Wednesday, November 26, 2008

Yoga Haram Bagi Umat Islam

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan keputusan fatwa mengharamkan senaman yoga dan meminta agar umat Islam berhenti daripada mengamalkannya kerana bertentangan dengan hukum syarak. Pengharaman ini dilaksanakan bagi mengelakkan orang Islam tersasar jauh daripada ajaran agama Islam. Senaman Yoga berasal daripada masyarakat Hindu yang menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan.

Sehubungan itu, Tulip merasakan adalah wajar umat Islam di negara ini menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan sebarang persoalan serta dengan hati terbuka. Umat Islam perlu berwaspada terhadap sebarang kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan kerana dikhuatiri akan memesong dan menghakis akidah seseorang. Kepada masyarakat bukan Islam, pengharaman yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bukan bertujuan untuk menghina dan mencerca agama lain tetapi sebagai panduan kepada umat Islam. Masyarakat bukan Islam bebas mengamalkannya tanpa sebarang masalah.

Tulip juga mengharapkan pihak pembangkang tidak mempolemik isu tersebut sebagai menghormati peranan Majlis Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan mengikut lunas yang sah dan diiktiraf oleh undang-undang untuk meningkatkan syiar Islam. Kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Negeri amatlah penting agar keputusan ini dapat diwartakan secepat mungkin. Menteri Penerangan, YB Dato' Ahmad Shabery Cheek turut menyatakan kesediaannya mempelawa pihak JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memperjelaskan isu tersebut kepada rakyat melalui saluran RTM dan Jabatan Penerangan. Menurut beliau, sudah menjadi amalan Kementerian Penerangan menyediakan instrumen dalam memberikan penjelasan kepada rakyat marhaen terhadap dasar atau isu supaya dapat merungkai kekeliruan rakyat.



No comments: