Tuesday, April 28, 2009

Rakyat diminta tidak panik

Sumber: Berita Harian, 28 April 2009
JOHOR BAHRU: Kerajaan meminta rakyat tidak panik dengan wabak selesema babi yang melanda beberapa negara dan memberi jaminan akan memperketatkan kawalan di pintu masuk ke negara ini terutama di lapangan terbang, pelabuhan dan kawasan sempadan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun tiada kes jangkitan penyakit itu dikesan di Malaysia setakat ini, usaha pemantauan di pintu masuk negara akan diperhebatkan. Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta semua agensi yang terbabit dalam menjalankan kawalan dan pemantauan di pintu masuk negara.
Selain itu, katanya, protokol yang digunakan oleh agensi kerajaan ketika menangani wabak selesema burung di negara ini akan diguna pakai dan diperketat supaya tiada rakyat Malaysia dijangkiti wabak selesema babi. "Rakyat kita jangan panik... kenyataan sudah dibuat Kementerian Kesihatan bahawa setakat hari ini (semalam) masih dalam keadaan selamat, kita tidak ada kes seperti itu di Malaysia. "Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga tetap diambil di kawasan pintu masuk ke negara ini terutama lapangan terbang, pelabuhan dan kawasan sempadan," katanya pada sidang media selepas menutup Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2009 di Padang B, Plaza Angsana, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, rakyat akan diberikan pendedahan dan pendidikan mengenai selesema babi supaya mereka dapat melindungi diri daripada dijangkiti penyakit terbabit. "Kementerian terbabit akan mengedarkan risalah kepada rakyat mengenai selesema babi dan cara melindungi diri daripada terdedah dengan jangkitan penyakit itu," katanya.

No comments: