Tuesday, November 11, 2008

Roti canai, teh tarik turun 10 sen

KUALA LUMPUR: Dua persatuan pengusaha restoran yang mempunyai 4,500 ahli di seluruh negara bersetuju menurunkan harga roti canai dan teh tarik sebanyak 10 sen, manakala set hidangan nasi kandar dikurangkan 20 sen. Setakat ini, 200 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di Lembah Klang sudah menurunkan harga makanan dan minuman itu mulai semalam. Serentak itu, persatuan berkenaan melancarkan kempen menggalakkan ahlinya di seluruh negara menurunkan harga barangan makanan dan minuman itu.
Kempen itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad di Restoran Syed Bistro, Bangsar di sini, semalam. Presiden Presma, Jamarulkhan Kadir, berkata penurunan harga tiga menu itu dibuat bagi menyahut seruan kerajaan. “Ini tidak ada kaitan dengan penurunan harga minyak, sebaliknya lebih bersifat keprihatinan pengusaha,” katanya.

Timbalan Presiden Primas, T Muthusamy, pula berkata penurunan harga itu diharap dapat membantu mengurangkan beban orang ramai berikutan keadaan ekonomi tidak menentu.
Sumber: Utusan Malaysia
***********************
Tulip Desa
Nampaknya, pengusaha-pengusaha restoren telah menyahut seruan Kerajaan untuk menurunkan harga makanan dan minuman. Ini satu petanda baik yang menggambarkan keperihatinan dan tanggungjawab sosial pengusaha restoran dan peniaga. Ini merupakan berita gembira bagi rakyat marhaen yang mengharapkan pengusaha dan peniaga lain turut mengikut jejak langkah Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di Lembah Klang yang telah menurunkan harga minuman dan makanan bermula semalam.

No comments: