Monday, June 8, 2009

'Terima 1Malaysia Secara Terbuka'

MUHYIDDIN mencuba masakan tradisional sambil diperhatikan Ahmadshah (dua dari kanan), Dayang Masuyah (kanan) serta Rais (tiga dari kanan) pada majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan peringkat kebangsaan di Padang Merdeka Kota Kinabalu, semalam.

Sumber: Berita Harian, 8 Jun 2009.

Muhyiddin mahu rakyat jadikan perpaduan kaum misi jangka panjang

KOTA KINABALU: Konsep 1Malaysia perlu dilihat sebagai perjalanan berterusan yang perlu ditempuhi bersama setiap rakyat negara ini dengan hati terbuka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 1Malaysia bukan sesuatu yang tegar, sebaliknya boleh dilentur untuk menyerap kepelbagaian dan keunikan budaya rakyatnya.

"Sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan adalah persinggahan awal kita sebelum meneruskan perjalanan panjang hingga tiba ke perhentian terakhir, iaitu 1Malaysia.

"Kita perlu bersatu dalam kepelbagaian dan marilah kita berdoa supaya perjalanan ini tiba ke destinasinya tanpa halangan," katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan peringkat kebangsaan di Padang Merdeka di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Walaupun kepemimpinan kerajaan sudah berubah, Muhyiddin berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum yang menjadi tradisi perlu diteruskan walaupun dilaksanakan secara sederhana dan lebih berhemah ekoran kegawatan ekonomi semasa yang melanda dunia.

"Kemeriahannya tetap dirasakan dan tidak menghalang rakyat meraikannya dengan penuh semangat kekeluargaan serta bersatu padu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan mengisytihar enam perayaan utama di negara ini, termasuk Tadau Kaamatan sebagai sambutan kebangsaan membuka ruang luas untuk rakyat Malaysia mengenali dengan lebih dekat budaya antara kaum.

Katanya, aspek kelangsungan menerusi sikap saling menghormati dan memahami itu adalah jaminan terhadap pengukuhan integrasi kaum, selaras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Di sinilah letaknya cabaran dalam usaha mengeratkan prinsip utama yang mendasari konsep 1Malaysia iaitu mewujudkan perasaan kebersamaan dan kekitaan.

"Saya yakin sambutan seperti Tadau Kaamatan dapat menjadi pemangkin bagi menyemai rasa itu di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya," katanya.

Pada majlis itu, beliau mengesyorkan diwujud perkampungan budaya untuk memaparkan keunikan setiap etnik di Sabah, sejajar matlamat mengetengahkan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia secara lebih meluas.

No comments: