Monday, June 22, 2009

'Kerajaan Perpaduan': Nik Aziz Flip-Flop

Hairan, melihat perubahan sikap Mursyidul Am PAS, Nik Aziz. Kebelakangan ini, tindakannya terlalu mengikut perasaan. Sikapnya berubah apabila anak didik kesayangannya Husam Musa kalah merebut jawatan Timbalan Presiden. Kemarahannya terhadap Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS jelas apabila Nasharuddin Mat Isa menyokong idea Haji Hadi berhubung pembentukan 'Kerajaan Perpaduan'.

Pelbagai kecaman yang dilontarkan termasuk meminta Nasharuddin keluar daripadaPAS dan menyertai UMNO dan menggelarkan Nasharuddin sebagai 'boneka UMNO'. Salahkan team ulama ini menyokong 'Kerajaan Perpaduan' yang dilihat dapat menyatupadukan Orang Melayu ? Tidakkah Nik Aziz merasa bangga dan gembira melihat Orang Islam di negara ini kuat dan bersatu-padu. Mengapakah perkara yang baik ini tidak disegerakan pelaksanaannya. Orang Melayu perlu sepakat dan kuat supaya digeruni oleh musuh yang ingin mengancam keselamatan dan kestabilan negara. Orang Melayu ibarat akar yang memegang pokok. Sekiranya akarnya lemah, maka pokok tersebut akan mati. Jika, Orang Melayu lemah dan berpecah-belah, bagaimana hendak melindungi kaum-kaum yang lain. 'Kerajaan Perpaduan' adalah idea yang bernas yang dapat memantapkan Orang Melayu dan juga perpaduan kaum di negara ini.

Tulip juga melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am menjurus kepada kepentingan politik daripada prinsip memperjuangkan agama. Dalam pada itu beliau juga didapati gemar membuat kenyataan yang flip-flop. Adakah segala kenyataan yang dikeluarkan adalah ikhlas daripada hatinya atau dipengaruhi oleh seseorang. Adakah beliau digunakan untuk mencapai hasrat seseorang? Tulip mengharapkan, para pemimpin PAS melihat kembali idea 'Kerajaan Perpaduan'. Jangan ditutup pintu perbincangan. Lihatlah untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Bukan untuk kepentingan politik dan kuasa. Renung-renungkanlah.





Tuesday, June 16, 2009

Brother Anwar Gadai Maruah Agama,Bangsa Dan Negara Untuk Jadi PM

Setelah lama menyepikan diri daripada sebarang kontroversi, Brother Anwar muncul lagi dengan beberapa kenyataan yang mengundang kemarahan rakyat khususnya Orang Melayu. Pandangan beliau yang menyokong Ching Peng kembali ke Malaysia menggambarkan beliau sanggup menjual maruah, agama, bangsa dan negara demi untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Setelah hilang sokongan daripada Orang Melayu, Brother Anwar dilihat semacam hilang arah. Sokongannya terhadap Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), jelas untuk kepentingan politiknya untuk meraih sokongan orang bukan Melayu khususnya kaum Cina.

Alasan Brother Anwar bahawa hubungan di antara Malaysia dan Cina semakin kukuh bukanlah sandaran untuk membenarkan Ching Peng pulang. Brother Anwar ini adalah Orang Melayu yang tidak sedar diri, tidak melihat sejarah di mana keganasan Ching Peng ini telah membunuh beribu-ribu rakyat yang tidak berdosa. Keperitan tempoh darurat selama 12 tahun, yang juga dialami oleh Brother Anwar nampaknya tidak memberi kesan kepada beliau.

Tulip sedih dengan sikap anak Melayu seperti Brother Anwar. Sewajarnya Brother Anwar ini dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana meniupkan api persengketaan yang mengundang suasana huru-hara. Sekiranya kezaliman komunis ini direnung dan dilihat kembali, mungkin tidak mengundang isu perkauman sepertimana yang dipolitikkan oleh pembangkang.

Monday, June 15, 2009

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini

Sumber: Berita Harian, 15 Jun 2009

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, yang mula bersidang hari ini akan bermesyuarat selama 10 hari dan menyaksikan pembentangan 10 rang undang-undang untuk bacaan kali kedua sebelum disusuli mesyuarat Dewan Negara antara 6 Julai hingga 14 Julai.

Pembentangan terbabit termasuk pindaan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan, Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan Rang Undang-Undang Orang-Orang Papa.

Bacaan kali kedua akta baru pula membabitkan Rang Undang-Undang Makanan Haiwan, Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Rang Undang-Undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) (Pengesahan).

Antara lain, perbahasan Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim dan Rang Undang-Undang Identifikasi DNA yang kini dalam peringkat jawatankuasa dijangka rancak ketika dibahaskan.

Mesyuarat kali ini turut menyaksikan kerusi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (BN-Kepala Batas) dipindah ke Blok E. Kerusi yang beliau duduki di Blok A pada sidang Mac lalu diambil alih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menerajui pucuk pimpinan negara mulai 3 April lalu manakala kerusi lama Najib diisi timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Abdullah pula kini duduk bersebelahan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting (BN-Kulai) dan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).


Monday, June 8, 2009

Arif Shah Setia Dengan BN, Tolak Tawaran Pembangkang

Pakatan Pembangkang masih tidak jemu memujuk Datuk Arif Shah Omar Shah, ADUN Seberang Jaya dengan pelbagai tawaran yang menarik supaya beliau keluar daripada BN dan menyertai pembangkang. Yang terbaru, beliau ditawarkan jawatan oleh kerajaan negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Masyarakat Penyanyang.

Beliau yang setia dengan Barisan Nasional, tidak memberikan sebarang jawapan, walaupun sudah beberapa kali menolak tawaran tersebut. Mengapakah pembangkang begitu beria-ria memujuk ADUN Seberang Jaya ini menyertai mereka? Adakah pembangkang khususnya PKR ketandusan calon dan pemimpin yang berwibawa dan berkarisma? Mungkin ADUN ini, mempunyai tarikan tersendiri yang suaranya didengari oleh pengundi Melayu di Pulau Pinang.

Syabas, Datuk Arif Shah yang begitu setia dengan UMNO. Inilah pemimpin yang wajar dicontohi. Pemimpin yang tidak memandang wang ringgit dan kuasa, walaupun peluang di depan mata. Pemimpin berhati rakyat, ikhlas bekerja untuk rakyat demi membantu rakyat supaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

'Terima 1Malaysia Secara Terbuka'

MUHYIDDIN mencuba masakan tradisional sambil diperhatikan Ahmadshah (dua dari kanan), Dayang Masuyah (kanan) serta Rais (tiga dari kanan) pada majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan peringkat kebangsaan di Padang Merdeka Kota Kinabalu, semalam.

Sumber: Berita Harian, 8 Jun 2009.

Muhyiddin mahu rakyat jadikan perpaduan kaum misi jangka panjang

KOTA KINABALU: Konsep 1Malaysia perlu dilihat sebagai perjalanan berterusan yang perlu ditempuhi bersama setiap rakyat negara ini dengan hati terbuka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 1Malaysia bukan sesuatu yang tegar, sebaliknya boleh dilentur untuk menyerap kepelbagaian dan keunikan budaya rakyatnya.

"Sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan adalah persinggahan awal kita sebelum meneruskan perjalanan panjang hingga tiba ke perhentian terakhir, iaitu 1Malaysia.

"Kita perlu bersatu dalam kepelbagaian dan marilah kita berdoa supaya perjalanan ini tiba ke destinasinya tanpa halangan," katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan peringkat kebangsaan di Padang Merdeka di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Walaupun kepemimpinan kerajaan sudah berubah, Muhyiddin berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum yang menjadi tradisi perlu diteruskan walaupun dilaksanakan secara sederhana dan lebih berhemah ekoran kegawatan ekonomi semasa yang melanda dunia.

"Kemeriahannya tetap dirasakan dan tidak menghalang rakyat meraikannya dengan penuh semangat kekeluargaan serta bersatu padu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan mengisytihar enam perayaan utama di negara ini, termasuk Tadau Kaamatan sebagai sambutan kebangsaan membuka ruang luas untuk rakyat Malaysia mengenali dengan lebih dekat budaya antara kaum.

Katanya, aspek kelangsungan menerusi sikap saling menghormati dan memahami itu adalah jaminan terhadap pengukuhan integrasi kaum, selaras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Di sinilah letaknya cabaran dalam usaha mengeratkan prinsip utama yang mendasari konsep 1Malaysia iaitu mewujudkan perasaan kebersamaan dan kekitaan.

"Saya yakin sambutan seperti Tadau Kaamatan dapat menjadi pemangkin bagi menyemai rasa itu di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya," katanya.

Pada majlis itu, beliau mengesyorkan diwujud perkampungan budaya untuk memaparkan keunikan setiap etnik di Sabah, sejajar matlamat mengetengahkan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia secara lebih meluas.

Kumpulan Ulama Kekal Menerajui PAS

Nasharuddin Mat Isa kekal sebagai Timbalan Presiden PAS


Nasharuddin Mat Isa kekal sebagai Timbalan Presiden PAS menewaskan dua calon iaitu Husam Musa dan Mohd Sabu dalam Muktamar PAS Yang Ke-55. Kumpulan ulama terus menerajui kepimpinan tertinggi PAS apabila jawatan presiden dan timbalan presiden kekal dipegang oleh mereka. Apa dah jadi dengan kumpulan Erdogan? Kempunan dan gigit jarilah . Selepas ini Husam Musa tidak memegang sebarang jawatan dalam PAS. Husam Musa, kena buat muka tak malulah, untuk dapatkan jawatan dalam PAS. Nampaknya, niat jahat kumpulan Erdogan untuk menjatuhkan kumpulan ulama tidak berjaya.

Bersyukur kepada Ilahi, kumpulan ulama kekal memimpin PAS yang bersetuju dengan muqabalah. Ini disuarakan dalam muktamar, bahawa pucuk pimpinan parti bertekad untuk mengamalkan konsep keterbukaan Islam terhadap mana-mana pihak dalam menegakkan syiar Islam. Ini merupakan cabaran yang berat bagi Presiden PAS untuk memberi kefahaman dan keyakinan kepada rakyat marhaen khususnya ahli PAS dan komponen Pakatan Campuran bahawa konsep ini membawa keuntungan bersama. Samada konsep baru yang dibawa oleh PAS ini berjaya. Sama-samalah kita saksikan.


Thursday, June 4, 2009

Isu Ching Peng: Hormati Keputusan Kerajaan

Pelbagai pandangan dan pendirian dilontarkan oleh rakyat marhaen mengenai rayuan bekas Ketua Komunis, Ching Peng untuk kembali ke Malaysia. Secara keseluruhannya, rakyat tidak bersetuju petualang negara ini menjejaki kaki walau seinci pun. Kepulangannya akan mengembalikan kenangan pahit yang terpahat di sanubari majoriti rakyat tentang kezaliman komunis. Bekas anggota polis dan mereka yang pernah terlibat dengan kekejaman komunis adalah yang menentang keras rayuan tersebut.

Rasa sedih apabila mendapati cubaan sesetengah pihak yang mendesak Kerajaan agar Ching Peng pulang ke Malaysia. Beberapa laman blog dan facebook diwujudkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba menerapkan ideologi komunisme kepada pelayar blog supaya menyokong hasrat mereka. Mereka berpandangan Ching Peng bukan lagi ancaman terhadap keselamatan negara.

Langkah Kerajaan tidak akan membenarkan bekas ketua komunis itu menetap di negara ini adalah satu keputusan yang harus dihormati oleh semua rakyat tanpa perlu mempertikaikannya. Cukuplah, jangan diungkit-ungkit lagi kisah Ching Peng. Segala perbahasan mengenainya haruslah dihentikan segera. Petualang negara ini tidak boleh diberi muka, begitu juga dengan penyokong-penyokongnya.Segala peluang yang diberikan akan membinasakan bangsa, agama dan negara. Kalau ikutkan hati Tulip yang marah, Ching Peng wajar dihadapkan ke muka pengadilan sebagai penjenayah perang dan dikenakan hukuman gantung. Ching Peng bukanlah wira yang perlu dibela.