TINDAKAN Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia `main-main dan tidak serius’ dalam menjalankan tugas, mengundang padah apabila beliau digantung dua hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat, berkuat kuasa serta-merta. Insiden berlaku ketika sesi soal jawab antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat, semalam.
Kejadian bermula apabila perkataan ‘buta’ yang digunakan Mohamed Nazri, disalah tafsir Karpal yang kononnya menghina dan mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya. Nazri ketika itu menjawab tuduhan Wee yang mengatakan tindakan kerajaan menanggung kos penganjuran makan malam Majlis Peguam, April lalu sebagai berunsur rasuah dan mahukan pujian rakyat.
“Itu bukan rasuah, Yang Berhormat (YB), tetapi lebih untuk menjaga hubungan baik antara kerajaan dan Majlis Peguam yang sebelum ini diketahui tidak begitu baik...mengapa pula ia dituduh rasuah...adakah YB ‘buta’ (sengaja buat tidak tahu),” kata Nazri. Karpal yang `tersentap’ tiba-tiba mencelah dan mengatakan perkataan dituturkan Nazri itu satu penghinaan dan mempersendakan golongan OKU sepertinya. Pertikaman lidah itu memaksa Pandikar Amin campur tangan dan menasihatkan semua Ahli Parlimen mematuhi peraturan dewan dan menjaga kelakuan berikutan tindakan beberapa Ahli Parlimen kebelakangan ini sering menggunakan perkataan atau gelaran tidak baik walaupun beberapa kali teguran dibuat.
“Tindakan YB Wangsa Maju menggunakan perkataan rasuah itu juga sangkaan jahat, tetapi sudah seperti jadi budaya kebelakangan ini, Ahli Parlimen panggil nama, gelaran...maka itu sama-sama ikut peraturan mesyuarat, jangan bangkitkan peraturan mesyuarat hanya jika ia menyebelahi pihak sendiri saja,” katanya. Karpal sebaliknya tetap berkeras dan mahukan Nazri menarik balik perkataan buta yang digunakan menteri berkenaan.
“Tuan Speaker, bukankah gelaran buta itu dibuat oleh seorang menteri ‘kurang ajar’. Saya sebagai wakil OKU dalam dewan ini mahu menteri kurang ajar itu tarik balik perkataan itu,” katanya. Suasana bertambah tegang apabila Karpal mencabar kredibiliti Pandikar Amin dan menuduh beliau tidak serius dan hanya main-main ketika menjalankan tugasnya. Pandikar Amin yang berang kerana dituduh sedemikian menggunakan kuasanya sebagai Speaker mengikut Peraturan 44 (3) dan mengantung kehadiran Karpal selama dua hari kerana mencabarnya serta menggunakan perkataan kesat terhadap Nazri.
Sumber: Harian Metro
***************************
Tulip Desa
Gara-gara terlanjur kata, MP Bukit Gelugor Karpal Singh digantung dua hari daripada menghadiri Sidang Dewan Parlimen. Yang DiPertua mengeluarkan arahan serta merta ekoran daripada dakwaan MP Bukit Gelugor terhadapnya sebagai 'main-main dan tidak serius' dalam menjalankan tugas.
Bagi Tulip, jangan persoalkan tindakan yang diambil oleh Yang DiPertua kerana sudah terbukti MP-MP pembangkang khususnya Bukit Gelugor seringkali menimbulkan suasana tidak tenang dan kecoh di dalam dewan. Acapkali Yang Di
Pertua menasihati dan mengingatkan Peraturan Majlis Mesyuarat, tetapi bagai masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Wajarlah MP Bukit Gelugor dikenakan tindakan di bawah Peraturan Mesyuarat Perkara44 supaya beliau mengambil iktibar daripada insiden tersebut dan berfikir dahulu sebelum memberi sebarang komen, kerana terlajak kata akan memakan diri.
1 comment:
Salam,
kadang-kandang semasa bermain membawa padah... pepatah yang sesuai kat YB ahli Parlimen Bukit Gelugor
Post a Comment