Friday, February 20, 2009

Muslihat Pakatan Rakyat

Sumber: Berita Harian

Tiada darurat, pilihan raya negeri di Perak: PM


PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan kerajaan tidak akan mengisytiharkan darurat atau mengadakan pilihan raya negeri bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak. Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) masih boleh menubuhkan kerajaan di negeri itu dan akan terus berfungsi serta menjalankan pentadbiran sebagai sebuah kerajaan sah seperti dikehendaki rakyat.

"Saya tidak nampak apa keperluan mewujudkan satu (pentadbiran) kerajaan seperti apa yang diwujudkan di Kelantan dulu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Dana Kemanusiaan Kanak-Kanak Gaza di Seri Perdana, di sini. Beliau mengulas kemelut terbaru politik Perak berikutan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar, menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam ahli Exconya menghadiri sidang DUN, berkuat kuasa serta merta. Zambry digantung daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala enam ahli Exco itu pula selama 12 bulan.
Abdullah berkata, tindakan Speaker DUN dari Pakatan Rakyat itu bukan saja menyalahi undang-undang, malah tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memperkenankan pelantikan Zambry dan Exco dari BN itu. "Saya anggap apa yang telah dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu sebagai suatu yang menyalahi, satu tindakan membantah, menentang (dan) menolak apa yang telah dilaksanakan oleh Sultan Perak mengikut Perlembagaan Negeri Perak (dan) mengikut apa undang-undang yang terpakai mengenai perkara ini. "Walau apapun, kerajaan BN Perak akan terus berfungsi dan akan menjalankan pentadbiran sebagai mana yang dikehendaki rakyat dan yang boleh dilakukan oleh sebuah kerajaan yang sah yang ada pada hari ini," katanya. Perdana Menteri berkata, tindakan Sivakumar itu adalah muslihat Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan BN Perak.

"Kita tahulah apa perancangan dan muslihat sebenar mereka dalam perkara ini. Apabila Dewan bersidang dan kalau Exco ini tidak boleh hadir, bermakna BN dan ahli dewan tentu tinggal bilangan yang kecil... 21 dan kalau ada undi mereka harap kemenangan akan berpihak kepada parti dalam Pakatan Rakyat. "Itu adalah muslihat dan tidak ada niat baik dalam tindakan mereka. Cuma niatnya ialah nak gulingkan kerajaan BN yang telah pun diwujudkan," katanya. Abdullah berkata, Speaker DUN Perak tidak boleh menghalang Zambry serta Exco berkenaan menghadiri sidang kerana mereka berhak berbuat demikian sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, Menteri Besar dan Exco terbabit dilantik oleh Sultan Azlan dan sudah mengangkat sumpah di hadapan baginda. "Mereka dilantik secara sah mengikut undang-undang. Jadi sebarang pandangan atau tindakan yang diambil oleh Speaker pada saya boleh dianggap tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak. Kerajaan negeri Perak diminta membuat aduan polis berhubung penggantungan itu kerana mereka berhak memasuki sidang DUN," katanya.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu juga tidak akan disenangi rakyat Perak kerana ia adalah halangan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mentadbir negeri. "Kita hendak beri perhatian kepada ekonomi kerana ini penting. Kita hendak beri perhatian kepada usaha menjayakan pelaksanaan pakej rangsangan RM7 bilion yang diumumkan pada November lalu dan selepas ini akan ada lagi satu (pakej rangsangan). "Jadi jika kita hendak rakyat mendapat manfaat daripada langkah ekonomi itu, maka kita mesti pastikan kerajaan tidak diganggu (supaya) boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang diharapkan pada waktu ini," katanya.
*********************************************
Tulip Desa
Kerajaan Barisan Nasional masih beluam berada dalam zon selesa untuk memerintah Kerajaan baru Perak ekoran daripada sikap segelintir kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang cuba menggunakan tipu muslihatnya untuk menggulingkan Kerajaan BN. Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar, menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam ahli Exconya menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tetap dengan pendiriannya untuk terus menghina dan menderhaka dengan Sultan.
Pihak pembangkang perlu tahu bahawa dalam membuat keputusan untuk melantik seorang MB dan Kerajaan Negeri baru, Paduka Seri Sultan Perak telah menggunakan dua kaedah utama iaitu suara majoriti ahli dewan undangan negeri dan pertimbangan raja pemerintah. Dengan itu jelas bahawa undi tidak percaya di lantai dalam DUN bukanlah satu-satunya mekanisma untuk menentukan pembentukan Kerajaan atau perlaihan kuasa di Perak.
Apa nak jadi dengan Pakatan Rakyat yang dilihat semakin ketandusan dan kekeringan idea untuk mempengaruhi rakyat sehinggakan sanggup menabur fitnah demi kepentingan survival politik mereka. Setahu Tulip, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pakar dalam ilmu undang-undang, tetapi sanggup menyembunyikan kebenaran dan menghalalkan yang haram demi mencapai matlamat mereka.

No comments: