Tuesday, August 11, 2009

PRK Permatang Pasir Pada 25 Ogos 2009


SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon PRK Permatang Pasir pada 17 Ogos 2009 dan hari pengundian akan berlangsung pada 25 Ogos 2009. Hari pengundian jatuh pada bulan Ramadhan dimana umat Islam sedang menjalani ibadat puasa untuk hari yang keempat.

Menurut SPR seramai 20,290 pengundi yang keluar mengundi terdiri daripada 20,289 pemilih biasa dan satu pengundi pos. Dari segi komposisi kaum melibatkan sebanyak 72.36% pengundi Melayu, 25.85% pengundi Cina, India sebanyak 1.63% dan lain-lain sebanyak 0.16%. DUN Permatang Pasir terletak di dalam Parlimen Permatang Pauh.

SPR telah menetapkan proses penamaan calon dan pusat penjumlahan undi diadakan di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah. Justeru itu, pengundi boleh membuat semakan melalui laman web SPR, khidmat pesanan ringkas (SMS) SPR atau menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau Pulau Pinang.

Diharapkan PRK Permatang Pasir berjalan dengan lancar dan tenang tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Penyokong parti dan pengundi seharusnya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPR supaya insiden-insiden yang berlaku di Manek Urai tidak berulang kembali di Permatang Pasir.



No comments: