KUALA LUMPUR 19 Okt. - Semua pihak diminta akur dengan keputusan kerajaan untuk tidak mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana keperluannya masih ada dan ia boleh dipakai pada waktu sekarang.
Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam menjelaskan, keputusan kerajaan itu sangat tepat meskipun ada pihak yang mahu mengganggu keamanan negara dengan mempertikaikan ISA.
Beliau berkata, penggunaan ISA akan sentiasa relevan terhadap pergerakan mana-mana individu atau kumpulan yang boleh membawa kemudaratan kepada negara.
''Ia penting dan perlu digunakan pada saat akhir apabila kerajaan merasakan ada pihak yang boleh mencetuskan huru-hara kepada negara.''Ini perkara yang tidak perlu dipertikaikan. Sekian lama negara menggunakan ISA dan tiada sebarang masalah yang timbul tetapi mengapa kali ini ada pihak yang mahu kerajaan memansuhkannya?'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang tidak bercadang mengkaji semula ISA tetapi akan menumpukan pembaharuan untuk mewujudkan tiga suruhanjaya membabitkan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas.
Mengulas isu yang sama, Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Rahman Dahlan berkata, pertikaian mengenai ISA seharusnya tidak timbul dan kekacauan mengenai isu itu hanya dibuat oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.''Rakyat sudah lama menerima keputusan itu. Hanya segelintir pihak yang tidak pernah menghargai demokrasi negara yang sengaja mahu menjadikan negara huru-hara.
''Apa masalahnya dengan mengekalkan ISA? Kerajaan juga tidak perlu berkompromi walau dengan apa dasar sekali pun dengan pihak yang cuba mengganggu keamanan negara,'' ujarnya.
Kata Rahman lagi, semua pihak perlu tahu batasan demokrasi dan tidak mempermainkan undang-undang negara dengan niat mahu menjadi tumpuan rakyat.
*********************************************
Tulip Desa
Sudah terbukti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dapat menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam serta masih relevan hingga sekarang. Walaupun ada beberapa pihak yang sering mempertikaikan tentang pengujudan ISA yang dikatakan menyekat kebebasan rakyat tetapi bagi Tulip ia adalah asas kepada pembinaan negara serta penting dalam memastikan keamanan negara memandangkan negara kita berbilang kaum.
No comments:
Post a Comment