Monday, May 26, 2008

ISA Masih Relevan

Melewati petang, Dewan Negara masih lagi membincangkan isu-isu semasa negara. Tulip tertarik untuk membincangkan isu ISA yang dibangkitkan oleh Ahmad Hussin ketika membahas titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Beliau menyatakan ISA masih lagi relevan dengan keperluan semasa dan masih digunapakai. ISA adalah satu bentuk undang-undang yang hanya bertujuan mencegah perbuatan hasutan dan bukan undang-undang punitif.
Akta berkenaan dilihat masih relevan di negara ini kerana ia melindungi keselamatan negara, keamanan dan undang-undang. Kerajaan tidak berniat untuk menahan sesiapa sahaja dengan sengaja di bawah ISA sebaliknya mengambil tindakan mengikut keperluan dan masa jika ada sesuatu yang benar-benar mengancam negara.
Ahmad Hussin turut menyokong penahanan anggota HINDRAF dalam ISA dan menyifatkan tindakan NGO HINDRAF mengadakan majlis harijadi sebagai tidak menghormati Parlimen dan sebagai tempat menunjuk lagak dan sikap angkuh mereka. Beliau turut membangkitkan kenyataan Presiden PKR ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu di mana beliau menyokong sepenuhnya pelaksanaan ISA dengan menyatakan "Walaupun keadaan negara berada dalam keadaan baik, mungkin akan berlaku ketegangan. Kebijaksanaan negara menguruskan ISA terbukti berkesan membawa keamanan dan kemakmuran negara". Sekarang sebaliknya berlaku, apabila Presiden PKR acapkali mengkritik ISA sebagai gimik politik untuk meraih sokongan penyokong bukan Melayu terutama kaum India sebagai parti yang memperjuangkan nasib HINDRAF untuk mengukuhkan kedudukan politik beliau.

No comments: