Thursday, August 14, 2008

Ariff Shah Calon BN

BUTTERWORTH: Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh (P44), pada 26 Ogos ini. Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Permatang Pauh di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di Seberang Jaya di sini, malam tadi.
Najib yang juga Pengarah pilihan raya kecil itu berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau sudah memperhalusi dan membuat pertimbangan dari pelbagai sudut dan kriteria untuk memilih calon BN. “Walaupun menghadapi kesukaran, keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan setempat. Kalau memilih orang luar, akan banyak masalah. Kalau pilih orang dalam pun juga ada masalah tetapi keputusan perlu dibuat. "Jadi, bagi pihak Presiden Umno dan juga Pengerusi BN, saya umumkan calon BN adalah Datuk Arif Shah," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 penyokong BN yang memenuhi pusat konvensyen itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan keputusan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon pilihan raya kecil itu. Dalam ucapannya, Najib menasihatkan pemimpin yang tidak terpilih supaya tidak kecewa, sebaliknya terus bekerjasama untuk memastikan kemenangan BN. “Saya nak kata di sini, kalau yang tidak terpilih sebagai calon, bukan bererti sudah kelam masa depan. Kalau kita pilih, bukan bererti beliau juga disahkan sebagai ketua bahagian.
"(Pemilihan) bahagian dan politik perlu dipisahkan untuk pastikan kerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Jangan ada pertimbangan lain," katanya. Beliau juga menasihatkan
calon BN supaya mengetepikan segala soal pemilihan peringkat bahagian dan bekerjasama sebagai satu pasukan. "Jangan sombong dan perlu merendah diri dalam menyusul parti," katanya yang turut meminta maaf bagi pihak Perdana Menteri kepada mereka yang tidak terpilih sebagai calon. Pada sidang media selepas itu, Najib berkata, pemilihan Arif Shah bukan satu tradisi Umno, tetapi tidak ada halangan dan tidak bertentangan dengan perlembagaan bagi seorang Adun untuk bertanding kerusi Parlimen. Katanya, pemilihan Arif Shah dibuat berdasarkan kejayaannya pada pilihan raya umum lalu dan mampu memberi khidmat kepada pengundi. "Pembangkang pun buat, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng yang menjadi Adun Air Puteh dan Ahli Parlimen Bagan). Bagi pembangkang, ia bukan satu perkara luar biasa," katanya.
Sumber: Berita Harian, 14 Ogos 2008
*********************************************************************************
Penantian yang ditunggu-tunggu telah pun terjawab. Pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri berkenaan calon Permatang Pauh iaitu YB Dato' Ariff Shah Omar Shah telah menjawab spekulasi yang timbul. Tulip merasakan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri telah mengambil keputusan yang tepat dengan membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut serta kesannya pada penduduk setempat.
Tulip juga sempat berbual dengan pengundi-pengundi Permatang Pauh bertanyakan pendapat mereka berkenaan calon BN ini. Kebanyakan mereka begitu gembira dengan pengumuman tersebut dan menyifatkan beliau sebagai pemimpin masyarakat yang mesra rakyat dan dekat dihati pengundi. Kebolehan beliau bertutur pelbagai bahasa menyebabkan penduduk di Permatang Pauh yang terdiri daripada pelbagai kaum begitu senang dengannya. Sehubungan itu,Tulip dan juga rakyat Permatang Pauh mengharapkan YB Dato' Ariff Shah akan membawa perubahan dan dapat mengubati hati rakyat yang kecewa dengan PKR kerana tiada satu pun pembangunan dibawa ke kawasan itu selepas tiga penggal memerintah. Permatang Pauh memerlukan seorang wakil rakyat yang dapat mendengar masalah rakyat sekaligus dapat membela nasib rakyat di kawasan tersebut.

Wednesday, August 13, 2008

Nasihat Kepada Pengundi Permatang Pauh- Anwar Ibrahim Adalah Penyambung Lidah Lim Kit Siang (DAP) Dan Lee Kuan Yiew (PAP)

Pengundi-pengundi Permatang Pauh termasuk Melayu, Cina dan juga India perlu mengimbas kembali pencapaian-pencapaian BN yang diterajui oleh UMNO selama 51 tahun, sejak 1957 Malaya Merdeka. Pencapaian-pencapaian yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO iaitu Almarhum-Almarhum YAM Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein dan pemimpin-pemimpin yang terkini Tun Dr. Mahathir dan YAB Perdana Menteri sekarang, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sangat-sangatlah besar dan perlu dikagumi.
Pemimpin-pemimpin utama ini adalah masyhur di luar negara terutama di blok negara-negara Islam, Afrika, Asia Timur dan juga negara-negara yang bersikap sosialis seperti Rusia. Amerika Syarikat pun melalui pemimpin-pemimpin mereka seperti mendiang Presiden Lyndon B Johnson yang pernah melawat Malaysia dan juga Felda Malaysia di Labu, Negeri Sembilan, turut hormati kemajuan Malaysia. Skim felda telah berjaya menghancurkan niat jahat komunis yang cuba mengeksploitasi isu tanah di kalangan penduduk-penduduk Melayu dan juga Cina yang ketika itu perlukan tanah.
Pencapaian yang dibuat oleh UMNO sepanjang 50 tahun adalah hasil-hasil pemimpim-pemimpin Melayu yang ikhlas dan jujur melaksanakan amanah rakyat Melayu, Cina dan India.
Pencapaian-pencapaiannya adalah seperti berikut:-
· Pengujudan RIDA (kini MARA) dan seterusnya pembentukan UiTM dimana 80,000 profesional Melayu dalam pelbagai jurusan telah dizahirkan. Dijangkakan 150,000 profesional bumiputera akan timbul dalam 10 tahun lagi.

· FELDA merupakan satu agenda besar UMNO di mana beribu-ribu Orang Melayu telah diberi tanah secara terurus untuk membela nasib dan ekonomi mereka. Kini, FELDA merupakan model yang di kaji luas oleh negara-negara sedang membangun seperti di Afrika dan Amerika Latin

· Universiti tempatan telah bertambah daripada dua ke sembilan belas bertujuan membanyakkan anak-anak Melayu mendapat pelajaran tertinggi dalam proses meningkatkan modal insan. Universiti ini juga terdapat di Sabah dan Sarawak bagi menunjukkan bahawa Kerajaan tidak menganaktirikan mana-mana negeri di bawah Kerajaan Barisan Nasional;

· Pemantapan ekonomi dan kewangan Malaysia sentiasa terkawal dan justeru, berterusan dalam rangka RMK1 hingga RMK9. Dengan adanya perancangan mantap dan jitu, maka Malaysia melalui BN akan mencapai matlamat menjadi negara membangun.

· Malaysia selamat dari tekanan penyangak-penyangak matawang seperti Soros dan kuncu-kuncunya di dalam bank tempatan bertujuan jahat untuk menjadi Malaysia bankrap dan bergantung kepada Bank Dunia yang 70% dimiliki oleh Amerika Syarikat. Pendekatan Malaysia untuk pegging ringgit USD benar-benar menghancurkan. Niat jahat penyangak-penyangak berkenaan.
Pengundi-pengundi perlu ingat bahawa pencapaian-pencapaian di atas ini dilakukan sebelum Anwar Ibrahim masuk kabinet. Anwar Ibrahim lebih banyak memporak-perandakan negara dan ekonomi semasa dan selepas dalam Kerajaan. Berhati-hatilah dalam tindakan tuan-tuan semasa mengundi kerana menurut pemerhati-pemerhati politik bahawa Anwar Ibrahim boleh membahayakan negara dalam apa peranan yang beliau mainkan.

Pemikir Negara

Pengundi Permatang Pauh Jangan Tertipu

Anwar Shaari, Ezam Mohd Noor dan Dato' NallaKarupan bukan asing lagi dalam Pakatan Rakyat. Mereka adalah bekas pemimpin Parti Pakatan Rakyat yang setia dan akur dengan DSAI. Akhirnya, mereka sedar bahawa ketuanya sudah melencong daripada perjuangan asalnya untuk membela nasib rakyat sebaliknya kemaruk untuk menggapai impiannya untuk menjadi Perdana Menteri. Justeru itu, mereka mengambil keputusan nekad untuk meninggalkan PKR dan memasuki UMNO yang lebih jelas dan tersusun perjuangannya untuk membela nasib rakyat.
Kemasukan ketiga-tiga pemimpin PKR ini dilihat sedikit sebanyak mengubah lanskap politik negara. Pelbagai reaksi positif dan negatif yang ditunjukkan oleh rakyat dan juga parti-parti lain berhubung kemasukan tersebut. Bagi UMNO, kemasukan Ezam memberi semangat baru dan membantu kepada kekuatan parti. Ezam Mohd Noor adalah orang kanan DSAI dan mereka dikatakan begitu akrab kerana telah mengenali DSAI hampir 30 tahun bermula daripada UIA. Ezam sanggup menemani DSAI ke mana sahaja sehingga ke luar negara demi memperjuangkan nasib Orang Melayu yang menjadi asas kepada penubuhan negara. Kesetiaannya kepada DSAI dan parti menyebabkan beliau dipenjarakan di bawah Akta ISA semata-mata untuk memperjuangkan ideologi PKR. Walaubagaimanapun, setelah keluar daripada penjara, DSAI masih lagi tidak memperjuangkan asas penubuhan Malaysia sebaliknya melanggar asas penubuhan negara. Ini penyebab utama mereka kecewa dengan ketua mereka yang selami ini mereka sanjung.
Sehubungan itu, Tulip menyeru kepada pengundi Permatang Pauh yang terdiri daripada pelbagai kaum supaya berfikir dan menilai secara bijak ketika membuang undi. Jangan terpedaya dengan pembohongan DSAI yang cuba meracuni dan memesong pemikiran rakyat agar mengundi beliau. Sudah terbukti pada pilihan raya lepas, manifesto PKR tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Pelbagai alasan dan helah diberikan untuk menutup kelemahan mereka. Ayuh, pengundi Permatang Pauh, fahamilah segala pembangunan, kestabilan ekonomi dan politik yang selama ini dikecapi adalah hasil usaha pemimpin Barisan Nasional bukannya Pakatan Rakyat.

Monday, August 11, 2008

Saudara Baru: Forum Sia-Sia

KUALA TERENGGANU 10 Ogos - Golongan saudara baru menganggap tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum Memeluk Islam sebagai cubaan menghalang syiar Islam di negara ini.
Bagaimanapun, langkah itu sia-sia kerana mereka yang memeluk Islam melakukannya secara sukarela dan bukannya melalui paksaan.Mereka berpendapat, cubaan untuk menghalang syiar Islam tidak akan berjaya kerana daripada pengalaman mereka sendiri, keindahan ajaran Islam itu merupakan daya tarikan utama yang menyebabkan seseorang itu memeluk Islam.
Malah, kecintaan dan keyakinan terhadap Islam menyebabkan tiga saudara baru; Mohd. Fitri Abdullah, Husaini Abdullah dan Ann Wan Seng berusaha mendalami ajaran tersebut sehingga kini bergelar pendakwah di Perkim. Mohd. Fitri Abdullah berkata, beliau lega apabila forum itu ditamatkan lebih awal kerana ia jelas merupakan cubaan Majlis Peguam untuk menghalang orang ramai memeluk Islam.

Beliau berkata demikian dalam forum Perbandingan Agama di sini malam tadi sempena perasmian Kelab Perkim Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Prof. Emeritius Datuk Dr. Aripin Suhaimi. Bagi Husaini Abdullah yang telah 10 tahun memeluk Islam, ketaatan keluarga angkatnya terhadap ajaran agama itu membuka hatinya untuk memeluk Islam sedangkan sebelum itu beliau berazam untuk mengkristiankan mereka.

Ahli Majlis Perkim Kebangsaan, Ann Wan Seng pula berkata, salah faham tentang Islam ialah agama itu sering dikaitkan dengan orang Melayu.Beliau yang telah 12 tahun memeluk Islam menjelaskan, salah faham itu perlu diperbetulkan supaya kaum lain tidak beranggapan agama itu hanya untuk kelompok tertentu.
Sumber : Utusan Malaysia, 10 Ogos 2008
*********************************************************************************
Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam Negara yang diadakan secara terbuka telah menimbulkan kekecohan. Majlis Peguam Negara dilihat tidak menghormati keputusan yang diambil oleh semua kaum, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Amalan terbuka yang sering diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri nampaknya disalahgunakan oleh Majlis Peguam Negara sehingga berani mempersoalkan agama Islam. Jika ia tidak ditangani segera, dikhuatiri akan mengancam keselamatan dan kestabilan politik negara. Justeru itu, Tulip setuju dengan cadangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan Kerajaan(NGO) untuk menguatkuasakan Akta Hasutan dan ISA.
Tulip merasakan inilah masa yang sesuai untuk Kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan ISA kerana sikap berlembut dan toleransi yang diambil kerajaan dalam isu sensitif keagamaan dan perkauman boleh membahayakan perpaduan kaum di negara ini. Peringatan untuk Majlis Peguam Negara, jangan cuba bermain api dengan memainkan sentimen Orang Melayu dan Agama Islam. Kehadiran 1000 orang Islam yang menentang pelaksanaan forum tersebut membuktikan umat Islam tidak akan berdiam diri apabila agama Islam diperkotak-katikkan. Ini menjadi pengajaran kepada pihak lain yang mempunyai niat untuk mempertikaikan tentang agama Islam dan keistimewaan Orang Melayu.

Tuesday, August 5, 2008

Siasatan Menyeluruh Punca Keretakan Semula MRR2



PEKAN 3 Ogos _ Kerajaan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan punca keretakan pada tiang jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong, Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga akan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan memancing di Kuala Pahang di sini hari ini. - Utusan Malaysia
**********************************************************************************
Keretakan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) buat kali kedua, membangkitkan perasaan marah dan ketidakpuasan hati rakyat. Masalah ini akan mewujudkan pelbagai andaian negatif terhadap Kerajaan. Keretakan yang pertama berlaku pada tahun 2006, menelan belanja hampir 70 juta.
Justeru itu, Tulip setuju benar dengan keputusan Kerajaan untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab berhubung masalah tersebut.
Apa yang diharapkan, supaya pihak bertanggungjawab berhati-hati dan memastikan masalah yang sama tidak berulang kembali. Masalah ini boleh dielakkan sekiranya pihak tersebut memastikan apa yang dibaikpulih itu teguh dan tidak akan berlaku sebarang kerosakan dan keretakan lagi. Jangan sampai pisang berbuah tiga kali. Nanti akan mengguris kembali perasaan rakyat. Keretakan hati rakyat ini sekaligus boleh menggugat keyakinan rakyat, bukan saja keyakinan untuk menggunakan MRR2 dengan rasa selamat, malah menggugat keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Friday, August 1, 2008

Jalan Menuju Putrajaya Masih Jauh Bagi Pakatan Rakyat

Penantian rakyat Malaysia untuk mengetahui di manakah DSAI akan bertanding untuk Pilihan Raya Kecil telah pun terjawab. Keputusan Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail untuk meletak jawatan serta merta sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh telah menjawab spekulasi yang timbul sebelum ini. Tulip sudah menjangkakan Datuk Wan Azizah akan memberi laluan kepada suaminya. Adakah semua ini dibuat untuk merealisasikan impian suaminya yang mengidamkan jawatan Perdana Menteri atau atas desakan suaminya yang mahu mengalih tumpuan rakyat terhadap kes liwat. Ternyata DSAI seorang yang cukup pandai bersandiwara dan cakap tidak serupa bikin. Ura-ura menyatakan beliau akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak, Gombak dan Kulim. Sebaliknya memilih Permatang Pauh. Mengapa pilih Permatang Pauh? Mungkin ini tempat yang paling strategik untuk beliau menang besar.
Anwar terkenal dengan sikapnya yang suka berbohong dan berpura-pura. Beliau pandai menggunakan kesempatan dan peluang yang ada untuk memperkukuhkan kedudukan politik beliau. Tindakan Anwar yang sering mendakwa beliau hanya menunggu masa merampas kuasa, sebenarnya bertujuan mengekalkan popularitinya sebagai pemimpin pembangkang. Anwar menggunakan isu liwat untuk meraih sokongan dan simpati rakyat supaya menyokong beliau sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh. Dengan alasan wujud konspirasi untuk menjatuhkan karier politik beliau sekaligus menggagalkan impian beliau untuk menjadi Perdana Menteri.
Adakah angan-angan Anwar untuk menuju ke Putrajaya 16 September ini akan berjaya atau sekadar angan-angan kosong. Kita tunggu dan lihat. Kepada rakyat Permatang Pauh jangan terlalu taksub dan fikir sedalam-dalamnya untuk memangkah beliau dalam Pilihan Raya Kecil ini. Adakah anda mahu melihat negara tercinta ini dijajah oleh negara asing, gara-gara Anwar yang bersekongkol dengan Yahudi dan talibarut Amerika. Renung-renungkanlah.

Laporan Kesihatan Hospital Pusrawi Tidak Valid (II)

Oleh: Dr Novandri Hasan Basri

Sejak kelmarin, penulis telah menerima banyak e-mel daripada rakan-rakan yang mengepilkan bahan berita mengenai Anwar Ibrahim.Topiknya ialah mengenai dakwaan Anwar Ibrahim bahawa Saiful Bukhari tidak diliwat berdasarkan kepada satu salinan laporan kesihatan daripada Hospital Pusrawi.
Menurut laporan tersebut, pemeriksaan digital (PR) pada dubur (anal) Saiful, tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan atau force entry disebabkan oleh sesuatu benda seperti pendarahan, nanah dan sebagainya.Ramai yang keliru. Ramai juga yang mengutuk kerajaan kerana ia kononnya satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Tetapi mereka juga menanyakan pandangan penulis sebagai seorang doktor.
Di bawah ini adalah jawapan penulis:-Di dalam salinan laporan yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim kepada dunia, simptom utama yang ditulis oleh doktor itu ialah tenesmus x 1/52 (satu minggu)Dan seperti yang penulis katakan sebelum ini, dakwaan ‘alleged assault’ seperti tidak penting dan ditulis di satu sudut di hujung kertas tersebut.Sungguh pelik dan mencurigakan!
Tenesmus is the constant feeling of the need to empty the bowel, accompanied by pain, cramping, and involuntary straining efforts. Pain - passing stool; Painful stools; Difficulty passing stool.Tanya diri sendiri, berapa orangkah di antara anda yang pernah ke klinik atau hospital kerana tenesmus seperti Saiful Bukhari?Dan berapa orangkah di antara anda pernah disuruh doktor untuk membuka seluar, baring menghadap dinding dan kemudiannya terasa jari di masukkan ke dalam duburnya kerana mengadu sakit di bahagian itu?Tentu jarang sekali.
Dan apabila doktor hendak melakukan prosedur itu, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menerangkan prosedurnya dan kemudian meminta izin (consent).Tetapi prosedur itu hanya untuk kes-kes yang biasa.Dan biasanya, penyakit-penyakit yang disyaki ialah buasir (piles) atau pun luka (fissure) di mana ianya boleh disyaki terlebih dahulu dengan mendapatkan sejarah mengenai simptom tersebut daripada pesakit tersebut sebelum melakukan pemeriksaan fizikal.Akan tetapi, peranan seorang doktor biasa (yang bukan pakar perubatan) yang bekerja dengan swasta terhenti setakat mendapatkan informasi sahaja apabila pesakit mengatakan bahawa beliau telah di assault atau menjadi mangsa seksual. (kecuali kes-kes yang membahayakan pesakit seperti pendarahan yang banyak.)
Malah, apabila Saiful menerangkan kepada doktor itu bahawa benda tumpul telah dimasukkan ke dalam anus beliau, doktor tersebut sepatutnya telah faham yang beliau tidak berkelayakan untuk meneruskan sebarang pemeriksaan fizikal terutamanya di bahagian-bahagian badan yang paling disyaki seperti dubur (anal).
Tetapi doktor di Hospital Pusrawi dilaporkan masih juga melakukan pemeriksaan ke atas Saiful.Tidakkah itu merupakan satu tindakan yang mungkin boleh merosakkan bukti, mencurigakan dan tidak masuk akal ? Tentu sekali.Seperkara lagi, diagnosis yang ditulis oleh doktor itu ialah TRO (to rule out) assault (sodomise).Maksudnya doktor tersebut tidak sekali-kali telah membuat diagnosis yang tepat (mengatakan bahawa Saiful tidak diliwat), cuma Saiful perlu ke hospital kerajaan untuk mendapatkan pemeriksaan yang lebih terperinci dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dan hari ini, yang berlagak pandai seperti seorang doktor ialah Anwar Ibrahim, Raja Petra dan beberapa orang lagi yang membuat rumusan sendiri hanya berdasarkan findings pemeriksaan anal seorang doktor biasa!Dalam hal ini, penulis tidak sangka yang Anwar Ibrahim sanggup mementaskan drama yang berkualiti rendah dan semurah ini.Seperkara lagi, kesahihan kesinambungan bentuk tulisan di atas laporan itu juga merupakan satu perkara yang amat mencurigakan.Penulis mengaku bahawa tulisan doktor biasanya ‘tercantik’ di dalam dunia dan sukar untuk dibaca tetapi jika kita amati, terdapat dua (2) corak tulisan yang jelas berbeza di dalam satu mukasurat yang sama.Ini juga amat mencurigakan.