANU 10 Ogos - Golongan saudara baru menganggap tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum Memeluk Islam sebagai cubaan menghalang syiar Islam di negara ini.
Bagaimanapun, langkah itu sia-sia kerana mereka yang memeluk Islam melakukannya secara sukarela dan bukannya melalui paksaan.Mereka berpendapat, cubaan untuk menghalang syiar Islam tidak akan berjaya kerana daripada pengalaman mereka sendiri, keindahan ajaran Islam itu merupakan daya tarikan utama yang menyebabkan seseorang itu memeluk Islam.
Malah, kecintaan dan keyakinan terhadap Islam menyebabkan tiga saudara baru; Mohd. Fitri Abdullah, Husaini Abdullah dan Ann Wan Seng berusaha mendalami ajaran tersebut sehingga kini bergelar pendakwah di Perkim. Mohd. Fitri Abdullah berkata, beliau lega apabila forum itu ditamatkan lebih awal kerana ia jelas merupakan cubaan Majlis Peguam untuk menghalang orang ramai memeluk Islam.

Beliau berkata demikian dalam forum Perbandingan Agama di sini malam tadi sempena perasmian Kelab Perkim Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Prof. Emeritius Datuk Dr. Aripin Suhaimi. Bagi Husaini Abdullah yang telah 10 tahun memeluk Islam, ketaatan keluarga angkatnya terhadap ajaran agama itu membuka hatinya untuk memeluk Islam sedangkan sebelum itu beliau berazam untuk mengkristiankan mereka.

Ahli Majlis Perkim Kebangsaan, Ann Wan Seng pula berkata, salah faham tentang Islam ialah agama itu sering dikaitkan dengan orang Melayu.Beliau yang telah 12 tahun memeluk Islam menjelaskan, salah faham itu perlu diperbetulkan supaya kaum lain tidak beranggapan agama itu hanya untuk kelompok tertentu.
Sumber : Utusan Malaysia, 10 Ogos 2008
*********************************************************************************
Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam Negara yang diadakan secara terbuka telah menimbulkan kekecohan. Majlis Peguam Negara dilihat tidak menghormati keputusan yang diambil oleh semua kaum, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Amalan terbuka yang sering diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri nampaknya disalahgunakan oleh Majlis Peguam Negara sehingga berani mempersoalkan agama Islam. Jika ia tidak ditangani segera, dikhuatiri akan mengancam keselamatan dan kestabilan politik negara. Justeru itu, Tulip setuju dengan cadangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan Kerajaan(NGO) untuk menguatkuasakan Akta Hasutan dan ISA.
Tulip merasakan inilah masa yang sesuai untuk Kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan ISA kerana sikap berlembut dan toleransi yang diambil kerajaan dalam isu sensitif keagamaan dan perkauman boleh membahayakan perpaduan kaum di negara ini. Peringatan untuk Majlis Peguam Negara, jangan cuba bermain api dengan memainkan sentimen Orang Melayu dan Agama Islam. Kehadiran 1000 orang Islam yang menentang pelaksanaan forum tersebut membuktikan umat Islam tidak akan berdiam diri apabila agama Islam diperkotak-katikkan. Ini menjadi pengajaran kepada pihak lain yang mempunyai niat untuk mempertikaikan tentang agama Islam dan keistimewaan Orang Melayu.

No comments: