Friday, April 11, 2008

Mahathir Mudah Lupa

Mahathir Mudah Lupa

Pendirian YAB Perdana Menteri dalam menjawab segala spekulasi yang dibangkitkan mengenai pengundurannya dilihat sebagai tindakan yang bijak dan dapat memecahkan kebuntuan dan kekeliruan rakyat terhadap persoalan tersebut. Pendirian ini sekaligus dapat meredakan kritikan-kritikan panas yang dilemparkan oleh Tun Mahathir kepada YAB Perdana Menteri yang mendorong kepada terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Pak Lah.

Spekulasi ini timbul setelah ada desakan daripada beberapa pemimpin termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir yang menyalahkan Pak Lah di atas kekalahan teruk lima parti teras seperti UMNO, MCA,MIC, Gerakan dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 lepas dengan desakan agar beliau meletakkan jawatan. BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen serta gagal mengekalkan Kerajaan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain tidak dapat merampas kembali Kelantan daripada PAS. Dengan sikap Pak Lah yang berdiam diri dan jarang menghadiri majlis rasmi kebelakangan ini dilihat menyemarakkan lagi spekulasi tersebut.

Bagaimanapun saya bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang percaya kritikan yang dilemparkan oleh Tun Mahathir datang daripada luahan hatinya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana beliau tahu apa yang diperkatakan. Pada pandangan Tun Mahathir apa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri ke lima itu lebih banyak jelik berbanding elok. Kritikan-kritikan Tun Mahathir adalah berasaskan dendam kesumatnya disebabkan penolakan Pak Lah untuk tidak meneruskan projek-projeknya seperti projek Jambatan Bengkok, penjualan pasir kepada Singapura, perjanjian bekalan air Singapura-Malaysia, Proton, MV Agusta. Kelihatan beliau tidak berpuashati dengan pembatalan beberapa projek mega yang mempunyai kepentingan ke atas dirinya. Kemarahan dan dendam ini diluahkan melalui kritikanya yang menggambarkan kegagalan Pak Lah dalam mentadbir negara dan sekaligus mempertikaikan kredebiliti Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Namun yang menjadi persoalannya, apakah kewajaran beliau untuk terus membangkitkan atau mempersoalkan kepimpinan Pak Lah sewaktu negara sedang menerima dan cuba menyesuaikan keputusan pilihan raya yang lalu. Kalau benar beliau sayangkan UMNO dan mahukan parti Orang Melayu terus kekal sebagai pemerintah, mana mungkin beliau sanggup mengeluarkan isu-isu berkaitan kerana secara tidak langsung mampu menyusutkan sokongan terhadap UMNO dan sekaligus membuka ruang kepada pembangkang khususnya KeAdilan, PAS dan DAP memperkuatkan lagi gabungan parti pembangkang melalui Pakatan Rakyat.

Saya berpendapat, seharusnya Tun Mahathir perlu memberi peluang kepada Pak Lah dan Majlis Tertinggi UMNO (MT) meneruskan usaha memulihkan parti dan memperkukuhkan kembali UMNO. Sewaktu Tun Mahathir memimpin parti dan negara antara 1990 sehingga 1999, BN kalah di Kelantan dan Terengganu tetapi tiada desakan supaya beliau meletakkan jawatan sebaliknya semua pihak tetap bersama beliau dan sanggup bersama untuk memikul tanggungjawab. Pada Pilihanraya 1999 Tun Mahathir kehilangan sokongan pengundi Melayu ekoran daripada isu penyingkiran DSAI dan beliau bergantung sepenuhnya dengan undi serta sokongan daripada pengundi Cina. Tidak hairanlah, Tun Mahathir sanggup memburuk-burukkan masyarakat Melayu dalam majlis MCA dengan menuduh pelajar Melayu lemah, malas dan gemar berpolitik. Ditambah lagi dengan tanggapan Tun Mahathir bahawa professor Melayu di universiti mendapat kedudukan bukan kerana merit tetapi kerana mereka bumiputera.

Penghinaan ini memburukkan kedudukannya di kaca mata orang Melayu khususnya Melayu, pelajar, belia dan cendikiawan Melayu. Tun Mahathir sering melaungkan ungkapan bahawa ‘Melayu Mudah Lupa’ tetapi beliau sendiri lupa bahawa gejala rasuah, kronisme dan kepincangan sistem perundangan Malaysia (Kes video tape VK Lingam) pada pemerintahan Pak Lah adalah peninggalan dan diwarisi semasa era pemerintahan Tun Mahathir. Tuduhan beliau terhadap Khairy Jamaludin sebagai diktator juga tidak ubah seperti menceritakan perihal dirinya sendiri. Kalau tidak masakan di era pemerintahannya beliau digelar sebagai diktator, mahazalim dan mahafiraun oleh beberapa laman web dan blog. Memperlihatkan apa yang berlaku, boleh dikatakan bahawa segala kritikan Tun Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah bukanlah secara jujur kepada perjuangan untuk kepentingan UMNO tetapi lebih kepada agenda yang tersirat yang hanya beliau sendiri yang tahu.

No comments: