Sumber: Berita Harian, 16 April 2009.
SHAH ALAM: Elizabeth Wong bersetuju menerima tawaran Kerajaan Selangor untuk terus kekal memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan. Wong, dalam kenyataan media dua halaman petang semalam, berkata keputusan itu adalah paling sukar pernah dibuat sepanjang hidupnya. Katanya, harapannya sekarang ialah berkhidmat kepada penduduk di kawasannya dengan sebaiknya.
"Sepanjang dua bulan ini adalah sangat mencabar, pengalaman yang saya harap tidak dialami sesiapa pun. Saya ‘ditelanjangi’ di khalayak ramai dengan kekerasan dan tanpa kerelaan saya. "Kehidupan peribadi saya diceroboh. Sehingga petang ini (semalam) saya masih menerima ugutan daripada pihak yang tidak diketahui," katanya. Wong turut berterima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Selangor, kakitangannya, Adun Selangor, ahli politik dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akar umbi serta peguamnya terhadap sokongan mereka selama ini.
Katanya, beliau juga berterima kasih atas nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sementara itu, Abdul Khalid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, berkata kerajaan negeri memutuskan menawarkan Wong kembali meneruskan tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, berkuat kuasa serta-merta. Katanya, keputusan itu dicapai selepas mengambil pandangan semua pihak dan siasatan polis berhubung kes pengedaran gambar separuh bogel Wong yang sehingga kini gagal membuat keputusan muktamad. "Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah diberi taklimat mengenai keputusan ini pagi ini (semalam). Bagi pihak kerajaan negeri serta rakyat, saya menjunjung kasih atas pendirian Tuanku untuk tidak mencampuri urusan politik serta memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan negeri bagi membuat keputusan yang adil dan terbaik," katanya.
Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri memandang serius isu moral dan akan sentiasa memastikan kepemimpinan negeri menjunjung prinsip ini tetapi kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya jika ada bukti kukuh. Ditanya sama ada keputusan itu bermakna kerajaan negeri tidak menganggap kes itu sebagai satu isu moral, Abdul Khalid berkata: "Ya, isu moral, tetapi tidak ada kenyataan yang paling sahih. Seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan". Ditanya mengapa keputusan itu berbeza dengan kes di Pulau Pinang membabitkan Adun PKR Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan walaupun masih dalam siasatan, Abdul Khalid berkata, perkara itu berbeza kerana Mohammad Fairus meletakkan jawatan secara sukarela. Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Adun dan Exco pada 17 Februari lalu.
******************************
Hairan bin Ajaib dengan Pakatan Campuran. Seingat Tulip semasa skandal video lucah Datuk Chua Soi Lek terbongkar, pembangkang dengan lantang mendesak agar Datuk Chua melepaskan jawatannya. Bekas Menteri Kesihatan itu akur kerana tidak mahu kehadirannya dalam Barisan Nasional menjadi liabiliti dan memberi kesan kepada Pilihan Raya Ke-12. Jelas menggambarkan UMNO akan menyingkirkan ahli-ahlinya yang terlibat dengan salah laku moral.
Tetapi, berlainan dengan kes Elizabeth Wong, Adun Bukit Lanjan.Pakatan Campuran sanggup mempertahankan orang yang tidak bermoral kerana takut hilang kuasa dan pengaruh. Inilah yang terjadi sekiranya ketua pemimpin sendiri pun tidak mempunyai moral yang tinggi. Bak kata papatah "bapa borek, anak rintik".
Tulip rasa malu dengan tindakan Nik Aziz yang merayu agar Elizabeth Wong tidak meletakkan jawatannya. Baginya Elizabeth Wong tidak bersalah, dia teraniaya, yang salah " orang yang mengambil gambarnya". Mana pendirian PAS, yang menyatakan "pemimpin yang rendah moral tidak layak menjadi wakil rakyat dan pemimpin". Terbukti, PAS terdesak sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapat sokongan rakannya dalam Pakatan Campuran walaupun terpaksa mengorbankan kesucian agama Islam. Sungguh memalukan.
No comments:
Post a Comment