Wednesday, April 22, 2009

'Satu Malaysia'

Perasaan tidak puas hati pembangkang terhadap isu-isu yang disepakati bersama menyebabkan wujudnya masalah polarisasi dan perkauman. Isu-isu ini memerlukan kita melihat semula semua tindakan bagi mencari jalan penyelesaianya. Gagasan ‘Satu Malaysia’ yang di bawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat dapat merapatkan kembali jurang perpaduan yang dilihat semakin renggang sekarang. Menyatu padukan rakyat, pengagihan secara adil, nikmat pembangunan yang dilaksanakan secara kesaksamaan bukan kesamarataan dan semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan boleh menikmati kemajuan dalam konteks yang saksama dan paling adil adalah teras utama dalam konsep tersebut.

Konsep ‘Satu Malaysia’ wajar diterima oleh semua rakyat Malaysia sebagai satu hasrat dan cita-cita Perdana Menteri sepanjang pemerintahan beliau. Konsep ini tidak boleh disalahertikan, kerana ia jauh berbeza dengan Malaysian Malaysia yang di bawa oleh parti DAP. Konsep ‘Satu Malaysia’ memberi penekanan bahawa rakyat perlu berperasaan Malaysia dan ada rasa tanggungjawab yang sama memajukan negara dan mempunyai cita-cita, wawasan dan visi yang sama untuk menjadi Malaysia sebuah negara yang maju dengan jalinan kerjasama dan perpaduan.

Untuk menjayakan konsep ‘Satu Malaysia’, barisan kabinet perlulah kabinet yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat dan dapat memenuhi harapan dan hasrat rakyat sejajar dengan konsep ‘Satu Malaysia’, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Empat ciri utama yang perlu ada pada setiap pemimpin Barisan Nasional iaitu integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan adalah asas untuk memantapkan pentadbiran Kerajaan dan menjadi penentu samada pemerintahan sekarang dapat dikekalkan atau sebaliknya.

Pemimpin politik dan Kerajaan perlu melaksanakan semua dasar dan janjinya kepada rakyat agar ia tidak terus menjadi isu dan retorik politik. Rakyat tidak mahu lagi mendengar janji dan pengumuman. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat mungkin. KPI yang diamalkan dalam kabinet Datuk Seri Najib dilihat dapat meningkatkan prestasi dan pencapaian Kerajaan. Sehubungan itu, penjawat awam dan swasta wajib menyokong gagasan Perdana Menteri tanpa berbelah bagi agar hasrat itu dapat dijayakan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Penjawat awam harus mengutamakan budaya kerja yang cemerlang, berfikiran inovatif dan sistematik bagi menghasilkan mutu kerja dan perkhidmatan yang optimis sekaligus dapat mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.

Melihat dari sudut ‘Satu Malaysia’ sebagai satu konsep pentadbiran, usaha –usaha ini sebenarnya telah lama dirintis oleh mantan Perdana Menteri kita terdahulu. Umpamanya, pada zaman Tun Razak gah dengan pembangunan Feldanya. Zaman Tun Mahathir, beliau memperkenalkan beberapa dasar seperti Kepimpinan Melalui Teladan, Dasar Pandang Ke Timur dan sistem punch card. Di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan konsep ‘Islam Hadhari’ iaitu ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’. Dilihat daripada aspek kenegaraan dan patritiotisme, konsep ini jelas menyatakan bahawa kita mempunyai satu negara, satu perlembagaan, satu raja dan satu bahasa yang perlu kita pertahankan.

Justeru itu, konsep ‘Satu Malaysia’ adalah satu gagasan yang harus terus diamalkan kerana ia bertepatan dengan situasi negara kita sekarang. Semangat patritiotisma dan jati diri perlu dimantapkan dalam diri rakyat Malaysia agar jurang perpaduan dapat dikembalikan.


No comments: