Friday, April 24, 2009

Perjumpaan Blogger Dengan YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim


Antara kawan-kawan blogger yang hadir.


YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia telah menganjurkan satu Majlis Ramah Mesra bersama para blogger Malaysia bertempat di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 April 2009. Tulip merupakan salah seorang jemputan dalam majlis tersebut. Majlis itu dihadiri oleh ramai rakan blogger yang terkenal seperti Dato Kadir Jasin, Dato Ruhanie Ahmad, Dato Ibrahim Yahya, Dr. Novandri, Rocky Bru, Nuraina Samad, Nobisha, A Voice, Syed Akbar Ali, Parpukari, Kepal Nasi Kepal Beras dan lain-lain lagi.
Pada majlis yang santai itu, YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa generasi muda kini lebih menggemari dan meminati kepada genre Internet, apabila banyak blog dan facebook yang wujud umpama 'cendawan tumbuh, selepas hujan'. Ini merupakan satu platform baru bagi anak muda melahirkan pandangan kritis mereka.
Dato' Rais juga mengingatkan para blogger mematuhi etika ketika menulis dan sentiasa menulis berdasarkan fakta yang sahih dan jangan dijadikan alam maya sebagai tempat menabur fitnah. Penulisan berdasarkan fakta yang tidak betul akan melunturkan reputasi dan kredebiliti seseorang blogger. Blogger perlu memperbanyakkan penulisan yang menjelaskan program dan dasar Kerajaan sebagai satu bonus positif terhadap apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan.
Beliau juga meminta agensi di bawah kementeriannya supaya sensitif apa yang berlaku di alam maya ini dan bersedia memberikan hujah dan penerangan dengan keintelektualan agar segala permasalah dan kebuntuan dapat dirungkai. Jika dibiarkan, agensi ini menjadi ketinggalan zaman dan minda rakyat akan terus rosak disogok dengan cerita-cerita fitnah dan palsu.
Di akhir pertemuannya, beliau berharap kawan-kawan bloggers akan terus mengamalkan, menyemai dan menjayakan konsep 'Satu Malaysia' dalam setiap penghasilan nukilannya.

No comments: