Monday, December 22, 2008

PAS DALAM DILEMA

Gambar: Http://www.agendadaily.com

Tersenyum Tulip melihat intipati ucapan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam wacana perdananya yang menyatakan PAS akan melaksanakan undang-undang Hudud dan Qisas apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan negara. Janji-janji seperti ini kedengaran semasa pilihan raya umum ke-12, tenggelam dan tidak dilaungkan oleh PAS sehinggalah tiba Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

Adakah PAS sedar bahawa janji-janjinya itu tidak akan diterima pakai oleh komponen dalam Pakatan Rakyat? Tidakkah Datuk Husam Musa teringat akan kenyataan Karpal Singh, orang kuat DAP yang meminta langkah mayatnya dahulu jika PAS hendak melaksanakan pemerintahan Islam jika Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan? Pada pengamatan Tulip, insiden tersebut mewujudkan ketegangan dan pergeseran dalam hubungan di antara DAP dan PAS apabila PAS dilihat cuba mengetengahkan pendiriannya yang dilihat bertentangan dari pandangan kaum-kaum lain.

Pemimpin tertinggi dan ahli PAS juga sedar mereka ibarat parti 'mencukupkan korum' dalam Pakatan Rakyat apabila pendiriannya terhadap sesuatu isu di pandang sepi oleh rakan-rakannya yang lain. Nawaitu untuk memperjuangkan agama terpaksa dipendam kerana mahu mengukuhkan kedudukan politik dan mahu dilihat 'sekepala' dengan komponen Pakatan Rakyat. Isu penjualan minuman keras di Selangor masih tiada penamatnya dan PAS dilihat tidak berdaya hendak mempertikaikannya yang ditakrifkan sebagai haram dan mungkar oleh parti itu selama ini.

Hakikatnya, PAS berada dalam dilema kerana prinsip asas perjuangan PAS sendiri bertentangan dengan senario yang wujud dalam lima negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Nampaknya terdapat segelintir pemimpin PAS yang cuba merungkai dilema itu dengan kenyataan - kenyataan yang menggambarkan parti itu sesuai untuk semua.Inilah cabaran PAS dalam usahanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa ia 'cakap serupa bikin'dan ujian besar PAS dalam meyakinkan rakan-rakannya untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

No comments: