Wednesday, January 21, 2009

SUSUN STRATEGI PIKAT RAKYAT

Najib arah pemimpin BN ubah pendekatan dekati pengundi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya bangkit dan segera menyusun strategi serta melakukan perubahan jika tidak mahu ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap pemimpin BN perlu berusaha memastikan semua program kerajaan dapat memenuhi keperluan rakyat, dapat dilaksanakan sebaiknya supaya parti itu sentiasa dekat di hati.
"Kita tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa, sebaliknya perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat. "Jika gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang, kita akan menerima hukuman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak," katanya berucap merasmikan majlis pelancaran buku Politik Baru karya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah di sini, semalam. Hadir sama Saifuddin; Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Wan Hashim Wan Teh dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron.
Najib berkata, BN tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala jurang keterpisahan wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan. "Rakyat sudah matang menilai pemimpin. Mereka tidak mahu lagi didendangkan lagu sumbang mengenai retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan perubahan berlaku," katanya. Sementara itu, pada sidang media selepas majlis penyerahan dokumen perjanjian bagi penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Sembilan, beliau berkata, pemimpin Umno mesti menampilkan imej baru terutama berkaitan hubungan parti dengan rakyat. "Saya selalu menekankan soal ini dan kita perlu buat pada semua peringkat. Rakyat tengok interaksi dengan pemimpin dan interaksi peringkat akar umbi boleh menentukan hubungan dengan pemimpin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno perlu berusaha mengembalikan faktor `penarik' dalam parti itu bagi memastikan ia mampu terus menarik sokongan rakyat sekali gus menepis pelbagai tanggapan negatif. Sambil menolak kaitan kekalahan BN pada pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu dengan mana-mana individu, Najib berkata, ada beberapa faktor yang patut diambil kira. "Kita mesti insaf keputusan rakyat dan melakukan muhasabah dengan serius. Antaranya ialah perubahan pada budaya dan imej Umno sendiri, nilai dan sikap kepemimpinan Umno yang perlu dipertingkatkan dan menampakkan budaya yang selesa pada rakyat dan boleh memikat hati rakyat," katanya. Ditanya mengenai seorang naib ketua Umno bahagian di Perak antara tiga orang yang akan didakwa di mahkamah esok atas tuduhan rasuah ketika pemilihan Umno, Najib berkata, semua ahli Umno mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh parti dan tidak terbabit dalam politik wang.
*****************************
Tulip Desa
Kemenangan calon PAS, Abdul Wahid Endut dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dengan majoriti undi sebanyak 32,883 berbanding dengan calon Barisan Nasional, Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebanyak 30, 252 sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional. Walaupun perbezaan undi meningkat sehingga 2,631 tetapi undi yang diterima sebanyak 30,252 memberi isyarat bahawa Barisan Nasional masih relevan.
Kekalahan Barisan Nasional ini merupakan hukuman daripada rakyat yang mahukan Barisan Nasional bangkit daripada zon selesa. Barisan Nasional sewajarnya merancang strategi yang dapat mengembalikan faktor penarik bagi mengembalikan sokongan rakyat yang dilihat semakin pudar.
Pemikiran rakyat sekarang bukan ditakuk lama, mereka semakin bijak dan matang dalam menilai pemimpin. BN seharusnya mempertingkatkan strategi untuk mendekati dan mendapat sokongan pengundi terutamanya golongan muda. Golongan muda tidak mudah dipengaruhi dengan soal-soal pembangunan kerana mereka lebih matang, berpendidikan serta terdedah kepada faktor globalisasi.
Sehubungan itu, Tulip menggesa agar kepimpinan tertinggi Barisan Nasional perlu bertindak segera mengubah paradigma supaya program yang dilaksanakan dapat mendapat tempat di hati rakyat. Kegagalan mengubah budaya dan sikap dalam berpolitik serta cara berkempen, dikhuatiri Barisan Nasional tidak menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

No comments: