Thursday, July 31, 2008

Minyak Subsidi Nelayan 'Bocor'

Oleh Shariza Abdullah

ALOR STAR 30 Julai - Dianggarkan antara tiga hingga lima peratus daripada kira- kira lima juta liter diesel dan petrol yang diperuntukkan kepada nelayan di negeri ini dalam tempoh sebulan 'bocor' akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir penerimanya.Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohd. Noor Had berkata, bahan bakar itu 'bocor' sama ada ia diseludup atau dijual kepada pihak lain oleh para nelayan yang memiliki kad e-diesel dan e-petrol bagi mencari keuntungan dengan jalan mudah.

"Bagaimanapun jumlah yang bocor itu masih kecil. Sistem pengisytiharan jumlah penangkapan ikan yang diperkenalkan telah banyak membantu kita mengesan kes-kes seumpama ini," katanya di sini semalam.Semalam, akibat kekurangan bekalan diesel subsidi menyebabkan nelayan-nelayan terkandas di jeti LKIM Kuala Perlis.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan menambah kuota diesel atau melaksanakan sistem pengagihan lebih baik. Mohd. Noor berkata, para nelayan seharusnya bersyukur kerana menikmati subsidi minyak dan perlu menggunakan sebaik-baiknya untuk turun ke laut."Kita memberi insentif untuk meringankan beban mereka, tetapi telah disalah guna hingga tindakan terpaksa diambil," katanya.

Beliau memberitahu, terdapat sejumlah 1,096 pemilik kad e-diesel di negeri ini manakala pemegang e-petrol pula sebanyak 1,128 orang. Bagaimanapun kata beliau, seramai 62 orang daripada jumlah pemilik kad e-diesel itu disenaraikan hitamkan kerana didapati menyeleweng kemudahan yang diberikan."Seramai 33 pemilik kad e-petrol pula disenarai hitamkan kerana menyeleweng yang mana kebanyakan mereka lazimnya dikesan mengambil minyak tetapi tidak konsisten turun ke laut," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 31 Julai 2008
----------------------------------------------------------------------------
Tulip
Kesal dengan sikap segelintir nelayan yang menyalahgunakan subsidi yang diberikan oleh Kerajaan sebagai jalan mudah untuk mengaut keuntungan. Tulip mencadangkan agar Kerajaan menarik balik kad e-diesel dan e-petrol serta menyenarai hitamkan nelayan tersebut daripada menerima sebarang subsidi daripada Kerajaan. Walaupun dasar baru pengeluaran lesen nelayan ini dapat mengurangkan ketirisan diesel yang membabitkan 500 juta setahun tetapi perlu ada kajian semula dan penambahbaikan agar kita dapat mencapai tahap ketirisan sifar.

No comments: