ABDUL AZIZ menunjukkan peta DUN Penanti kepada Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu, Roslan Yahaya selepas sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, semalam.
SPR larang dirikan pondok panas, 15,384 pemilih layak undi
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei dan mengundi 31 Mei ini jika ada pertandingan. Pada masa sama, SPR tidak lagi membenarkan parti politik mendirikan pondok panas bagi merayu undi saat akhir hari pengundian. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima pemakluman rasmi Speaker DUN Pulau Pinang mengenai kekosongan kerusi berkenaan pada 17 April lalu yang menyertakan surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Mohammad Fairus Khairuddin, bertarikh 19 Mac.
"Selepas meneliti pemakluman serta salinan surat peletakan jawatan berkenaan, SPR bersetuju kerusi DUN N12 Penanti disahkan kosong berkuat kuasa pada 17 April lalu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam. Beliau berkata SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang dikemaskini sehingga 16 April lalu mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pengundi pos. Katanya, pusat penamaan calon dan penjumlahan undi ialah di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, manakala pengundian, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah.
Katanya, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan memantau pemasangan bahan dan kegiatan kempen sepanjang tempoh berkempen dari 23 Mei sehingga selesai hari mengundi jam 5 petang 31 Mei. Abdul Aziz berkata, PP-KPR akan diketuai seorang pegawai penguat kuasa SPR dan dianggotai masing-masing seorang pegawai polis, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon. Pengundi boleh membuat semakan melalui laman web SPR www.spr.gov.my atau melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK nombor kad pengenalan dan dihantar ke 15888 mulai 8 Mei ini.
***********************
Pilihan Raya Kecil DUN Penanti merupakan PRK yang Ke-6 diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa 23 Mei adalah hari penamaan calon bagi DUN Penanti dan 31 Mei pula hari mengundi. Pada PRK DUN Penanti, SPR tidak membenarkan mana-mana parti mendirikan pondok panas bagi tujuan meraih undi di saat-saat akhir hari pengundian. Kewujudan pondok-pondok panas ini dilihat mengundang situasi ketegangan dan tidak tenteram kepada para pengundi. Hari berkempen yang diberikan oleh SPR, wajar digunakan secara optimum oleh parti yang bertanding. Pengundi akan membuang undi dengan suasana tenang tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.
Barisan Nasional masih belum membuat keputusan samada mahu meletakkan calon untuk PRK Penanti. UMNO akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik UMNO berkenaan hal berikut. Kita sama-sama tunggu apa keputusannya.
No comments:
Post a Comment