"Oleh itu saya minta tolonglah jaga rakyat yang setia kepada kita ini. Mereka ini tidak meminta banyak. Mereka hanya minta perhatian anda, masa dan budi bahasa. Itu sahaja yang mereka minta."Saya percaya sebagai balasan mereka akan terus setia bersama kita," katanya ketika berucap pada majlis moreh sempena lawatan sehari ke Sabah, di sini hari ini.
Monday, September 14, 2009
Datuk Najib diserbu oleh penduduk Sabah
Monday, September 7, 2009
NIZAR PENGKHIANAT! BACALAH PESANAN DR RIDHUAN TEE!
KOLUMNIS laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.
Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.
Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis. Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.
Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan. Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.
Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari. Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.
Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia. Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra. Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?
Ternyata dalam banyak perkara yang diulas, beliau tidak dapat memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah pembentukan Malaysia. Lebih malang lagi beliau tidak dapat memahami roh bagaimana Perlembagaan Persekutuan digubal hasil persetujuan semua kaum, melalui pakatan murni atau lebih dikenali dengan kontrak sosial. Begitu juga Perlembagaan setiap negeri, ada sejarahnya tersendiri. Saya harap kejahilan ini tidak berlaku kepada orang lain agar tidak buta sejarah.
Helen Ang juga perlu mengkaji 7 wasiat Raja-raja Melayu seperti yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang telah membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Helen Ang perlu memahami makna yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Jangan asyik mempertahankan dan membaca akhbar-akhbar Cina.
Kenapa beliau mempertikaikan kedudukan Menteri Besar Perak yang tidak dilantik dari kalangan DAP? Cuba Helen Ang bandingkan, kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang mesti diserahkan kepada Cina? Tidakkah kerusi UMNO lebih banyak daripada kerusi parti-parti politik lain dalam pilihan raya 2004 dan sebelum itu? Kenapa kita tidak menghargai tolak ansur dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh orang Melayu? Sesuatu yang menguntungkan disenyapkan, yang tidak menguntungkan digembar-gemburkan untuk menagih simpati.
Helen Ang juga mempertikaikan fakta yang saya tulis akan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, tokong Cina dan gereja Kristian melebihi bilangan surau dan masjid. Di sini saya pamerkan statistik tersebut untuk pengetahuan beliau akan nasib Melayu di bumi Melayu.
Contohnya di Selangor mempunyai penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar (bilangan ini belum dicampurkan dengan tokong dan kuil yang tidak berdaftar). Manakala, bilangan gereja Kristian biarlah Helen Ang yang cari untuk menampung jumlah 50,000 penganut Kristian.
Statistik
Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri- negeri lain. Adakah nisbah antara bilangan penduduk dengan bilangan rumah ibadat itu adil? Begitu besar bezanya. Sila rujuk Wikipedia, walaupun ia bukanlah sumber yang outentik dalam akademik. Tetapi saya yakin statistik ini tidak jauh bezanya.
Jangan kita bercakap kosong tanpa melakukan penyelidikan. Helen Ang mungkin terkejut bila saya paparkan statistik seluruh negara. Kenapa dalam sebuah negara majoriti Melayu boleh berlaku demikian? Inilah tolak ansur orang Melayu. Hormatilah tolak ansur ini. Jangan terlalu kiasu.
Pada hemat saya, semua perkara ini berlaku disebabkan oleh kejahilan hidup beragama. Apakah isu sebenarnya timbul apabila kita mahu mempertahankan hubungan yang dilarang oleh semua agama, seperti amalan berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? Beritahu saya ajaran agama mana yang membenarkan hubungan haram ini?
Bayangkan jika yang perempuan yang dizinai adalah ibu, isteri, adik-beradik perempuan kita sehingga melahirkan anak luar nikah. Apakah kita boleh menerima semua ini sebagai isu moral yang boleh dipertahankan? Kena pada orang lain, tak apa. Bila kena pada diri sendiri baru tahu langit ini tinggi atau rendah?
Justeru, saya amat bersimpati dan amat menghormati tindakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan badan disiplin MCA yang telah mengambil tindakan yang tepat untuk menggugurkan timbalannya disebabkan salah laku moralnya.
Saya amat yakin keputusan yang diambil, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk beliau melakukan tindakan sedemikian. Keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan maruah parti biarpun beliau akan menjadi tidak popular.
Tindakan MCA itu dikira tepat jika ditinjau dari segi undang-undang moral dan ajaran agama. Saya selaku orang Cina menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Inilah nilai-nilai moral yang perlu ada pada setiap pemimpin dan juga rakyat yang dipimpin. Jika pemimpin tidak menunjukkan teladan, siapa lagi? Adakah kita mahu menunggu rakyat menunjukkan teladan? Tidakkah kepimpinan itu melalui teladan?
Seperti yang selalu saya sebut, tidak ada satupun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar nikah. Apatah lagi sehingga mengandungkan anak luar nikah. Semua perbuatan terkutuk adalah berdosa besar.
Masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agamanya, perlu dididik dengan nilai moral tinggi. Agama hendaklah dijadikan panduan hidup. Baru dunia akan aman. Kerana semua agama menyerukan kepada kebaikan. Yang baik tetap baik, yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menghalalkan yang haram untuk mencapai matlamat.
Buddha begitu keras sekali mengharamkan zina seperti yang tersebut dalam lima larangannya iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan minum arak. Sila rujuk Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10, Sutta Nipata 123.
Begitu juga larangan dalam agama Kristian, Hindu dan Sikh. Apa tujuan nasihat agama ini? Semuanya mahu memastikan kita menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya. Jika Helen Ang beragama Kristian, sila buka Bible, 1 Corinthians 6:18-20 & 1 Corinthians 7:1-2. Adakah Kristian menghalalkan zina? Sudah tentu tidak.
Kalau Helen Ang melihat adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.
Begitu juga saya ingin menyarankan Helen Ang supaya meluangkan masa meneliti ajaran agama lain seperti agama Hindu dan Sikh mengenai penzinaan. Baca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Untuk keterangan lanjut baca New World Encyclopedia. Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina. Sila baca Adi Granth, Dhanasari. Justeru, atas landasan apa kita mahu menghalalkan zina?
Lihat juga pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html. Larangan berzina amat keras sekali.
Sebenarnya isu-isu moral ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh semua agama, apatah lagi agama Islam. Saya tidak perlu sebutkan pandangan agama Islam, sebab sudah terang lagi bersuluh kemuliaan Islam dalam menjaga umatnya. Justeru, jika berlaku juga kepada umat Islam, itu salah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan agama Islam yang suci murni.
Justeru, dalam menilai antara yang benar dan yang batil, agama perlu dijadikan panduan dan sejarah sebagai pedoman. Percubaan untuk memadamkan fakta agama dan sejarah hanya akan mengundang kerosakan di muka bumi. Saya yakin fakta yang saya kemukakan sengaja diselewengkan disebabkan oleh sikap kiasu.
Salam hormat saya.
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Friday, September 4, 2009
Tahniah Tan Sri Musa Hassan: Khidmatmu Diperlukan
Walau bagaimanapun, terima kasih kepada DYMM Tuanku Mizan kerana memperkenankan pelantikan Musa Hassan. Begitu juga YAB Perdana Menteri, Dato' Najib kerana menyempurnakan penyambungan kontrak tersebut. Musa Hassan banyak berjasa kepada negara. Walaupun dilemparkan pelbagai fitnah , beliau begitu kuat dan tabah menghadapinya. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t. Segala kebenaran, pasti terserlah jua akhirnya.
Scorpene mantapkan pertahanan
PELABUHAN KLANG 3 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menegaskan aset terbaru pertahanan negara iaitu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan kedaulatan negara terus selamat dan terjamin.
Titah baginda, perolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu turut memberikan manfaat dalam mewujudkan satu angkatan tentera negara yang lebih berwibawa dan disegani terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
‘‘Projek perolehan kapal selam TLDM ini adalah satu pelaburan dan komitmen terbesar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan tentera Malaysia dalam menentukan kedaulatan negara terjamin dan selamat daripada sebarang ancaman.
‘‘Selain itu, perolehan aset ketenteraan ini juga membolehkan TLDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi satu angkatan yang lebih berwibawa di rantau ini,” titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah demikian ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapalnya kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.
Turut hadir Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
KD Tunku Abdul Rahman diserahkan secara rasmi kepada kerajaan oleh syarikat kontraktornya, Armaris pada 25 Januari lalu dan pentauliahan kapal berkuasa diesel-elektrik itu ke dalam perkhidmatan TLDM disempurnakan pada 27 Januari oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
KD Tunku Abdul Rahman memulakan pelayaran pulang ke negara ini dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu selepas selesai pembinaannya serta menjalani latihan selama empat bulan meliputi kemahiran serta penyenggaraan.
Dalam tempoh pelayaran yang meliputi jarak sejauh 6,000 batu nautika, KD Tunku Abdul Rahman telah singgah di beberapa pelabuhan utama dunia meliputi Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa kagum terhadap anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengharungi latihan selama empat tahun bagi memahirkan diri dalam pengendalian serta taktik peperangan kapal selam.
‘‘Beta sedar kapal selam memerlukan warga kerja yang memiliki kecenderungan dan kemahiran yang tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya.
‘‘Maka kejayaan ini juga hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen yang cemerlang semua warga KD Tunku Abdul Rahman selaras dengan cogan kata TLDM iaitu Sedia Berkorban,” jelas baginda.
Tuanku Mizan turut mengingatkan TLDM supaya menjaga dan menggunakan sepenuhnya aset penting dan berteknologi tinggi seperti KD Tunku Abdul Rahman bagi memastikan kredibiliti angkatan laut itu sebagai pasukan yang menjaga perairan negara terus terpelihara.
Tuesday, September 1, 2009
Kepala Lembu: Bantahan Orang Melayu Terhadap Pembinaan Kuil Di Selangor
Walau apa pun, bantahan tersebut menggambarkan Orang Melayu di Selangor mahu menyampaikan luahan perasaan bahawa sesuatu pembinaan rumah ibadat wajar mendapat persetujuan daripada masyarakat setempat bukannya melalui persetujuan orang yang berkepentingan sahaja. Rasanya Orang Melayu Selangor tidak marah dengan pembinaan kuil tersebut bersandarkan perpaduan dan muafakatan. Sebagai masyarakat majmuk, rakyat tahu bahawa setiap kaum bebas mengamalkan agama dan melaksanakan adat resam masing-masing.
Justeru itu, Menteri Besar Selangor harus sensitif dengan masalah yang berkisar dengan agama dan sensetiviti kaum. Jangan menafikan suara Orang Melayu berkaitan isu tersebut. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor wajar mengkaji semula kawasan pembinaan kuil di tempat yang sesuai agar tidak lagi membangkitkan kemarahan Orang Melayu.
Monday, August 24, 2009
Pakatan Rakyat Menggunakan Taktik Kotor Untuk Menang Permatang Pasir
Hari pengundian akan berlangsung dalam suasana ramadhan. Tulip melihat tiada isu nasional yang diketengahkan melainkan isu-isu peribadi yang dimanipulasikan oleh pembangkang untuk mempengaruhi pengundi. Calon BN, Rohaizat Othman telah dilemparkan pelbagai fitnah oleh pembangkang sebagai usaha untuk mencemarkan imej dan kredebilitinya sebagai calon. Walaubagaimanapun, beliau tidak luntur semangat dan tetap meneruskan kempennya dari rumah ke rumah untuk meraih undi.
PAS dilihat begitu ghairah menyerang peribadi calon BN, apabila meminta rakan kongsi Rohaizat menggunakan pentas PAS untuk berceramah. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, ternyata permainan politik PAS terbongkar. Rakan kongsi Rohaizat, akhirnya mengaku beliau digunakan oleh PAS untuk memburuk-burukkan Rohaizat. Sudah terbukti, pembangkang menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan undi. Tulip berpandangan isu ini sengaja dibangkitkan untuk menutup kelemahan jentera pembangkang di P.Pasir.
Pembangkang kekeringan idea dan tidak yakin akan menang. Hanya Salleh Man dan Mahfuz Omar sahaja ke hulu kehilir berkempen. Mana pemimpin tertinggi PAS yang lain. Mungkinkah mereka memboikot PRK P.Pasir?Kerana berpendapat jika PAS menang, tiada apa yang mereka dapat melainkan akan menguatkan lagi kedudukan politik Anwar. Sokongan rakyat terhadap pembangkang juga dilihat mula pudar ekoran daripada tindakan ADUN Lunas dan pemangku Ketua Bahagian PKR Padang Serai yang keluar parti beserta dengan 200 penyokongnya. Beliau menyifatkan PKR sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya.
Pembangkang semakin tidak keruan apabila sokongan pengundi muda dan wanita telah beralih kepada BN. Pengundi sudah muak menjadi mangsa politik pembangkang dan menganggap mengundi PAS, seolah-olah mereka mengundi DAP. Diharapkan pengundi sedar tipu daya pembangkang yang menjurus kepada memperjuangkan kepentingan diri daripada rakyat.
Pada hemat Tulip pembangkang akan terus menggunakan pelbagai strategi untuk menyerang BN dengan isu peribadi dan konflik dalaman Umno dalam masa terdekat menjelang hari pengundian. Diharapkan jentera BN tidak panik menghadapi serangan itu dan teruskan berkempen untuk memenangi hati rakyat. Bagi pengundi, inilah medan untuk membuktikan rakyat menolak Pakatan Rakyat. Undi anda akan menentukan nasib generasi akan datang. renung-renungkanlah.
Thursday, August 20, 2009
Nik Aziz Seleweng
Majlis Fatwa putuskan kenyataan MB Kelantan salah
NILAI: Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa ahli atau penyokong parti itu ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata isu berkenaan sebenarnya sudah dibincangkan sejak 2000 lagi dan jawatankuasa itu memutuskan bahawa ketentuan sama ada seseorang Islam masuk syurga atau neraka hak mutlak Allah SWT.
Beliau berkata, keputusan muzakarah itu sudah diperkenankan Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya ke-188 pada 21 hingga 23 Mac 2001.
"Oleh itu, dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk ke syurga atau neraka salah mengikut ajaran Islam.
"Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya di Universiti Sains Islam Malay-sia (Usim) dekat sini, semalam.
Pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu, Nik Abdul Aziz mendakwa ajaran Islam yang dibawa Umno sudah tentu tidak boleh membawa seorang Muslim ke syurga.
Kelmarin, ramai tokoh agama dan ahli akademik menyifatkan kenyataan Nik Abdul Aziz itu sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai ulama.
Malah, ada yang berpendapat Mursyidul Am Pas itu sudah berada pada tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij yang menganggap mereka saja betul, manakala orang lain salah dan kafir.
Abdul Shukor yang juga Naib Canselor Usim, menasihatkan umat Islam, terutama yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam, berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara tidak betul atau bida'ah hingga boleh memecahkan ummah.
"Kepada orang ramai, saya ingin nyatakan dalam ajaran Islam sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka, kecuali Allah SWT yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.
"Janganlah kita mudah terpengaruh dengan pandangan yang aneh, jauh dari kebenaran dan boleh menyesatkan kita," katanya sinis.
Abdul Shukor juga berharap Nik Abdul Aziz membetulkan semula pandangannya bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
"Saya mengharapkan politik itu tidak mengatasi agama. Saya harapkan juga supaya kita sama-sama tidak menggunakan Islam atau pandangan tertentu demi kepentingan politik, malah saya harapkan kita bersatu dan melupakan isu politik demi agama kerana isu agama lebih tinggi," katanya.
Sumber: Berita Harian