Sidang Dewan Rakyat hari Khamis hangat membincangkan soal penggunaan nama Allah oleh agama lain. Semasa Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggulung perbahasan, isu kalimah Allah menyaksikan pertembungan pendapat yang ketara antara dua kumpulan dalam PAS. Gambar-gambar suasana di luar dewan selepas itu.
Kumpulan muda dalam PAS yang dilihat cukup liberal pendiriannya dan kumpulan ulama yang meletakan pensucian agama mengatasi kepentingan kepartian. Ia bermula dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Seri Gading, Datuk Mohamad Haji Aziz meminta penjelasan Zahid pihak manakah yang seharusnya membuat keputusan tentang permohonan agama lain untuk menggunakan nama Allah sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
Keduanya, beliau memberikan ingatan tentang bahaya jika nama Allah boleh digunakan oleh agama lain kerana dikhuatiri generasi muda Islam pada masa akan datang akan berpendapat dan melihat semua agama adalah sama kerana nama Allah digunakan oleh banyak agama. Malah beliau menegaskan sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini, kalimat Allah tidak seharusnya digunakan oleh agama lain dan ia akan menjadi satu perkara yang mencabar Perakra 11 Perlembagaan Persekutuan jika ia mahu terus digunakan. Belum pun sempat Zahid memberikan jawapan, dua Ahli Parlimen iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid Samad (Pas-Shah Alam) bangun memberikan pandangan.
Dr. Dzulkefly dalam hujahnya berkata persoalan mengenai penggunaan perkataan Allah tidak harus timbul kerana berpendapat kalimah Allah turut digunakan oleh bukan Islam. Malah beliau memetik ayat Al-Quran menjelaskan mengenai perkara tersebut dan seterusnya menegaskan, larangan pihak lain untuk menggunakan kalimah Allah seolah-olah mencabar kandungan Al-Quran.
Khalid pula menyokong pandangan Dzulkefly dengan membaca sepotong lagi ayat al-Quran yang menunjukkan orang bukan Islam mengakui bumi ini diciptakan Allah. Beliau juga menyatakan tidak ada salahnya penganut agama lain menggunakan nama Allah dan larangan mengenainya akan memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama tertutup. Setelah itu Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) turut bangun memberikan gambaran bahawa kini seolah-olah semua pihak telah menerima konsep ‘Tuhan Allah”.
Malah katanya, pengalaman beliau melawat kuil dan tokong, penganut agama lain menyebut mereka percaya kepada “Tuhan Allah”. Mendengar pandangan tiga Ahli parlimen Pembangkang, Zahid terus bangun bertanyakan apakah pandangan mereka tersebut merupakan pandangan rasmi parti masing-masing
Lantas Khalid dan Dr Dzulkefly menyatakan ia adalah keputusan yang dibuat oleh Dewan Ulama PAS baru-baru ini. Manakala Johari menegaskan padangannya adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi PKR. Setelah itu Ahmad Maslan (BN-Pontian) bangun dan mencadangkan agar Datuk Taib Azamudden Mat Taib memberikan pandangan untuk memperjelasakan perkara berkenaan. Cadangan itu disambut oleh Halimah Sadique (BN-Tenggara) yang berkata, Taib adalah seorang yang bekas Imam Besar Masjid Negara dan lebih layak memberikan pandangan.
Zahid kemudiannya memohon kebenaran Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kemudiannya membenarkan Taib memberikan pandangan beliau. “Saya ini lebih fokus pada pensucian Islam itu sendiri dari kepartian. Terpulang kepada tafsiran orang nak letak kedudukannya di mana,” Taib memulakan penjelasannya.
Bagi beliau kalimah Allah berasaskan Tauhid ia tidak boleh digunakan oleh agama lain dan berpendapat Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam. “Sebab itu kalau kita nak bahaskan masalah Allah yang disebut dalam Al-Quran, kita kena lihat Asbabbul Nuzul (sebab sesuatu ayat itu diturunkan) dan kalau kita nak buka erti Allah kepada yang lain-lain, Al Quran juga pernah mendedahkan dalam surah At Taubah (sambil beliau membacakan ayat berkenaan)
“Yang bermaksud, orang Yahudi kata Uzzir anak Allah, orang Kristian kata Al Maseh, anak Allah. Daripada penjelasan ringkas ini, kita nampak Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi lain daripada Allah Tauhid kita. “Allah yang dimaksudkan orang-orang Masihi adalah dan orang lain adalah lain daripada Allah yang dimaksudkan oleh Islam. “Sebab ketauhidan makna Al Ahadiyah dan As Samadyiah itu tidak jadi satu tunggak kepercayaan yang lain daripada Islam sebab itu yang didakwa orang agama lain sedangkan bagi kita, kita tahu Allah tidak ada anak, tidak diperanakkan dan tidak beranak,” jelasnya panjang lebar.
Sehubungan itu beliau mahu kerajaan memberikan penegasan mengenai perkara berkenaan agar ia dapat mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini. Beliau turut memberikan memberikan pandangan betapa jika kekeliruan mengenai penggunaan kalimah Allah tidak dijelaskan, dikhuatiri pertembungan yang sengit akan berlaku. “Misal saya katakan, maaf saya pada sahabat-sahabat yang beragama Buddha, Hindu atau agama Kristian.
Andai saya bertanya kepada yang agama Hindu, sahabat hendak pergi mana, mereka kata nak pergi sembah Allah, Tanya pula sahabat dari Batu Pahat (Dr Puad Zarkashi) atau Sri Gading (Mohamad Aziz), sahabat hendak pergi ke mana, mereka juga jawab, saya nak pergi sembah Allah. “Ini Allah yang mana? Sebab itu saya lebih suka dalam isu ini, saya menasihati temrasuk diri saya, kalau masalah menyentuh aqidah dan sentuh agama kita tak payah sibuk-sibuk,” ujar beliau.
Setelah memberikan pandangan yang panjang lebar, Zahid terus bangun dan menegaskan apa yang dinyatakan oleh Taib itu adalah pandangan yang sama dengan pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung soal penggunaan kalimah Allah. “Apa yang dinyatakan oleh Baling, itu adalah sama dengan pendirian Majlis Faktwa Kebangsaan, apa yang ditegaskan oleh Baling itu, samalah dengan pendirian Jabatan Kemajuan Islam, apa yang disebut oleh Baling itu, samalah dengan pendirian kerajaan,” ujar Zahid.
Walaupun Dzulkefly dan Khalid cuba bangun untuk memberikan penjelasanasan mereka lagi, namun tindakan tersebut disampuk dengan teguran beberapa Ahli Parlimen lain. Antaranya kedengaran yang berkata, “cukuplah dengan penjelasan Baling, beliau ahli dalam bidang itu.” "Ini bukan politik tetapi kesucian agama”. – 5/3/2009
*******************************************
Tulip Desa
Penggunaan nama Allah oleh agama lain menjadi isu hangat kebelakangan ini. Pelbagai pandangan yang diutarakan oleh Kerajaan mahu pun pembangkang. Yang pastinya, sesi penerangan harus dilakukan oleh Kerajaan agar segala kekusutan, kekeliruan dan kebimbangan umat Islam dapat dirungkai. Kempen penerangan ini juga perlu disebarkan melalui media massa, elektronik dan media baru (blog) agar rakyat marhaen mengetahui kedudukan sebenar berhubung isu tersebut.
Tulip berpandangan agar Kerajaan mengkaji semula penggunaan nama Allah kepada penganut Kristian demi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku memandangkan reaksi orang Islam yang bimbang generasi muda yang cetek agamanya akan terpengaruh dan terkeliru dengan kalimah tersebut.
4 comments:
Tahniah kepada Ustaz Taib Azimudeen atas tindakan yang melampaui batasan kepartian dan membelakangkan kepentingan politik sempit demi maruah agama. Satu penjelasan yang professional dari seorang ahli agama.Kalau ramai ahli politik yang begini kan bagus untuk negara. Tidak melulu membuat kenyataan hanya-sanya untuk kepentingan politik parti yang diwakili.
Salam,adakah pandagn Ustaz taib diterima ? saya rasa tidak sbb pgdn ini x m'untungkan politik PAS @ PKR..nilah yg payahnya bila semua mau dpolitikkan!
Salam,
Kalau tidak salah, hanya ulama dan pemimpin kerajaan Malaysia yang sibuk melarang orang Kristian daripada menggunakan perkataan Allah.
Ulama negara lain tak kisah pun,
Jadi nampak sangat ulama Malaysia ni berfikiran sempit dan tertutup.
Adakah logik orang Islam saja yang mahu memonopoli penggunaan perkataan Allah dan mahu menafikan penganut agama lain daripada menggunakan perkataan itu?
Memang konsep Allah yang difahami oleh orang Islam berbeza dengan konsep Allah yang difahami oleh orang Kristian.
Tapi pada pokoknya dan pada hakikatnya Allah yang disembah oleh orang Kristian ialah Allah yang satu itu juga -- mana ada Allah lain?
Assalaamu'alaikum ...
Nama saya Abu Hasan Chan sudah lebih 30 tahun memeluk and mengkaji darihal Islam dan perbandingan ugama. Baru-baru ini timbul satu isu berkenaan penggunaan nama "Allah" oleh pihak bukan berugama Islam. Saya ada sedikit komen di sini. Jika ada apa reaksi terhadap komen saya ini sila hantar emel kepada saya di < abchan09@streamyx.com > .
Antara perkara yang saya hendak sebut ialah penglibatan saya dalam debat antarabangsa di internet dengan orang-orang bukan Islam . Salah satu tajuknya ialah asal-usul nama "Allah". Ada orang bukan Islam secara yang jahil mendakwa bahawa nama "Allah" hanya khusus bagi ugama Islam dan itu kata mereka adalah nama bagi tuhan palsu kerana mereka percaya Islam adalah ugama palsu. Bagi setengah orang bukan Islam yang lain yang lebih arif yang pernah mengkaji perbandingan ugama-ugama mengatakan bahawa nama "Allah" sudah lama dipakai oleh ugama Yahudi , Kristian sebelum zaman Nabi Muhammad. Jadi nama "Allah" adalah nama generic (lumrah) bagi bahasa-bahasa Semitic (Ibrani, Aramaic dan Arab). Sebab itulah nama "Allah" terdapat dalam kitab-kitab suci mereka seperti Bibel (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru).
Saya hendak sebut 3 hujjah daripada Al-Qur'an :
1)
Apabila penganut ugama lain ada menyebut nama "Allah" sebagai memulia nama Tuhan Semesta Alam dan Yang Maha Pencipta , kita hendaklah berkata "Alhamdullilah". Sila ulang baca maksud ayat:
Dan sesungguhnya jika engkau ( wahai Muhammad ) bertanya kepada mereka ( yang musyrik ) itu : Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ? Sudah tentu mereka akan menjawab "Allah". Ucapkanlah ( wahai Muhammad ) "Alhamdullilah". ( Sebagai bersyukur di sebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak menginkari Allah ). Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui ( hakikat tauhid dan pengertian syirik ). [ Surah Luqman 31 : 25 ]
2)
Ugama lain ada menyebut nama "Allah" sebagai memuliakan nama itu sendiri. Cuma saya nak sebut satu perkara yang menarik tentang adanya orang Yahudi di Zaman Nabi Muhammad yang menyebut nama "Allah" sebagai mempersenda ummat Islam. Bunyinya begini ....
Inn _Allaha faqeer(un) wa naHnu aghniya' [Ali Imran 3:181]
= yang bermaksud " orang Yahudi berkata -Allah- itu miskin dan kami (orang Yahudi) adalah kaya. Asal usul ucapan orang Yahudi begitu rupa sebagai bentuk senda-gurau mempersenda orang Islam yang mencari derma jihad seolah-olah Tuhan orang Islam tidak ada wang untuk membantu ummat Islam. Sebenarnya dalam ugama Yahudi sendiri nama Tuhan tidak boleh dijadikan bahan senda gurau ...ugama mereka sendiri menganggap menyebut Tuhan atau Allah sebagai satu gurauan itu adalah KUFUR namanya.
3)
Orang Arab Kristian sudah lama menyebut nama Allah dalam kitab suci mereka. Jika kita berkata kepada orang Arab Kristian bahawa nama Allah hanya khusus bagi ugama Islam , mereka akan fikir orang Melayu adalah jahil dalam bahasa Arab. Kalau mengikut kehendak orang Melayu bahawa orang Kristian tidak boleh menyebut nama Allah , tentulah mereka akan merasa hairan kenapa nama Allah ditulis dalam kitab suci (Bibel) mereka sejak zaman berzaman dan ulama-ulama Islam di tanah-tanah Arab sendiri tidak membantah. Sila lihat penggunaan nama Allah dalam kitab suci mereka di laman web :
http://www.arabicbible.com/bible/codex151_p1.htm
http://www.arabicbible.com/bible/codex151_heb.htm
Perhatikan kitab suci Kristian 1100 tahun dahulu juga memakai sebutan nama "Allah" dan "Bismi_Allahir _RaHmaaanir _Raheem"
Jika orang Kristian menyebut nama Allah , itu adalah satu penyataan sebagai kebenaran yang di sebut dalam Al-Qur'an sendiri. Sila baca:
laqad kafara _l-lazeena qaaluu inn _Allaha thaalithu thalathah ....= yang bermaksud , "telah kufur orang-orang (Kristian) yang kata Allah ialah yang ketiga dari yang TIGA" [Al-Maidah 5:73]
Jika kita faham ayat Al-Qur'an tersebut , ia menyatakan kepercayaan orang-orang Kristian bahawa sebutan nama "Allah" sebagai salah satu oknum dalam akidah Tri-Tunggal atau Triniti mereka. Ya , mereka menyebut "Allah" secara fahaman kufur mereka. Jika orang Melayu melarang orang Kristian menyebut nama "Allah" maka secara tidak langsung , orang Melayu bercanggah dengan ayat Al-Qur'an , seolah-olah mengheret diri mereka menjadi kufur kerana tidak faham Al-Qur'an ? Berhati-hatilah jika kita melarang orang Kristian menyebut nama "Allah". Bagi pihak Kristian pula jika mereka berkata nama Allah hanya bagi Islam , maka dengan secara tidak langsung mereka berkata ayat Al-Maidah 5:73 adalah bohong dan fitnah terhadap ugama Kristian . Ya...adakah Al-Qur'an itu berbohong terhadap kepercayaan Kristian ? Silalah fikir baik-baik. Al-Qur'an menegaskan bahawa orang Kristian ada menyebut nama "Allah" ..adakah itu benar atau tidak ?
Pernah timbul di Indonesia yang mana orang-orang Kristian Indonesia mencadangkan nama "Allah" tidak dipakai dalam kitab suci mereka "Al-Kitab". Nama "Allah" hendaklah digantikan dengan sebut "Elohim". Pihak ulama Kristian tidak dapat berbuat demikian kerana sebutan Allah adalah lebih tepat jika dibandingkan dengan sebutan Elohim, Ini kerana sebutan Elohim memberi erti berlainan dalam bahasa Ibrani. Elohim memberi makna kebesaran Ilahi bagi ugama Yahudi bukannya memberi erti "jamak" (plural). Sedangkan pihak Kristian mengambil kira erti Elohim dalam ertikata fahaman akidah Triniti mereka , iaitu berbilang keTuhanan (Bapa, Anak dan Ruh Qudus). Maka pihak Kristian mengekalkan penggunaan nama "Allah" untuk mengelak kekeliruan dari segi etimologi (asal usul perkataan dalam penggunaan bahasa).
Sekian dulu.
Yang benar,
Abu Hasan Chan
< abchan09@streamyx.com >
Post a Comment