SUMBER: BERITA HARIAN, 3 JUN 2009 (SURAT PEMBACA)
KISAH kekejaman pengganas komunis dan perjuangan kerajaan yang memerintah menghapuskan aktiviti pengganas sejak zaman darurat (1948-1960) hingga ke tahun 1980-an masih mampu diingati oleh generasi era itu dengan terperinci dan masih sesegar darah pejuang yang disembelih hidup-hidup oleh pengganas yang buta hati. Bagi kami generasi yang lahir pada era 1970-an, kisah keganasan komunis di Sungai Siput, Perak yang membunuh pengurus ladang berbangsa Inggeris yang membawa kepada perisytiharan darurat selalu diceritakan oleh ibu yang tinggal di Estet Peng Soon, Sungai Siput ketika zaman sebelum merdeka. Kisah keganasan komunis ini bukanlah perkara dongeng. Mereka tidak boleh diizin menjejakkan kaki walaupun seinci pun di bumi Malaysia dan diharamkan nama mereka disebut langsung.
Walaupun ada ahli Parti Komunis Malaya (PKM) mendabik dada mengatakan mereka adalah pejuang kemerdekaan, tidak perlu kita bertegang leher atau bertekak mengatakan sebaliknya. Sejarah membuktikan siapa pejuang siapa petualang. Jangan ingat generasi baru buta sejarah, komunis dan keganasan pejuang buku kecil berwarna merah ini akan diingati selagi kita hidup.
Rakyat yang cintakan agama dan negara mesti menghalang sebarang usaha membawa pulang bekas pemimpin PKM kembali ke bumi yang pernah disimbah dengan darah anak watan. Di blog ideologi sesat yang dipelopori Karl Marx ini dikhabarkan wujud dengan perjuangan mengjustifikasikan gerakan komunis sebagai sebahagian perjuangan kemerdekaan. Kalau benar mengapa majoriti rakyat tidak senada dengan perjuangan sejak zaman Jepun di Malaya lagi.
Lebih menakutkan ada bekas anggota PKM ini mengatakan walaupun mereka adalah anggota komunis, mereka tetap kekal beragama Islam dan dibuktikan dengan pembinaan surau di kawasan penempatan semula mereka di sempadan Malaysia-Thailand. Kita sebagai rakyat yang cintakan keamanan tidak pernah menidakkan ideologi yang menjurus kepada kebaikan tetapi jika agama dan ideologi dicampuradukkan, adakah ia perjuangan yang sebenar-benar perjuangan.
Justeru, langkah mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin perlu difikirkan semula. Sesungguhnya komunis bukan saja mengancam nyawa kita, malah ia mengancam umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia. Bagi kami generasi muda, jasa pejuang yang terkorban di dalam peristiwa Bukit Kepong dan pengorbanan askar Melayu melawan komunis menjadi tonik perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara berdaulat pada masa depan. Pejuang yang menghapuskan komunis tidak memerlukan sangat gelaran Datuk, pingat atau wang ringgit untuk jasa mereka dibalas.
ABDUL RAZAK IDRIS,Banting, Selangor.
No comments:
Post a Comment