Tuesday, June 23, 2009

PR TOLAK KERAJAAN PERPADUAN

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) bersalaman dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kanan) sambil diperhatikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas sidang akhbar pada pertemuan antara Pemimpin Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.

Barisan Nasional tetap kukuh tanpa idea pembangkang: Najib

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) semalam menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada mesyuarat dua jam yang dihadiri pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen di sini, Pakatan Rakyat mendakwa idea itu cuma fitnah, tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat gabungan pembangkang.

Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan BN masih berupaya mentadbir negara dan tetap kukuh walaupun Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Kita tak ada masalah... maknanya kalau tak ada kerajaan perpaduan atau apa bentuk pun, kerajaan masih kukuh.

"Kita mampu melaksanakan agenda pembaharuan yang telah kita gariskan," katanya selepas menyampaikan ucap utama pada Persidangan Ketujuh Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia di Luar Negara di Putrajaya.

Pengerusi BN dan Presiden Umno itu juga berkata, tidak timbul soal kerajaan BN lemah dalam isu berkenaan kerana pelawaan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dibuat pembangkang terlebih dulu.

"Pas yang sebut perkara ini dan dia yang menggambarkan hasrat untuk mencapai kata sepakat dan istilah kerajaan perpaduan datang dari mereka sendiri, bukan daripada kita.

"Apabila mereka sebut (kerajaan perpaduan), kita sambut secara positif. Maknanya kita mempunyai sikap terbuka kalau sesuatu dibuat dengan tujuan mencari kebaikan dan kita masih tetap dengan pendirian sesuatu yang baik untuk negara perlu diusahakan bersama walaupun cadangan itu datang daripada parti pembangkang," katanya.

Ditanya sama ada penolakan idea kerajaan perpaduan itu merugikan orang Melayu, beliau berkata: "Saya tidak fikir, tetapi saya harap mereka (pembangkang) tidak keterlaluan dalam apa juga tindakan sama ada ada perbincangan atau tidak.

"Apa yang penting ialah kita menguruskan perbezaan pendapat dan kita ada perasaan terhadap negara dalam fikiran kita."

Ditanya sama ada Umno akan melayan lagi idea seperti itu pada masa depan, Najib berkata: "Siapa tahu perkara yang akan berlaku pada masa depan, segala-galanya boleh berlaku dalam politik."

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam kenyataan tiga perenggan yang dibacakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan semua parti dalam gabungan itu mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang akan datang.

Pada masa yang sama, Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan kepemimpinan BN bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan negara dan rakyat, seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pakatan Rakyat juga mahu perbincangan berkisar mengenai salahguna kuasa kepimpinan polis, membanteras rasuah, menjana urus tadbir yang baik serta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan segera pilihan raya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak. Kenyataan itu ditandatangani oleh Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presidennya, Dr Syed Hussin Ali, manakala antara pemimpin DAP yang hadir ialah Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Pemimpin Pas pula ialah dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang sebelum ini dibidas Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung isu kerajaan perpaduan bagaimanapun tidak hadir. Ahli Parlimen Bachok itu juga tidak kelihatan di Parlimen semalam.

Anwar yang ditanya mengenai isu membabitkan Nasharuddin dan Nik Abdul Aziz, berkata tiada masalah berlaku antara kedua-dua pemimpin Pas itu.

Abdul Hadi pula berkata, pemimpin Umno sengaja mempermainkan isu kerajaan perpaduan seolah-olah menggambarkan Pas akan bersatu dengan Umno dan akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ditanya sama ada Pas membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan dengan Umno, beliau berkata, ia tidak akan diadakan jika Umno berterusan cuba melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, katanya, Pas bersedia berbincang berhubung isu yang mempunyai kepentingan bersama atas sifat negara demokrasi, tetapi mesti diberi hak sama dalam perbincangan itu.

Kit Siang pula berkata, kenyataan bersama DAP, PKR dan Pas sudah menjelaskan bahawa ketiga-tiga parti itu mempunyai komitmen antara satu sama lain untuk menunjukkan Pakatan Rakyat berbeza dengan BN.

Sumber: Berita Harian

No comments: