Tuesday, October 14, 2008

UMNO TERAS BARISAN NASIONAL

Cadangan yang disuarakan oleh Gerakan agar 13 parti komponen Barisan Nasional digabungkan menjadi satu parti pelbagai kaum memanggil saya untuk mengutarakan beberapa pandangan peribadi saya terhadap perkara tersebut. Saya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan merasakan ia sebagai satu tamparan hebat kepada UMNO yang dilihat tidak lagi relevan dalam konteks politik tanah air sekarang. Menjadikan Barisan Nasional sebagai satu parti pelbagai kaum ibarat membubarkan UMNO yang selama ini menjadi tunjang kepada kekuatan Kerajaan memerintah. Adakah tsunami politik yang melanda 8 Mac 2008 lalu dijadikan penyebab untuk Barisan Nasional merombak semua parti komponen supaya menjadi satu parti tunggal sebagai jalan penyelesaian atau sebagai satu mekanisme untuk membaikpulih Barisan Nasional? Dalam sejarah politik negara, memang ada pasang surutnya terhadap sokongan Barisan Nasional. Ini tidak bermakna, Barisan Nasional perlu mengubah struktur kerana ia ada kaitan dengan perkembangan dan kestabilan ekonomi dan politik.

Berdasarkan prestasi Pilihan Raya Umum Ke-12, walaupun jumlah kerusi yang dimenangi Umno kurang 79 kerusi, angka tersebut masih lagi besar berbanding parti komponen Barisan Nasional lain dan ia tidak banyak bezanya dengan pencapaian keseluruhan Pakatan Rakyat iaitu 82 kerusi. Kejayaan Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO dalam membangunkan negara dan rakyat dijadikan contoh dan ikutan oleh Pakatan Rakyat dalam memerintah lima negeri di bawah payungnya. Walaupun Pakatan Rakyat sering melaungkan kepada rakyat bahawa mereka adalah satu parti pelbagai kaum, tetapi hakikatnya mereka memperjuangkan ideologi yang berbeza.

Bagi saya Barisan Nasional adalah satu pakatan yang berkesan kerana dapat membangunkan sosioekonomi rakyat. Kerjasama parti-parti komponen barisan Nasional adalah yang terbaik dalam membangunkan negara dan rakyat khususnya kepentingan semua kaum. Perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Barisan Nasional sejak merdeka lagi merupakan strategi Kerajaan untuk membangunkan negara dan rakyat berbilang kaum.

Sehubungan itu, cadangan Gerakan untuk menjadikan Barisan Nasional sebagai satu parti pelbagai kaum tidak praktikal kerana selama 51 tahun memerintah, Barisan Nasional telah berjaya melaksanakan dasar-dasarnya sehinggakan jurang polarisasi kaum telah berjaya dirapatkan oleh Kerajaan Barisan Nasional melalui dasar pragmatik yang dilaksanakan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berjaya membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Dasar Pembangunan Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Pertanian Negara, Dasar Pelaburan Negara berjaya memantapkan kedudukan ekonomi semua kaum, malah stratafikasi sosial tidak berdasarkan kepada kaum.


Melalui pembacaan saya di media arus perdana, saya mendapati parti Gerakan mahu menuju ke arah sebuah parti yang benar-benar mewakili pelbagai kaum. Walaupun selama ini, keahlian parti Gerakan terbuka kepada semua kaum tetapi saya mendapati, parti Gerakan masih tidak dapat lari daripada menjurus kepada sebuah parti yang berasaskan satu kaum iaitu kaum Cina. Ini berdasarkan majoriti keahliannya terdiri daripada kaum Cina dan kebanyakkan jawatan dalam parti itu turut dimanopoli oleh kaum Cina. Ini menggambarkan satu parti pelbagai kaum yang cuba diamalkan oleh parti Gerakan tidak berjaya. Sehubungan itu, saya merasakan UMNO masih lagi relevan dan dominan kepada Barisan Nasional. Kesepakatan komponen dalam Barisan Nasional dalam memperjuangkan semua kaum telah terbukti selama 51 tahun memerintah dan tidak perlu disangkal lagi.

1 comment:

T.O.S said...

salam...

aku rasa dalam perkara ini kita perlu lihat semula fungsi sebuah parti ditubuhkan.memang benar umno memperjuangkan melayu islam.tapi harus diingat bahawa perjuangan umno tidak perlu hanya untuk orang melayu sahaja.

yang penting ialah pemilikan kuasa jika BN dijadikan satu parti sahaja..adakah orang melayu akan terus menerajuinya?atau mungkinkah cina akan mendominasi BN yang baru kerana melayu sudah berpecah kepada PAS dan PKR?